Ahad, 24 Januari 2021

SAFA ANJUR DUA KEJOHANAN BOLASEPAK TAHUN INI

 

Azman bersama ahli-ahli jawatankuasa pertandingan yang bermesyuarat pagi tadi (Ahad). 

KOTA KINABALU: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) akan menganjurkan kejohanan bolasepak Piala Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin tahun ini.

Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, berkata Piala Hajiji akan menggantikan kejohanan Piala Ketua Menteri yang dianjurkan sebelum ini manakala Piala Bung Moktar Radin, ia kejohanan baharu bagi merebut Piala Presiden SAFA.

Katanya, bagi kejohanan Piala Hajiji tiada had umur pemain ditetapkan namun kejohanan Piala Bung Moktar hanya membabitkan pemain berumur bawah 18 tahun sahaja.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, memberitahu bagaimanapun kedua-dua kejohanan tersebut belum ditentukan tarikh pertandingan diadakan tetapi ia akan tetap dilaksanakan tahun ini.

"Jawatankuasa pertandingan mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini dan selepas ini kita akan memutuskan tarikh kejohanan itu dijalankan," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di pejabat SAFA, pagi ini.

Menurut beliau, kedua-dua kejohanan tersebut akan membabitkan lapan zon yang telah dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Zon itu ialah Zon Sandakan yang melibatkan pasukan Sandakan selaku tuan rumah, Beluran dan Kinabatangan, Zon Tawau terdiri dari Tawau (tuan rumah), Semporna, Lahad Datu dan Kunak, Zon Pedalaman Bawah terdiri dari Keningau (tuan rumah), Tenom, Tambunan dan Nabawan, Zon Pantai Barat Selatan terdiri dari Beaufort (tuan rumah), Kuala Penyu, Menumbok dan Sipitang, Zon Pedalaman Atas terdiri dari Ranau (tuan rumah), Telupid dan Tongod, Zon Pantai Barat terdiri dari Kota Kinabalu (tuan rumah), Putatan dan Papar, Zon Utara terdiri dari Kudat (tuan rumah), Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud dan Zon Utara Bawah terdiri dari Tuaran (tuan rumah), Tamparuli dan Penampang.

Ahli jawatankuasa itu bergambar di hadapan bangunan pejabat SAFA.

Penolong Setiausaha Agung SAFA itu menegaskan bahawa kedua-dua kejohanan itu bertujuan untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam usaha untuk memajukan sukan bolasepak di Sabah.

Ini, katanya, sejajar dengan aspirasi dan hala tuju Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan sukan bolasepak terus dikembangkan sekali gus mengembalikan prestasi pasukan Sabah ke landasan yang betul.

"Kita perlu memberi sokongan sepenuhnya terhadap hala tuju ini memandangkan sukan bolasepak sangat diminati ramai," ujarnya.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA adalah antara 19 jawatankuasa yang diwujudkan badan bolasepak negeri dalam mesyuarat SAFA pada 10 Januari lepas.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Azman Mastar, Lokman Sunggim (timbalan pengerusi), David Wisom (setiausaha), Hashim Soon (setiausaha kerja), Abdul Agus (bendahari), Stanley Chew, Omar Maya Amat, Azah Ezrien dan Awal Taham (pengarah pemilih pertandingan), Osman Harun (pegawai penyelaras pengadil), Eldrin Noel Siaw (pengarah logistik), Jaafar Wahid (pengarah media), Matasan Ahmad, Azman Soibah dan Malim Surat (ahli jawatankuasa).

Azman juga memberitahu, kejohanan itu akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kebenaran pihak kerajaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  ekoran penularan wabak Covid 19.

"Kita perlu menganjurkan kejohanan-kejohanan ini memandangkan jiran kita Sarawak sudah lebih dulu merancang berbuat demikian," tegasnya.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan