Penjaring gol dalam perlawanan dengan Pulau Pinang. Dari kiri; Nasip, Rozacklye, Sahrizan, Irwanto dan Hizaz. Foto ehsan: The Rhinos Troops.
KOTA KINABALU: Pasukan B19 Sabah perlu meneruskan momentum dalam pertemuan dengan Pahang dalam Piala Belia di Stadium UIA Indera Mahkota, Pahang, Ahad ini.
Kemenangan besar 7-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Penampang Ahad lepas pastinya mencetuskan semangat baharu kepada pasukan yang dibelenggui sindrom kekalahan sebelum ini.
Strategi menyerang pasukan dalam perlawanan tersebut terbukti membuahkan hasil pasukan kendalian bekas pemain negeri, Billyton Vun itu.
Ia diakui sendiri oleh jurulatih berkenaan bahawa strategi itu memberi ruang kepada pemain khususnya barisan serangan untuk terus mengasak lawan dan berjaya menghasilkan jaringan gol.
Kehadiran pemain skuad Piala Presiden, Hizaz Lokman yang dipinjamkan kepada pasukan Piala Belia turut membantu memberi inspirasi dan menambah keyakinan kepada rakan-rakan dalam pasukan untuk melaksanakan peranan masing-masing.
Hizaz menyumbangkan dua gol dalam perlawanan itu bersama seorang muka baharu, Nasip Muhamad Zain yang turut menghasilkan dua gol. Tiga gol lagi masing-masing di diperolehi menerusi Sahrizan Saidin, Ahmad Irwanto Rusli dan Rozacklye Yanam.
Pemain-pemain bersorak selepas berpesta gol dalam perlawanan tersebut. Foto: SALBIAH JABRIN.
Tidak syak lagi bahawa kesebelasan utama yang melakarkan kemenangan besar ke atas Pulau Pinang itu sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk terus memburu kemenangan dalam perlawanan selepas ini.
Perlawanan di pusingan kedua saingan Piala Belia ini tidak seharusnya dipersia-siakan lagi sebaliknya terus mengerahkan sepenuh kudrat untuk bangkit jika mahu mencapai kedudukan lebih baik dalam liga.
Musim lalu, Sabah menduduki tempat kedua dalam takhta liga sekaligus melayakkan diri ke saingan suku akhir.
Penjaga gawang Pulau Pinang melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan namun gol lebih pantas menerjah ke gawangnya. Foto SALBIAH JABRIN.