Isnin, 29 April 2013

LIMUS JURY, CALON BN PERINTIS PERUBAHAN, BAWA HARAPAN BARU UNTUK KUALA PENYU



Calon Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Kuala Penyu, Limus Jury (gambar) menggariskan beberapa perkara yang menjadi fokus dan keutamaannya sebaik sahaja diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRU) pada 5 Mei ini.

Ia terkandung dalam ikrar beliau dalam sesi menemui rakyat dan pengundi di kawasan Kuala Penyu sepanjang kempen pilihan raya ini.

Pertama; Tidak akan mengambil elaun sebagai wakil rakyat sebaliknya menyumbangkan semua elaun itu ke dalam Tabung Khas yang akan ditubuhkan bagi membiayai pendidikan anak-anak warga Kuala Penyu.

Kedua; Berusaha merangsang dan menggerak ekonomi penduduk Kuala Penyu.

Ketiga; Menggunakan pengalamannya sebagai seorang usahawan yang berjaya bagi membantu mendidik generasi baru Kuala Penyu memperoleh asas dan seterusnya berjaya dalam bidang keusahawanan.

Keempat; Berusaha menjadikan Kuala Penyu sebagai hub-pelancongan berdasarkan potensi sektor berkenaan di kawasan ini.

Menurut Limus, Kuala Penyu mempunyai banyak potensi dalam sektor-sektor tersebut yang perlukan idea dan perancangan teliti  bagi menjayakannya agar ia  menjadi kenyataan.

Malah, katanya, masyarakat Kuala Penyu juga mempunyai kemahiran masing-masing dalam pelbagai bidang yang perlu digerakkan dan diberi suntikan semangat supaya mereka terus mempunyai motivasi untuk memburu kejayaan.

“Jika diberi mandat oleh rakyat, saya akan berusaha memberi penekanan terhadap misi dan visi saya serta perkara-perkara yang menjadi fokus dan keutamaan saya kerana sedar dan percaya semuanya itu boleh dilakukan dan direalisasikan,” tegasnya.

Limus berkata, walaupun dia orang baru dalam politik namun pengalaman beliau dalam pengurusan perniagaan selama ini dapat membantu beliau menjana setiap perancangan yang akan dilakukan bagi kawasan Kuala Penyu pada masa hadapan
.
“Apa yang penting seluruh warga Kuala Penyu termasuk mereka yang bekerja di luar daerah bersama-sama memberi kerjasama dan sokongan bagi membolehkan setiap perancangan yang dibuat boleh menjadi kenyataan.”

Justeru, katanya, beliau dengan rasa rendah diri memohon kerjasama dan sokongan serta merayu dengan hati yang ikhlas kepada warga Kuala Penyu agar memberi peluang kepadanya  pada hari pengundian 5 Mei ini dengan memberi kemenangan kepada BN.

Beliau berkata rakyat Kuala Penyu perlu berganding bahu dan merapatkan barisan dengan tampil bersama-samanya bagi melakukan perubahan di kawasan ini.

“Ini sesuatu yang bukan mustahil direalisasikan kerana sumber dan potensi sudah wujud di daerah ini dan dengan ditambah kemahiran yang dimiliki oleh warga Kuala Penyu sendiri sebenarnya memberi kelebihan kita dapat melakukan dengan jayanya suatu hari kelak,”.

“Sebab itu marilah bersama-sama saya, satukan hati dan bulatkan tekad memberi sokongan yang yang seikhlas-ikhlasnya kepada BN bagi membolehkan kita bersama-sama dapat mengerakkan minda masyarakat demi membawa harapan baru untuk Kuala Penyu,” tegas Limus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan