Khamis, 9 Mei 2013

HAFIDZ DITERIMA SEBAGAI PEGUAM DI BADAN KEHAKIMAN SABAH

Hafidz (tengah) bersama kedua ibu bapa dan dua rakan peguam.

SELEPAS diterima sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 2011 membolehkan Mohd Al Hafidz Lokman menjalankan khidmat guaman di Semenanjung Malaysia namun hatinya tetap mahu kembali dan berkhidmat di negeri kelahirannya, Sabah.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya ini sebelum itu menjalani latihan guaman di firma Shukor, Baljit & Patners di Sentul, Kuala Lumpur pada tahun tersebut.

Beliau bagaimanapun begitu berminat untuk kembali berkhidmat di negeri kelahirannya sendiri. Kerana itu, Mohd Al Hafidz, 26, mengambil keputusan untuk menjalani latihan guaman sekali lagi di Ngui & Associates di Kota Kinabalu selama enam bulan sebelum sah diterima sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada Rabu lepas.



Ini bermakna Mohd Al Hafidz (gambar), bekas pelajar SMK Likas, SM All Saint dan SMK Teknik Likas itu kini bukan sahaja boleh menjalankan khidmat guaman di Semenanjung Malaysia tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Dikenali dengan panggilan Apit bagi orang-orang kampung di Kg. Kayul, Galinggang dan Kasugira di Kuala Penyu ketika masih kanak-kanak, dia kemudian bersekolah di SRK St Agnes Likas dan membesar di Kota Kinabalu.

Pada majlis yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Rabu, Mohd Al Hafidz adalah antara lima peguam baru yang diterima masuk ke Badan Kehakiman Sabah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Chew Soo Ho.

Empat yang lain ialah Henry Gudid, Lee Ivy, Safiah @ Sofiezah Saflin dan Ami Syah Amir Hassan.

Hafidz yang ketika ini berkhidmat di Ngui & Associates berharap untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang guaman sebelum merancang membuka firma guaman sendiri.

"Saya perlu menimba pengalaman daripada rakan-rakan peguam yang lain selain berusaha meningkatkan keupayaan sendiri untuk menjadi seorang peguam yang berwibawa," katanya yang berhasrat menubuhkan firma guaman bersama rakan peguam dari Semenanjung.

Katanya, jika menjadi kenyataan, mereka akan mewujudkan pejabat firma itu di Sabah dan Semenanjung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan