Isnin, 4 Januari 2021

UMNO MAHU KEKAL BERTANDING KERUSI PARLIMEN BEAUFORT

 

BEAUFORT: Umno Bahagian Beaufort menyuarakan pendirian akan terus kekal bertanding bagi kerusi Parlimen Beaufort pada pilihan raya umum akan datang. 

Pemangku Ketua Bahagiannya, Ag Aslee Lakat (gambar atas), berkata ini merupakan pendirian Umno Beaufort dan akan terus mempertahankannya. 

Katanya, Umno bahagian ini telah wujud sekian lama dan sewajarnya kerusi berkenaan dikekalkan untuk ditandingi parti itu. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan perwakilan Umno Bahagian Beaufort di Dewan DSP Dun Banir di sini, kelmarin. 

Kerusi Parlimen Beaufort ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Hajjah Azizah Datuk Seri Panglima Dun pada pilihan raya umum yang lepas. Bagaimanapun, anggota parlimen itu kemudian telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Barisan kepimpinan Umno Bahagian Beaufort.

Ag Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif Umno Sabah menegaskan bahawa Umno bahagian itu tidak akan berganjak daripada pendirian tersebut. 

Katanya, ia sejajar dengan pendirian Umno Sabah dan Umno Pusat. 

Beliau juga meminta pemimpin dan ahli Umno bahagian supaya terus giat mempromosikan kebaikan yang dibawa parti  kepada rakyat. 

"Banyak kebaikan dan jasa parti selama ini dan kita harus terus memberi informasi supaya rakyat memahami serta ia dapat memberi manfaat kepada mereka," ujarnya. 

Menurut beliau, gandingan pemimpin lama dan muka-muka baharu golongan muda dalam kepimpinan bahagian sekarang akan terus dapat memperkukuhkan lagi kepimpinan bahagian itu. 

Ag Aslee berkata, bahagian itu yang membabitkan kawasan DUN Kuala Penyu dan Klias mempunyai sejumlah 219 cawangan yang aktif ketika ini.

Katanya, jumlah itu boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa berdasarkan penerimaan dan keyakinan dalam kalangan rakyat.  

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para perwakilan yang menghadiri dan menjayakan persidangan bahagian tersebut.

Para perwakilan yang menghadiri persidangan itu.

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan