James akui selesa dengan posisinya dalam pasukan.
Seseorang pemain bola sepak perlu mempunyai naluri (instinct) ketika beraksi di padang kerana ia boleh membantu memberi impak kepadanya untuk membantu kejayaan pasukan, kata bekas pemain antarabangsa dan kebangsaan, Datuk James Wong.
"Pada saya naluri sangat penting kepada pemain terutama bagi seorang penyerang".
"Inilah yang saya alami apabila berada dalam padang kerana ia membantu kita membuat keputusan pantas untuk menghasilkan jaringan," katanya ketika berkongsi pengalaman di era kegemilangannya pada masa lalu.
Selain itu, seseorang pemain juga harus memiliki asas bola sepak dan mempunyai disiplin.
Menurut pemain legenda itu, semua ini sangat penting untuk membolehkan seseorang pemain menghasilkan sesuatu untuk membantu kejayaan pasukan.
Beliau diminta berkongsi pengalaman mengenai gol kemenangan yang dijaringkannya ketika pasukan Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 untuk membolehkan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.
Katanya, jaringan itu sukar dilupakan dan sudah tentu ia menjadi kenangan manis sepanjang kerjaya beliau sebagai pemain bola sepak.
DETIK INDAH...Imbas kembali James diraikan rakannya Ramli Junit selepas menjaringkan gol kemenangan menewaskan Korea Selatan."Saya sendiri sukar menceritakan jaringan gol tersebut namun itulah naluri yang datang spontan dan jaringan itu dapat dihasilkan,".
"Saya dibayangi seorang pemain pertahanan Korea Selatan pada saat itu apabila menerima hantaran daripada Hassan Sani yang sebelum itu berjaya melepasi dua pemain lawan,".
"Saya menahan bola itu dan menghala sedikit ke sebelah kanan sebelum merembat masuk," katanya kepada Haji Omar Jamil dari Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam yang ingin tahu bagaimana gol kemenangan tersebut terhasil.
James yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Sabah, berkata, semasa berusia 15 hingga 17 tahun, beliau bermain sebagai penjaga gol sebelum bertukar posisi menjadi striker.
"Saya bermula sebagai penjaga gol pada awalnya namun jurulatih melihat potensi saya di bahagian serangan,".
"Biasanya dalam pasukan kebangsaan, saya bermain sebagai attacking midfield atau backup striker kerana selalunya Moktar Dahari atau Isa Bakar bermain sebagai top striker," ujarnya dan menambah beliau memang selesa di posisi tersebut.
James berkongsi kisahnya sebagai seorang pemain penyerang di era 80-an kepada Haji Omar (kiri sekali). Turut kelihatan Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim dan jurulatih Roslan Wasli.