Rabu, 24 Mei 2017

SKUAD PIALA BELIA SABAH MAMPU PERBAIKI PENCAPAIAN MUSIM LALU

Skuad Piala Belia Sabah selepas satu perlawanan di Stadium Penampang. (Foto SFFC). 

Skuad B19 Sabah mampu meningkatkan pencapaian mereka musim lalu sekiranya pasukan muda itu memanfaatkan peluang untuk meraihkan kemenangan dalam baki empat perlawanan mereka dalam pusingan kedua Kumpulan B Piala Belia musim ini.

Skuad bimbingan jurulatih Awang Sabtu Jamil itu tidak akan menghadapi sebarang perlawanan dalam jangka masa sebulan lebih berikutan bulan Ramadan dan hanya akan disambung pada 2 Julai ini.

Empat baki perlawanan mereka termasuk tiga berlangsung di tempat sendiri iaitu menentang pasukan SSTMI-16 pada 2 Julai ini, melawan Perlis pada 9 Julai dan menghadapi Felda United pada 30 Julai.

Satu lagi perlawanan yang akan diadakan di luar ialah menentang Selangor pada 12 Julai.
Berdasarkan kelebihan bermain tiga perlawanan di tempat sendiri, Sabah yang menduduki tempat ketiga dalam kedudukan liga dengan mengutip 19 mata setakat ini mempunyai peluang cerah untuk merebut salah satu tempat ke suku akhir tahun ini.

Tahun lepas, Sabah berjaya melayakkan diri ke suku akhir namun terkandas dalam pemburuan tempat ke separuh akhir dengan kekalahan tipis kepada Kelantan.

Peristiwa tersebut mungkin akan menjadi ikhtibar kepada Sabah sekali gus menjadi perangsang kepada pengurusan pasukan untuk memastikan Sabah akan terus mara untuk memperbaiki pencapaian musim lalu.
Yassin (tengah) dan Awang Sabtu (kanan sekali) bersama beberapa pemain Skuad Piala Belia Sabah.

Sebagaimana keyakinan Pengurus pasukan, Mohd Yassin Aman yang dizahirkan di awal musim saingan, Skuad B19 Sabah sudah tentu berupaya merealisasikan impian untuk melangkah lebih jauh selagi mereka mampu mengekalkan momentum yang ada dalam pasukan sekarang.

Tempoh rehat yang panjang turut memberi ruang kepada jurulatih Awang Sabtu untuk memantapkan keserasian pemain dalam pasukan di samping merangka strategi terbaik bagi meraih mata dalam baki empat perlawanan yang akan diharungi selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti. 

Kita ucapkan selamat berjuang kepada mereka.

Sabtu, 20 Mei 2017

SABAH IKAT KONTRAK DUA PEMAIN IMPORT BARU, MASIH CARI PENYERANG

Jurulatih Jelius Ating menyatakan sesuatu kepada Gil Hoon (kiri) dan Jaenyong dalam sesi ujian pemilihan.

Skuad Liga Perdana Sabah masih belum memutuskan pemain penyerang import baru kerana masih mencari pemain terbaik untuk memainkan peranan di posisi berkenaan.

Walaupun terdapat beberapa pemain penyerang import hadir menyertai sesi ujian pemilihan baru-baru ini namun prestasi mereka belum dapat menyakinkan sepenuhnya pihak pengurusan SAFA.

Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang berkata, sehingga ini penyerang import baru belum lagi diputuskan.

Katanya, sesi ujian pemilihan bagi mencari penyerang import yang sesuai akan diteruskan pada 1 Jun ini.
Gil Hoon.
Setakat ini, Sabah hanya mengikat kontrak dua pemain dari Korea Selatan, Heo Jaenyong, 25, dan Lee Gil Hoon, 34, apabila jendela perpindahan pemain dalam Liga Malaysia dibuka pada 15 Mei lepas.

Kedua-dua pemain berkenaan mengikat kontrak selama setahun.

Jaenyong yang sebelum ini beraksi dengan sebuah kelab di Thailand, Muang Thong United boleh bermain di posisi tengah dan pertahanan manakala Gil Hoon, bekas pemain import Pulau Pinang bermain sebagai attacking midfielder.

Kedua-dua pemain import baru itu dijangka akan beraksi dalam perlawanan pusingan kedua Liga Perdana menentang Kuantan FA di Pahang pada rabu ini (24 Mei).
Jaenyong (gambar atas) dijangka menjadi sandaran jurulatih Jelius Ating untuk mengemudikan benteng pertahanan berikutan ketiadaan pemain import dari Croatia, Igor Cerina yang mengalami kecederaan teruk dan dijangka mengambil masa lama untuk kembali beraksi.

Pemain tengah import dari Jepun, Masaya Jitozono pula difahamkan telah meminta untuk dilepaskan awal dari kontrak asalnya dengan SAFA kerana dikhabarkan mendapat tawaran baru bermain dengan sebuah kelab di Thailand.

Zono memberitahu media, dia menyukai Sabah dan berharap suatu masa nanti akan berpelung lagi kembali ke sini.