Bakat bermain bolasepak yang dimiliki Mohd Hizaz Lokman, 11, murid tahun lima SK Likas mula dikenal pasti seawal usia tujuh tahun ketika bersama TABS Bandaraya Kota Kinabalu di bawah pengawasan ketua jurulatih, Matasan Ahmad.
Ketika dalam latihan, pemain kanak-kanak ini memang mempunyai keistimewaan dalam melakukan kawalan bola dan menggelicik membuatkan para jurulatih TABS mendapati pemain ini mempunyai kelebihan tersendiri.
Bagaimanapun para jurulatih berkenaan menghadapi kesukaran untuk mengingati nama Mohd Hizaz yang mungkin disebut ganjil sedikit menyebabkan mereka memberi nama jolokan kepadanya, Kaka kerana secara kebetulan Hizaz menggemari jersi yang dipakai Kaka ketika itu dan panggilan glamour itu digunakan sehingga sekarang oleh rakan-rakan yang mengenalinya.
Ketika berusia 10 tahun, pihak sekolah menasihatkan murid tahun tiga ini bermain dengan pasukan sekolah dan ia mendapat sokongan ibu bapanya yang sebelum itu meminta keizinan daripada TABS Safa Bandaraya.
Sama ada ia secara kebetulan atau sebaliknya, nama Kaka itu seolah-olah membolehkan Hizaz lebih mudah dikenali dan memberi keyakinan kepadanya untuk memperbaiki corak permainan dari semasa ke semasa.
Baik dipanggil Hizaz atau Kaka, pemain kidal ini sebenarnya sering menjadi tumpuan terutama apabila beraksi dalam perlawanan-perlawanan yang dihadapi SK Likas baik dalam Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu, Kejohanan Bolasepak MSSS Bawah 12 Tahun mahu pun perlawanan persahabatan dengan pasukan sekolah yang teringin menguji keupayaan sebenar pasukan sekolah itu.
Apabila bersama pasukan SK Likas, orang yang bertanggungjawab memberi bimbingan kepada pemain ini ialah jurulatih cikgu Norsi Haji Sabtari, seorang guru yang sentiasa mengawasi bakatnya dan seterusnya menggilap kemahiran yang dimilik pemain ini.
Malah cikgu Norsi sentiasa mempunyai keyakinan penuh terhadap bakat yang dimiliki Hizaz dan membayangkan bahawa dia berpotensi untuk menjadi penyerang berbisa di masa hadapan.
Dengan pengesanan itu dan melihat sendiri kelebihan Hizaz, cikgu Norsi tidak ragu-ragu menggelarkan pemain ini sebagai penyerang sensasi sekolah berkenaan dan menugaskannya mengambil setiap tendangan bebas yang disifatkan cikgu Norsi bahawa Hizaz mempunyai kesitimewaan dalam menyempurnakan sepakan seumpama itu dengan berkesan dan sering menghasilkan gol.
Ketika beraksi dalam pasukan sekolah, Hizaz diberi peranan bergandingan dengan ketua pasukan Ramli Jamrih, murid tahun enam bagi memantapkan bahagian serangan dan ini disusuli ketika mereka mewakili pasukan Zon Likas dan kemudian mewakili pasukan Kota Kinabalu ke Kejohanan Bolasepak MSS Bahagian Kota Kinabalu dan Bahagian Barat.
Bekemungkinan besar, kedua penyerang SK Likas ini akan sekali lagi bergandingan mempertajamkan Bahagian Barat untuk menghadapi Kejohanan Bolasepak MSSS Peringkat Negeri di Tawau bulan depan memandangkan kedua-duanya selain seorang lagi pemain pertahanan SK Likas sudah disenaraikan menjalani latihan bagi pasukan Bahagian Barat.
Dalam saingan Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu yang sedang berlangsung sekarang, gandingan Hizaz dan Ramli ternyata terus menyerlah untuk menghasilkan gol bagi setiap perlawanan yang diharungi dengan menyaksikan Hizaz berjaya mencipta hatrik sebanyak dua kali berturut dalam masa dua minggu.
Sementara itu, ketika usia 10 tahun, Hizaz telah membantu SK Likas berjaya menduduki naib juara Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun Peringkat MSSD Kota Kinabalu pada tahun lepas sekali gus diisytiharkan sebagai pasukan terbaik dalam kejohanan tersebut.
Dalam Karnival Futsal Bawah 12 Tahun Peringkat Kota Kinabalu yang berlangsung di Stadium Likas pada pertengahan tahun yang sama, SK Likas B yang diperkuatkan Hizaz dan Ramli muncul sebagai juara Piala Bola dalam Karnival Futsal anjuran Lembaga Sukan Sabah (LSS) selain satu lagi pasukan, SK Likas A menduduki naib juara bagi kategori Piala Kejohanan.
SK Likas, antara pasukan sekolah biasa yang digeruni pasukan lawan juga berjaya memenangi tempat keempat dalam Karnival Futsal Bawah 12 Tahun Milo Hidup Bola di Kota Kinabalu yang disertai kira-kira 40 pasukan dari sekitar Pantai Barat.
Prestasi SK Likas dalam kejohanan-kejohanan yang disertainya membolehkan pasukan sekolah ini, yang bukan pun berstatus sekolah sukan sentiasa menjadi perhatian pasukan-pasukan sekolah dari seluruh negeri. Ini juga menjadikan SK Likas diminati oleh pasukan sekolah lain terutama di sekitar Kota Kinabalu untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan mereka.
Dan yang menariknya, daripada puluhan perlawanan persahabatan yang dihadapi pasukan SK Likas itu sama ada diadakan di padang sendiri mahu pun di luar, kesemuanya telah mereka menangi dengan sebahagian besarnya dengan jumlah jaringan yang besar.
“SK Likas mampu mengecapi kejayaan ini kerana semua pemain menunjukkan komitmen, disiplin yang baik dan mereka benar-benar menghayati permainan bolasepak itu serta menggunakan skil dan kemahiran mereka di tengah padang,” kata jurulatihnya, Norsi Haji Sabtari.
Guru ini juga merupakan nadi utama pengurusan pasukan sekolah berkenaan dengan melakukan penyediaan pemain-pemain bermula dari tahun tiga hingga enam dan ini membolehkan SK Likas tidak pernah ketandusan pemain setiap tahun.
Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti bakat pemain-pemain menerusi pertandingan antara kelas dan kemudian mengumpul mereka untuk menjalani pemain lain terutama yang sudah berada di tahun enam.
“Jangan hairan pasukan utama SK Likas menggandingkan pemain-pemain dari tahun tiga, empat, lima dan enam dan mereka tidak gentar menghadapi lawan, yang biasanya hanya menurunkan pemain di tahun enam sahaja,” katanya.
Bekas jurulatih Sabah di era lewat tahun 70-an dan awal 80-an, Stanley Chew yang kini menjadi ketua jurulatih Sabah FC mengakui bakat dan potensi pemain kanak-kanak yang dimiliki SK Likas.
Katanya, sekolah ini mempunyai pemain yang baik dan mereka ini seharusnya mendapat perhatian agar potensi mereka tidak akan lenyap selepas mereka melangkah ke tingkatan satu.
“Secara peribadi, saya tidak keberatan dan bersedia membantu serta memberi pandangan supaya bakat pemain-pemain muda sekolah ini tidak sia-sia begitu sahaja,” katanya yang sudah mendapatkan khidmat dua bekas murid SK Likas, Norsan Mansur dan Shahrul untuk bermain dalam kelabnya, Sabah FC bagi Liga Bolasepak Kota Kinabalu Bawah 14 Tahun.
Pada pertengahan bulan ini (11-15 April 2011), tiga pemain SK Likas iaitu Mohd Hizaz, Ramli Jamrih dan Abd Aziz Abd Kadir terpilih mewakili pasukan Bahagian Barat ke Kejohanan Bolasepak MSSS Bawah 12 Peringkat Negeri yang berlangsung di Tawau di mana pasukan itu menduduki naib juara setelah mengalami kekalahan menerusi sepakan penalti ke atas pasukan tuan rumah, Bahagian Tenggara 1-3.
Penentuan juara dan naib juara terpaksa dilakukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terika 1-1 dalam permainan sepenuh masa hingga berlarutan ke masa tambahan.
Bahagian Barat melakukan jaringan lebih dahulu menerusi Ramli Jamrih yang merembat masuk bola muntah dari tangkapan penjaga gawang lawan hasil percubaan Mohd Hizaz di separuh masa kedua sebelum Bahagian Tenggara dapat menyamakan kedudukan pada minit terakhir separuh masa kedua.
Sebelum itu dalam Kejohanan Peringkat Bahagian Barat di Ranau pada Mac lepas, seramai lima pemain SK Likas berjaya mewakil pasukan Kota Kinabalu untuk beraksi dalam kejohanan tersebut. Mereka ialah Mohd Hizaz, Ramli, Abcul Aziz, Mohd Shariff dan Mohd Iswan Irwan.
Ketika beraksi di kejohanan peringkat negeri di Tawau, ketiga-tiga pemain SK Likas - Ramli, Mohd Hizaz dan Abdul Aziz menganggotai kesebelasan utama pasukan Bahagian Barat di mana menyaksikan Mohd Hizaz berjaya menjaringkan tiga gol dan Ramli memperoleh dua gol bagi membantu kejayaan pasukan sepanjang kejohanan itu.
Ramli, ketika artikel ini ditulis sudah pun disahkan terpilih mewakili pasukan Sabah menghadapi Kejohanan kebangsaan di Pulau Pinang bulan depan manakala Mohd Hizaz masih dalam penelitian sementara menanti pengesahan terakhir pemain-pemain yang terpilih.
Menurut jurulatih Norsi Sabtari, sekiranya ada pemain menarik diri maka peluang itu akan diberikan kepada Mohd Hizaz.
Pemain tahun lima ini ketika ditanya mengenai situasi itu, memberitahu, dia berharap mendapat peluang untuk beraksi di kejohanan kebangsaan walaupun sebenarnya dia tetap masih mempunyai peluang untuk bermain di kejohanan itu pada tahun depan.
"Jika ada peluang, saya bersedia untuk mewakili negeri dan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan