Khamis, 17 Januari 2013

MAYANG PARLIMEN BEAUFORT BANTU TANGANI ISU KEBAJIKAN RAKYAT


MANDAT...Isnin bersama anggota jawatankuasa baru MAYANG Parlimen Beaufort yang hadir pada mesyuarat pertama itu.

Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAYANG) P.177 Beaufort yang baru, Isnin Aliasnih berkata, badan itu akan berusaha untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan di kawasan Parlimen berkenaan bagi membolehkan mereka dapat diberi bantuan yang sewajarnya.

Katanya, MAYANG adalah sebuah badan yang menjadi saluran kerajaan untuk menghulurkan bantuan khususnya golongan daif dan miskin di luar bandar.

“Mereka yang dikenal pasti kurang berkemampuan dan susah, kita akan bantu mereka bagi meringankan beban terutama membabitkan soal kebajikan mereka,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat pertama MAYANG bagi Parlimen Beaufort di Pejabat Umno bahagian di sini.

Isnin yang juga Pengerusi Penyelaras BN Bahagian Beaufort dan Pemangku Ketua Umno bahagian berkenaan menerima pelantikan menerajui majlis itu yang sebelum ini dipegang oleh Anggota Parlimen kawasan Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin.

Pemangku Ketua Umno bahagian itu berkata, berikutan pelantikannya sebagai pengerusi baru badan itu, beliau juga melibatkan wakil parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk menganggotai dalam jawatankuasa MAYANG yang baru.

Jawatankuasa itu dijangka dianggotai kira-kira 15 orang atau lebih bergantung dengan keperluan, katanya.

Serentak dengan itu, Isnin juga melantik Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort, Lokman Sunggim sebagai timbalannya pada mesyuarat pertama itu.

Menurut beliau, MAYANG tidak semestinya dianggotai oleh wanita sebagaimana yang menjadi gambaran sebelum ini.

Bagaimanapun, saya akan memberi peluang kepada wanita untuk menganggotai jawatakuasa ini terutama dari Pergerakan Wanita Umno Bahagian dan Puteri, tambahnya.

Beliau juga berharap kepada setiap ahli jawatankuasa MAYANG Parlimen Beaufort  perlu aktif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan bagi memperkasa agenda membela nasib rakyat di kawasan Parlimen itu.

Program yang direncanakan bukan sahaja menjurus kepada soal kebajikan masyarakat setempat namun ia turut memberikan perhatian terhadap pelbagai bentuk cabaran sosial yang melanda kehidupan masyarakat terutama sekali bagi menyangkal sesuatu dakyah yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Di samping itu, katanya, MAYANG juga akan berusaha melaksanakan program kebajikan, program keilmuan, agama dan sosial sebagai langkah memenuhi tuntutan ke arah kehidupan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan