Khamis, 17 Oktober 2019

SABAH GUNA KHIDMAT JURULATIH LUAR MUSIM DEPAN

Skuad Sabah akan menggunakan khidmat jurulatih luar negara untuk menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony (gambar), berkata, ini kerana jurulatih Jelius Ating tidak dapat mengendalikan skuad Tambadau dalam saingan Liga Super ekoran syarat yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM mewajibkan skuad Liga Super dikendalikan jurulatih yang memiliki lesen kejurulatihan "AFC Pro License".

"SAFA sudah merayu kepada FAM supaya kita terus mengekalkan khidmat Jelius untuk membimbing skuad Liga Super namun ia telah ditolak", katanya selepas Kongres Tahunan SAFA, semalam.

Sambil menyatakan SAFA akur dengan keputusan FAM itu, Peter membayangkan pihaknya akan mendapatkan khidmat jurulatih luar negara yang memiliki lesen sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, Jelius akan terus kekal bersama pasukan sebagai penolong jurulatih.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menambah skuad Sabah akan berwajah baharu dengan kehadiran beberapa pemain import yang baharu supaya mampu memberi cabaran dalam Liga Super.

Beberapa pemain mungkin digugurkan berdasarkan prestasi mereka dan SAFA sudah mempunyai senarai pemain yang telah disyorkan oleh jurulatih yang mengendalikan pasukan sebelum ini.

Manakala ketua jurulatih baharu akan dinamakan sebaik sahaja selesai semua urusan pentadbiran, kata Peter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan