BUNG MOKTAR...letak jawatan Presiden SAFA serta merta.
KOTA KINABALU--Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin hari ini mengumumkan peletakannya sebagai presiden badan bola sepak negeri itu berkuatkuasa serta.
Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu atas kerelaan dirinya selain untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya politik.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan secara rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung SAFA dalam masa terdekat.
Katanya, sejak mengambil alih kepimpinan SAFA memang berhadapan pelbagai cabaran terutama dari segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan ini.
Timbalan Ketua Menteri itu menerajui badan bola sepak negeri sejak Jun 2021 selepas ahli majlis tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik beliau sebagai pemangku Presiden SAFA dan kemudian disahkan pada mesyuarat agung luar biasa badan itu pada Jun tahun tersebut atas mandat kesemua badan gabungan SAFA.
Kata Bung Moktar, pihaknya telah berusaha untuk melakukan perubahan dalam kepimpinan SAFA termasuk menganjurkan beberapa siri pertandingan seperti Kejohanan bola sepak B18 tahun Sabah dan Piala Ketua Menteri (KM) pada tahun lepas.
Selain itu, SAFA juga bakal melancarkan Akademi Bola Sepak SAFA khusus untuk pemain muda B12, B14 dan B16 pada akhir bulan ini serta menjalinkan kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini dalam usaha mengembang dan meningkatkan mutu bola sepak di negeri ini.
Di bawah teraju kepimpinannya, SAFA juga memberi sumbangan besar terhadap pembentukan kelab profesional pertama di Sabah, Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia.
Untuk rekod, Sabah FC menduduki tempat ketiga dalam Liga Super 2022 dan melayakkan diri untuk bertanding dalam AFC tahun ini.
Bung Moktar bersalaman dengan pemain Sabah FC ketika menemui mereka dalam satu perlawanan Liga Super musim lepas.Beliau berkata, pihaknya tetap bersyukur dan gembira kerana sedikit-sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan khususnya bagi pasukan Sabah FC walaupun masih ada ruang untuk dipertingkatkan.
"Mengurus badan bola sepak induk selain membantu perancangan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan daripada semua pihak dan berharap ia dapat diteruskan agar kelab profesional itu mampu melangkah lebih jauh," tegasnya.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua gabungan SAFA dan peminat bola sepak, Bung Moktar berharap peminat sukan itu yang selama ini menyanjung pasukan bola sepak khususnya Sabah FC agar terus memberi sokongan kepada penggantinya nanti.