TERPILIH...dari kiri; Enel, Radzee, Hizaz (lima dari kiri) dan Sabri.
PULAU PINANG: Empat pemain bolasepak bawah 13 tahun dari Sabah terpilih
memasuki di dua sekolah sukan - SMK Mutiara Impian di sini dan sekolah sukan
Gambang di Pahang Darulmakmur selepas berjaya dalam ujian pemilihan yang
dijalankan di SMK Mutiara Impian di sini, baru-baru ini.
Mereka yang dipilih ke SMK Muitiara Impian ialah Mohd Hizaz Lokman,
Sabri Tashim dan Radzee S. A Ramli manakala rakan mereka, Enel Raudell Tan
dipilih memasuki sekolah sukan Gambang.
Ujian pemilihan selama tiga hari itu disertai lebih 200 pemain dari seluruh
negara.
Pihak pengurusan SMK Mutiara Impian memaklumkan bahawa mereka yang
dipilih memasuki sekolah berkenaan akan dikehendaki melaporkan diri pada
Februari tahun depan.
"Ibu bapa semua pemain terbabit akan dihubungi dalam masa
terdekat," kata seorang jurucakap sekolah tersebut.
Menurutnya, secara kebetulan, pengetua sekolah ketika ini sedang mengerjakan ibadah haji di Mekah dan dijangka kembali ke tanah air pada pertengahan November ini.
Katanya, keputusan muktamad berhubung pemilihan pemain terbabit akan dibuat selepas pengetua kembali bertugas kelak.
AKSI...Hizaz (jersi biru) ketika beraksi dalam Kejohanan Piala Borneo bawah 13 tahun di Stadium UMS.
Ketika ditemui di sini selepas pengumuman keputusan pemilihan itu, Mohd
Hizaz, berkata dia sangat gembira kerana impiannya untuk memasuki sekolah sukan
terbaik di negara ini telah tercapai.
"Apabila saya mendapat peluang menyertai ujian pemilihan di sekolah
ini, saya berikrar pada diri saya untuk melakukan yang terbaik dengan
mempamerkan keupayaan sebenar."
"Saya bersyukur kerana semua rakan-rakan saya turut terpilih
termasuk dua di sini dan seorang lagi berjaya ke Gambang," ujarnya.
Penyerang kidal itu berkata, mereka berempat dari Sabah memang berazam
supaya berjaya dalam pemilihan itu.
Katanya, dia meminati bolasepak sejak usia tujuh tahun dan mahu pergi
lebih jauh dan keinginan ini mendorongnya untuk memasuki SMK Mutiara Impian.
"Saya tahu SMK Mutiara Impian merupakan sekolah sukan terbaik dan
mereka adalah juara kategori bawah 14 tahun Liga Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM)," katanya.
Menurut Hizaz, dia juga gembira kerana diberi peluang oleh jurulatih
menjadi pemain kesebelasan utama pasukan bawah 13 tahun sekolah ini menentang
pasukan bawah 14 tahun sekolah sama dalam satu perlawanan persahabatan pada
hari kedua pemilihan.
Ayah kepada Enel, Danny Tan memberitahu, beliau berpuas hati semua
pemain dari Sabah telah membuktikan kebolehan mereka dan menarik perhatian
jurulatih untuk memilih mereka.
"Kita bangga dengan bakat mereka. Walaupun anak saya dipilih ke
sekolah sukan Gambang namun peluang itu mestilah dimanfaatkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan