KUALA PENYU: Produk sagu rumbia mentah dalam bungkusan yang lebih komersil antara produk tempatan yang menarik perhatian di bazaria anjuran Pergerakan Wanita Upko Bahagian Beaufort di Pusat Penyelidikan Rumbia di Kampung Kasugira dekat sini, baru-baru ini.
Produk itu yang diusahakan oleh OKB Enterprise kini
sudah berada di pasaran dan syarikat itu mempunyai perancangan untuk
memasarkannya secara lebih meluas.
Pemilik OKB Enterprise, Puan Otob Kuin (gambar) berkata,
produk sagu rumbia mentah itu ketika ini boleh didapati di pasaran tempatan
walaupun belum begitu meluas lagi.
"Kami sedang berusaha mengembangkan pasarannya
dan setakat ini produk ini sudah dipasarkan ke Melaka," katanya yang
menimba pengalaman menghasilkan produk tersebut melalui bantuan program Industri
Kecil dan Sederhana (IKS).
Menurut Puan Otob, pihaknya merancang untuk
memasarkan produk sagu mentah ini ke Brunei Darussalam pada masa akan datang.
Bungkusan produk itu seberat 100 gram dijual dengan
harga RM2.00.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala
Penyu, Limus Jury yang berkesempatan melawat dan meninjau bazaria itu turut
teruja dengan produk yang dihasilkan oleh pengusaha dari daerah ini.
Katanya, produk tersebut berpotensi untuk
dikembangkan lagi sekiranya ia mendapat sambutan baik daripada pelanggan.
"Ini satu permulaan yang baik dan inisiatif
sebegini wajar mendapat galakan semua pihak supaya lebih banyak produk
tempatan dapat dihasilkan," katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Upko Beaufort
memuji usaha Pergerakan Wanita Upko bahagian berkenaan menganjurkan program
bazaria itu kerana ia dapat membantu peniaga tempatan memasarkan dan mempromosi
produk dan hasil jualan mereka.
PROMOSI...Limus (tiga dari kanan) bersama Lokman menunjukkan bungkusan produk sagu rumbia mentah ketika mengunjungi bazaria tersebut. Turut kelihatan Ketua Wanita Upko Bahagian Beaufort, Datin Maria Johnny (kanan sekali).
Sementara itu, Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim yang menyertai rombongan wakil rakyat mengunjungi bazaria tersebut menyifatkan penghasilan produk sagu rumbia mentah itu di Kuala Penyu amat dialu-alukan memandangkan daerah ini memang dikenali dengan tumbuhan pokok rumbia.
Katanya, usaha yang dilakukan OKB Enterprise boleh
menjadi rangsangan kepada pengusaha lain untuk menghasilkan lebih banyak produk
berasaskan rumbia.
"Saya fikir wakil rakyat kami yang memiliki
banyak pengalaman sebagai ahli perniagaan sebelum ini boleh memberi input dalam
menggerakkan aktiviti dalam sektor keusahawanan kepada masyarakat tempatan di
daerah ini," katanya.
Bungkusan sagu mentah keluaran OKB Enterprise kini boleh didapati di pasaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan