Selasa, 5 Januari 2021

PEMECATAN SETIAUSAHA AGUNG BN TIDAK JEJASKAN GRS

KOTA KINABALU: Pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tidak menjejaskan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar).

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah, berkata namun demikian situasi itu mungkin sedikit-sebanyak boleh memberi sedikit kesan terutamanya di peringkat akar umbi.

"Tidak dapat dinafikan memang ada sedikit "tempias" khususnya kepada masyarakat di akar umbi," katanya.

Bagaimanapun menurut Bung Moktar, Umno Sabah akan sentiasa bersama rakan-rakan dalam gabungan itu mempertahankan kerajaan GRS.

Beliau diminta mengulas pemecatan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Umno Sabah, hari ini.

Pemecatan Setiausaha Agung BN itu diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Zahid Hamidi dan jawatan itu diambil alih Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu, Bung Moktar berkata tiada masalah perebutan atau "pembelian ahli" dalam parti-parti yang membentuk GRS.

Katanya, perkara itu tidak timbul kerana negara mengamalkan demokrasi politik.

"Terpulang kepada rakyat untuk pilih parti mana yang mereka mahu dan tiada isu perebutan atau membeli ahli kerana mereka tahu parti mana yang mereka mahu pilih," katanya.

Beliau meminta semua pihak dalam GRS memfokus usaha untuk membantu rakyat dan jangan lagi bertelagah berhubung soal keahlian.

"Jangan membuang masa untuk fikir masalah yang tidak menguntungkan," katanya selepas Majlis amanat dan anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini, pagi tadi.

Beliau diminta mengulas isu "pembelian ahli" parti yang dilaporkan menjadi pertikaian antara beberapa pemimpin Umno dan Bersatu, baru-baru ini.

GRS merangkumi persepakatan BN, PN, PBS dan Star untuk membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri ke-16 pada September lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan