Jumaat, 1 Januari 2021

KBS SOKONG SABAH FC BERSIAP HADAPI LIGA SUPER

Andi (tiga dari kiri) bersama Terence (kiri sekali), beberapa pegawai Sabah FC dan pegawai Kompleks Sukan Likas meninjau keadaan Stadium Likas pada Khamis.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi sokongan sepenuhnya kepada kelab Sabah FC ketika mereka bersiap untuk menghadapi permulaan Liga Super pada hujung Februari ini, kata Pembantu Menterinya, Andi Muhamad Suryandy Bandy.

Beliau berkata, pihak kementerian akan memberikan sokongan kepada kelab itu dalam persediaan mereka menghadapi liga berkenaan bagi memastikan Sabah FC mencapai kejayaan.

Pembantu Menteri itu menyatakan perkara tersebut selepas mengadakan lawatan ke Stadium Likas kelmarin bersama Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terence Pudin, beberapa pegawai Sabah FC dan pegawai Kompleks Sukan Likas.

Lawatan itu bagi memeriksa keadaan kemudahan sedia ada di stadium berkenaan.

Walaupun belum mempunyai ketua jurulatih, kelab Sabah FC sudah memulakan program latihan kecergasan di stadium itu lebih seminggu yang lalu.

Difahamkan Sabah FC sedang berusaha mendapatkan semula khidmat ketua jurulatih musim lalu, Kurniawan Dwi Yulianto untuk membimbing pasukan itu musim ini.

Jurulatih dari Indonesia itu dijadualkan tiba di Kota Kinabalu pada 4 Januari ini untuk memuktamadkan perbincangan dengan Sabah FC.

Timbalan Presiden SAFA, Datuk Juil Nuatim (kanan) bersama Khairul Firdaus Akbar Khan (dua kiri), Setiausaha Agung SAFA, Benedict Asmat (kiri) dan penolong jurulatih, Burhan Ajui.

Sementara itu, Terence memberitahu, stadium itu diselenggara dengan baik oleh kakitangannya dan ia sepatutnya tiada masalah untuk mendapat lampu hijau bagi penggunaannya dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

"Keadaan stadium telah diselenggara dengan baik. Manakala lampu limpah untuk perlawanan pada waktu malam juga mencapai piawaian dan sentiasa dalam penyelenggaraan," ujar beliau.

Katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah melakukan pemeriksaan sebelum ini dan akan membuat pemeriksaan akhir dalam jangka masa satu atau dua minggu sebelum permulaan musim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan