Ahad, 17 Januari 2021

KM NASIHAT SEMUA PIHAK BERJAGA-JAGA HADAPI BANJIR

Hajiji meninjau paras air Sungai Tuaran yang dijangka naik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor hari ini turun padang melawat kawasan banjir di Kampung Kegayungan dan meninjau paras air Sungai Tuaran yang terus naik berikutan keadaan hujan turun berterusan sejak petang kelmarin.

Beliau diiringi Setiausaha Politiknya, Johari Saiman.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji menasihatkan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Katanya, dalam menghadapi bencana banjir dan kejadian air pasang besar semasa Covid-19, kerajaan negeri mahu semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Ini bagi memastikan keselamatan orang ramai dan perkara yang tidak diingini berlaku serta bagi memutuskan rantaian wabak virus Covid-19.

Ketua Menteri juga memberitahu bahawa setiap keluarga yang terjejas akibat bencana banjir dan fenomena air pasang besar akan menerima wang ehsan sebanyak RM500 untuk meringankan beban mereka.

Katanya, bantuan itu akan diagihkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pejabat Daerah yang terlibat.

Hajiji ditemuramah wakil media ketika melawat mangsa banjir di Likas.

Sementara itu, Hajiji juga melawat mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Likas.

Turut hadir ialah Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Talip.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan