Isnin, 7 September 2015

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR PRIORITI MENTERI KKLW YANG BARU

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi keutamaan untuk membawa pembangunan kepada rakyat di luar bandar bagi menghargai sokongan mereka kepada kerajaan.

Katanya, pembangunan luar bandar akan menjadi keutamaan sebagai membalas budi orang kampung yang setia memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

"Kita kena balas budi orang kampung kerana mereka setia untuk memenangkan BN dalam pilihan raya bagi membolehkan BN membentuk kerajaan," katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Wilayah Persekutuan Labuan di sini.

Menurutnya, masyarakat luar bandar wajar menikmati pembangunan kerana merekalah yang membolehkan BN terus dapat kekal memerintah.


Dato' Ismail Sabri (tengah) bersama pemimpin BN Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih selaku Ketua Umno Bahagian Beaufort (dua dari kanan), YB Limus Jury selaku Ketua Upko Bahagian Beaufort (kiri sekali) dan Lokman Sunggim, Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort (dua dari kiri).

Ismail Sabri yang juga Anggota Majlis Tertinggi mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak terperangkap dengan helah pembangkang sehingga menyebabkan ada kalangan mereka sanggup menyerang Presiden Umno yang juga Perdana Menteri.

Katanya, apabila mereka (pembangkang) tidak mampu menumbangkan kerajaan melalui pilihan raya, pembangkang akan menimbulkan isu untuk memburukkan pemimpin Umno.

"Ini strategi mereka. Kita patut menyerang mereka dan bukan membantu mereka untuk menyerang pemimpin kita."

"Tetapi apa yang berlaku sekarang, orang dalam sendiri turut menyerang Presiden Umno," tegas beliau.

Menteri itu juga mengumumkan kelulusan bagi pembinaan Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) di pulau ini selain memperbesarkan Pusat Giat Mara yang sedia ada.

Katanya, MRSM yang baru itu pada awalnya dicadangkan dibina di Putrajaya namun beliau memutuskan untuk memindahkannya ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan