Jumaat, 8 Januari 2021

KERAJAAN TINGKAT USAHA TARIK PELABUR LUAR

 

Bekas Ketua-ketua Pemuda Umno 1991 mengabadikan kenangan bersama Bung Moktar (duduk tengah). 

KOTA KINABALU: Sabah perlu terus meningkatkan usaha menarik pelaburan dari luar untuk membantu membangunkan negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, dengan kemasukan lebih ramai pelabur akan memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan.

"Sudah ada pelabur termasuk dari China yang menunjuk minat untuk membuat pelaburan ke negeri ini," katanya pada majlis makan malam siratulrahim bekas Ketua-ketua pemuda Umno 1991 di sebuah hotel di sini pada Khamis. 

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata pelabur dari China sebagai contoh menunjukkan minat untuk membuat pelaburan bagi pembinaan "sky train" yang ada dalam perancangan kementerian.

Selain itu, katanya, bidang pertanian juga mempunyai potensi untuk dimajukan kerana pelabur-pelabur dari luar mempunyai minat dalam sektor tersebut.

"Kita akan berjumpa dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya usaha dilakukan untuk menarik pelaburan dari luar," katanya.

Bung Moktar berucap pada majlis makan malam itu.

Beliau berkata, kerajaan harus menumpukan perhatian untuk membantu rakyat.

"Kita mesti lakukan sesuatu yang boleh membantu mereka dan ini seharusnya menjadi usaha yang berterusan," ujarnya.

Katanya, jangan salahkan kerajaan yang lalu tetapi usaha mesti dilakukan untuk membuat perubahan.

Beliau berkata, banyak agensi seperti berkaitan air dan elektrik telah mengalami kerugian yang membabitkan kos yang tinggi.

"Kita tidak mahu mengulanginya lagi dan perlu mencari penyelesaian seperti dengan melakukan penswastaan terhadap air," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Sabah itu juga meminta bekas ketua-ketua pemuda terbabit supaya memberi input dan pandangan yang boleh membantu membangunkan negeri ini.

Katanya, pada masa yang sama turut memberi sokongan terhadap politik yang membawa kebaikan di Semenanjung dan di Sabah.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan