Jumaat, 29 Januari 2021

PENUBUHAN SURUHANJAYA AIR DALAM KAJIAN: TKM

Bung Moktar meninjau keadaan perparitan di kawasan Dun berkenaan.

Kementerian Kerja Raya sedang menjalankan kajian dalam usaha untuk menubuhkan Suruhanjaya Air Negeri Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kajian itu dilakukan secara menyeluruh termasuk di segi perundangan dan di peringkat kerajaan tempatan sebelum dikemukakan kepada kabinet negeri.

"Ia dalam proses kajian di semua peringkat termasuk kajian undang-undang, kerajaan tempatan dan sebagainya."

"Cadangan telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri, sebab itu kita menjalankan kajian secara terperinci dan menyeluruh. Apabila tiba masanya, insyaAllah akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri," katanya kepada pemberita selepas lawatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Karambunai, hari ini.

Bung Moktar diminta mengulas berhubung perkembangan penubuhan Suruhanjaya Air yang dikemukakan kepada kabinet sebelum ini.

Bung Moktar bersama Yakub dalam lawatan ke kawasannya.

Mengenai lawatan beliau ke kawasan Dun Karambunai, Timbalan Ketua Menteri berkata masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pihaknya mendapati antara masalah yang dihadapi adalah jalan raya yang tidak diselenggarakan puluhan tahun, sistem perparitan yang tersumbat, masalah setinggan, kecurian air dan elektrik.

"Di Bandar Seirra umpamanya, salah satu yang sering ditularkan di media sosial ialah penduduk di sini sangat memerlukan bekalan air," katanya.

Bung Moktar berkata, pemaju di kawasan itu gagal menyediakan tempat penyimpanan untuk membekalkan air kepada penduduk setempat.

"Bekalan air di sini sepatutnya mencukupi tetapi tempat penyimpanan air tidak cukup".

"Kita tidak tahu jika ada masalah dalaman dan kita minta wakil rakyat di kawasan ini, Datuk Yakub Khan berhubung dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menyelesaikan masalah ini," tegasnya.

Beliau juga meminta DBKK berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat kampung yang mengalami masalah banjir dan mencari jalan penyelesaian.

Katanya, JKR akan turut menghantar pegawai-pegawainya untuk meneliti cadangan penduduk supaya jalan-jalan raya di kawasan ini dilakukan penyelenggaraan.

Bung Moktar seterusnya berkata lawatan serupa akan dilakukan di seluruh negeri bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Pengarah JKR, Ir Ali Ahmad Hamid menenrangkan sesuatu kepada Bung Moktar sambil diperhatikan Pengarah Jabatan Air, Ir Edward Lingkapo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan