Sabtu, 9 Januari 2021

GRS TANDATANGANI MoU KERJASAMA POLITIK

Hajiji dan Bung Moktar memerhati dokumen memorandum persefahaman itu.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan sembilan parti hari ini menandatangani memorandum persefahaman untuk memantapkan kerjasama politik di negeri ini.

Jawatankuasa GRS terdiri daripada Bersatu, Umno, PBS, Star, PBRS, MCA, MIC, SAPP dan PAS.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menjadi Pengerusi Jawatankuasa GRS.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Presiden Star, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan masing-masing dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa tersebut.

Manakala Mohd Razali Razi dilantik sebagai setiausaha dan penolongnya ialah Ardino Diris.

Bendahari jawatankuasa itu ialah Datuk Seri Dr. Salleh Tun Said dan Datuk Joniston Bangkuai pula sebagai ketua penerangan.

Hajiji dan Bung Moktar bersama barisan jawatankuasa GRS.

Ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada Datuk Seri Masidi Manjun (Bersatu), Datuk Haji Mohd Ariffin Ariff (Bersatu), Senator Datuk Yaakub Khan (Umno), Datuk Jaffry Ariffin (Umno), Datuk Seri Radin Malleh (PBS), Datuk Jahid Jahim (PBS), Datuk Elron Alfred Angin (Star), Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi (Star), Tan Sri Joseph Kurup (PBRS), Arthur Joseph Kurup (PBRS), Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP), Edward Dagul (SAPP), Lee Wan Tung @ Lu Yen Tung (MCA), Dr. Pamela Yong (MCA), Peer Mohammad Kadir (MIC) dan Mohd Aminuddin Aling (PAS).

Upacara menandatangani memorandum persefahaman itu diketuai Hajiji, disusuli Bung Moktar dan ketua-ketua kepimpinan parti dalam gabungan pada satu majlis bersejarah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Ketika ditanya pemberita kemudian, Bung Moktar mengulangi pendirian Umno untuk terus mempertahankan kerajaan GRS di Sabah.

Menurut beliau, partinya tetap komited dalam kerajaan GRS bagi membolehkan negeri ini dapat dibangunkan.

"Keutamaan kita membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat," katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

Kerajaan GRS mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada September lalu selepas memenangi pilihan raya umum yang ke-16.

SEIRING SEJALAN...Bung Moktar bersama Jaffry mengiringi Hajiji ke SICC.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan