Jumaat, 15 Januari 2021

KEMUDAHAN 16 KOMPLEKS SUKAN DI SABAH DITUTUP

Lembaga Sukan Sabah (LSS) menutup semua kemudahan 16 kompleks sukan di bawah pengurusannya sejak Rabu lepas, kata Pengurus Besarnya, Terence Pudin (gambar bawah).

Beliau berkata, langkah itu diambil sejajar dengan arahan kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri di negara ini bagi membendung penularan wabak Covid 19.

Katanya, penutupan kemudahan sukan memang dikesali tetapi ia terpaksa dikuatkuasakan bagi mematuhi arahan kerajaan.

"Bagaimanapun, saya percaya orang ramai memahami keputusan itu dilakukan demi keselamatan mereka", katanya yang dilaporkan akhbar tempatan.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri turut menyatakan bahawa semua aktiviti rekreasi dan sukan berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal tidak dibenarkan sepanjang PKP.

Ini adalah kali ketiga penutupan kemudahan sukan dilakukan LSS sejak PKP awal dilaksanakan pada Mac tahun lalu disusuli yang kedua pada Oktober.

Terence berkata, ia adalah sokongan dan kerjasama yang diberikan lembaga itu untuk membantu mencegah penularan virus itu di negeri ini.

"Walaupun PKP itu dijadualkan berakhir pada 26 Januari ini tetapi keputusan akhir mengenai tarikh pembukaan semula semua kompleks sukan tertakluk kepada arahan kerajaan," ujarnya.

16 kompleks sukan di bawah LSS ialah Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Tawau, Keningau, Beaufort, Kota Belud, Sipitang, Tenom, Semporna, Tambunan, Lahad Datu, Nabawan, Ranau, Beluran dan Kudat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan