Calon Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) N.26 Kuala Penyu, Limus Jury (gambar) menggariskan beberapa perkara yang menjadi
fokus dan keutamaannya sebaik sahaja diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum
Negeri (PRU) pada 5 Mei ini.
Ia terkandung dalam ikrar beliau dalam sesi menemui
rakyat dan pengundi di kawasan Kuala Penyu sepanjang kempen pilihan raya ini.
Pertama; Tidak akan mengambil elaun sebagai wakil rakyat
sebaliknya menyumbangkan semua elaun itu ke dalam Tabung Khas yang akan
ditubuhkan bagi membiayai pendidikan anak-anak warga Kuala Penyu.
Kedua; Berusaha merangsang dan menggerak ekonomi penduduk
Kuala Penyu.
Ketiga; Menggunakan pengalamannya sebagai seorang
usahawan yang berjaya bagi membantu mendidik generasi baru Kuala Penyu
memperoleh asas dan seterusnya berjaya dalam bidang keusahawanan.
Keempat; Berusaha menjadikan Kuala Penyu sebagai
hub-pelancongan berdasarkan potensi sektor berkenaan di kawasan ini.
Menurut Limus, Kuala Penyu mempunyai banyak potensi dalam
sektor-sektor tersebut yang perlukan idea dan perancangan teliti bagi menjayakannya agar ia menjadi kenyataan.
Malah, katanya, masyarakat Kuala Penyu juga mempunyai
kemahiran masing-masing dalam pelbagai bidang yang perlu digerakkan dan diberi
suntikan semangat supaya mereka terus mempunyai motivasi untuk memburu kejayaan.
“Jika diberi mandat oleh rakyat, saya akan berusaha
memberi penekanan terhadap misi dan visi saya serta perkara-perkara yang
menjadi fokus dan keutamaan saya kerana sedar dan percaya semuanya itu boleh
dilakukan dan direalisasikan,” tegasnya.
Limus berkata, walaupun dia orang baru dalam politik
namun pengalaman beliau dalam pengurusan perniagaan selama ini dapat membantu beliau menjana setiap perancangan yang akan dilakukan bagi kawasan Kuala
Penyu pada masa hadapan
.
“Apa yang penting seluruh warga Kuala Penyu termasuk
mereka yang bekerja di luar daerah bersama-sama memberi kerjasama dan sokongan
bagi membolehkan setiap perancangan yang dibuat boleh menjadi kenyataan.”
Justeru, katanya, beliau dengan rasa rendah diri
memohon kerjasama dan sokongan serta merayu dengan hati yang ikhlas kepada
warga Kuala Penyu agar memberi peluang kepadanya pada hari pengundian 5 Mei ini dengan memberi
kemenangan kepada BN.
Beliau berkata rakyat Kuala Penyu perlu berganding bahu dan
merapatkan barisan dengan tampil bersama-samanya bagi melakukan perubahan di
kawasan ini.
“Ini sesuatu yang bukan mustahil direalisasikan kerana sumber dan potensi sudah wujud di daerah ini dan dengan ditambah
kemahiran yang dimiliki oleh warga Kuala Penyu sendiri sebenarnya memberi
kelebihan kita dapat melakukan dengan jayanya suatu hari kelak,”.
“Sebab itu marilah bersama-sama saya, satukan hati dan
bulatkan tekad memberi sokongan yang yang seikhlas-ikhlasnya kepada BN bagi
membolehkan kita bersama-sama dapat mengerakkan minda masyarakat demi membawa
harapan baru untuk Kuala Penyu,” tegas Limus.