Isnin, 21 Mei 2018

UPKO BEAUFORT SOKONG KERJASAMA DENGAN WARISAN BENTUK KERAJAAN

Limus (duduk enam dari kanan) bersama ahli-ahli jawatankuasa bahagian sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian parti.

UPKO Bahagian Beaufort semalam menyatakan pendirian menyokong keputusan Majlis Tertingginya untuk bergabung dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Ketua Bahagian yang juga Adun kawasan Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berkata, langkah yang diambil parti itu untuk bekerjasama dengan parti Warisan mengambil kira kepentingan dan masa hadapan rakyat.

Katanya, menjalinkan kerjasama dengan Warisan untuk menubuhkan kerajaan baru di Sabah adalah usaha bijak yang diambil parti dalam menghadapi senario politik semasa di negeri ini.

"Bahagian ini menghormati pendirian Majlis Tertinggi UPKO untuk bergabung dengan Warisan dan kita bukan sahaja akur malah mengambil ketetapan untuk menyokong penuh usaha tersebut," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Upko bahagian di sebuah hotel di sini.

Limus merupakan salah seorang Adun daripada lima Adun UPKO yang menang pada pilihan raya umum ke-14 awal bulan ini. Adun lain ialah Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Bobby Suan (Nabawan), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

Anggota Parlimen tunggal parti itu ialah Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Pemangku Presiden UPKO yang memenangi kerusi Tuaran.

Mempengerusikan mesyuarat bahagian semalam merupakan penampilan pertama Limus untuk menyatakan pendirian bahagian yang diterajuinya selepas mengambil sikap "bertenang" untuk tempoh lebih dua minggu sejak PRU-14 pada 9 Mei lepas.

Sebelum ini, Pemangku Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau mengumumkan keputusan parti itu untuk keluar dari Barisan Nasional dan bergabung dengan parti Warisan untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pendirian ini diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti dengan mengambil kira kepentingan dan masa hadapan rakyat di Sabah selain melihat suasana politik baharu yang berlaku, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, UPKO juga akan mengadakan Mesyuarat agung tergempar di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang pada 26 Mei ini.

Upacara perasmian dijangka dilakukan oleh Ketua Menteri, Datuk Shafie Apdal.