Ahad, 17 Januari 2021

BANTUAN MAKANAN UNTUK PENDUDUK PITAS YANG TERPUTUS PERHUBUNGAN

Kerajaan negeri menyediakan bantuan bakul makanan kepada penduduk di beberapa kampung di daerah Pitas yang terputus perhubungan jalan raya dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi penduduk terbabit untuk keluar membeli keperluan bahan makanan disebabkan sistem perhubungan jalan raya terputus.

Katanya, penghantaran makanan itu dilakukan melalui udara menggunakan helikopter Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah.

Bagaimanapun, tambah beliau, kapasiti pengangkutannya agak terhad.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media kira-kira 4,000 penduduk membabitkan 15 kampung di Pitas terputus bekalan makanan ekoran masalah banjir di daerah berkenaan.

Menurutnya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmy Yahya turut turun padang untuk memantau keadaan serta menyertai usaha penghantaran dan pengagihan bantuan bakul makanan tersebut.

"Kita berharap usaha ini sedikit-sebanyak dapat membantu meringankan beban dihadapi penduduk terbabit," ujarnya.

Ir. Shahelmy menyertai penghantaran bantuan bakul makanan menggunakan helipokter di padang SK Liu, Pitas.

Timbalan Ketua Menteri itu menambah, bagi kampung-kampung yang masih boleh dihubungi melalui jalan darat, pihak Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Pitas, Anggota Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri dan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas dan Bengkoka telah pun menyelaraskan bantuan bakul makanan kepada penduduk terlibat.

Ditanya mengenai keadaan jalan raya dan jambatan yang mengalami kerosakan di daerah berkenaan, Bung Moktar, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kerja-kerja pembaikan dalam masa terdekat.

Katanya, bagaimanapun ia bergantung kepada faktor cuaca dan langkah segera yang boleh dilakukan ialah membina jalan laluan alternatif untuk pengguna.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan