Gambar atas: Para pemain SK Likas yang mewakili Sabah bersama jurulatih dan ibu bapa melaungkan Sabah Boleh selepas menewaskan Mykids Perlis pada perlawanan penentuan tempat ketiga. Bawah: Pasukan itu bergambar dengan trofi, medal dan hadiah wang tunai RM5,000 yang dimenangi.
KUALA TERENGGANU:
Pasukan Sabah memenangi tempat ketiga Kejohanan Antara Juara-Juara 2012 setelah
menumpaskan pasukan Mykids Perlis 4-3 melalui sepakan penalti pada perlawanan
penentuan di padang Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini, pagi ini.
Penentuan melalui
sepakan penalti terpaksa dilakukan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan
keputusan seri 1-1 pada perlawanan sepenuh masa.
Perlis yang baru sahaja
dinobatkan sebagai juara Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan 2012 di Kangar baru-baru
ini seolah-olah tidak mahu memberi laluan mudah kepada Sabah selepas kedua-dua
pasukan juga seri 1-1 pada perlawanan perlawanan peringkat kumpulan.
Bagaimanapun kehebatan
Perlis tidak menghalang Sabah untuk membuktikan kemampuan mereka walaupun
pasukan lawan itu berjaya mendapatkan gol pendahulu pada minit-minit akhir
separuh masa kedua.
Ketinggalan dengan
jaringan tunggal itu, Sabah sebaliknya mengatur strategi lebih berkesan pada
babak separuh masa kedua dan ia terbukti membawa hasil apabila penyerang Nasip
Md Zain yang dikawal ketat sepanjang permainan akhirnya menjaringkan gol
penyamaan menerusi tendangan bebas, yang menghidupkan semula peluang mereka.
Penjaga gol Sabah, Azeem
Hakimi juga bertindak cemerlang mengawal gawang ketika sepakan penalti dan kemudian
membantu menjaringkan gol kemenangan yang diambilnya melalui sepakan terakhir.
Gol tersebut sekali gus memusnahkan impian pasukan juara kejohanan mykids
soccer kebangsaan itu.
Ketika diminta mengulas
kejayaan pasukan Sabah itu, jurulatih Norsi Haji Sabtari, berkata pihaknya
yakin pemain-pemain mampu memenangi perlawanan itu berdasarkan pengalaman
dua kali menghadapi Perlis sebelum ini.
"Kita telah
merangka strategi dan kita mempunyai keyakinan bahawa kemenangan boleh memihak
kita," katanya.
Beliau berkata, benteng
pertahanan pasukannya turut memperlihatkan kekebalan untuk mengekang lawan dan
ini menyukarkan lawan melancarkan serangan berbahaya.
"Kami juga memberi
tumpuan terhadap sepakan penalti kerana ini kerap terjadi dalam permainan
bolasepak. Apabila perlawanan diheret kepada sepakan penalti, sudah tentulah
kita telah bersedia dan hasilnya kita berjaya," ujarnya.
Dengan kejayaan itu, Sabah yang diwakili SK Likas berjaya
membawa pulang sebuah trofi, medal dan hadiah wang tunai RM5,000.
Lebih bermakna lagi kemenangan itu turut meletakkan
pasukan sekolah berkenaan sebagai ketiga
terbaik pasukan bawah 12 tahun di negara ini.