Isnin, 30 Ogos 2021

SAYA AKAN CUBA BANTU SABAH FC - JELIUS

KOTA KINABALU--Bekas jurulatih Sabah, Jelius Ating (gambar) menyatakan kesediaan untuk membantu pasukan Sabah FC ekoran pelantikannya sebagai penolong pengurus pasukan kelab itu yang baharu.

Pelantikan Jelius itu diumumkan pengurus pasukan, Marzuki Nasir semalam, serentak dengan peranan baharu yang diberikan kepada penolong jurulatih, Burhan Ajui sebagai pengendali pasukan mengambil alih daripada ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan.

Ketika dihubungi pagi ini, Jelius memberitahu, dia agak terharu apabila pengurusan memaklumkan peranan baharu yang diberikan kepadanya dalam Sabah FC.

"Atas kepercayaan yang diberikan kepada saya, saya akan sedia bantu pasukan ini," katanya.

Menurutnya, dia sendiri sebenarnya tidak terfikir akan kembali dalam pasukan itu, yang pernah dikendalikannya sebelum ini.

"Apabila saya dikehendaki membantu, tentu saja saya akan cuba membantu kerana pada saya Sabah FC ini adalah pasukan kita," tambah Jelius.

Bagaimanapun, kata jurulatih yang telah memainkan peranan membawa Sabah menjuarai Liga Perdana pada 2019 itu, dia akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Burhan selaku pengendali pasukan sementara dan beberapa pegawai lain petang ini, ada kaitan dengan peranan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

"Pada saya peranan ini sangat mencabar kerana ia untuk memperbaiki situasi pasukan yang ketika ini ditahap hambar, lebih-lebih lagi ia sudah di peringkat penghujung saingan dalam liga," ujarnya.

Namun demikian, tambah Jelius, dia akan cuba membantu pasukan itu walaupun sudah lama meninggalkan Sabah FC beberapa bulan lalu, malah mengambil keputusan untuk kembali bertugas dengan majikannya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).


Ahad, 29 Ogos 2021

PEMERGIAN LAJIM SATU KEHILANGAN BESAR, KATA BUNG MOKTAR

KOTA KINABALU--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) menyifatkan pemergian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin pagi tadi sebagai satu kehilangan besar buat rakyat di negeri ini khususnya penduduk di kawasan Beaufort.

Katanya, pemergian allahyarham mengejutkan, yang beliau anggap sebagai sahabat karib sejak bersama-sama dalam kepimpinan tertinggi SANYA suatu ketika dahulu.

"Allahyarham adalah sahabat baik, pernah bersama-sama dalam kepimpinan persatuan dan parti Umno sebagai ahli majlis tertinggi".

"Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat yang baik. Saya sekeluarga dan kepimpinan Umno Sabah merakamkan ucapan takziah kepada isteri allahyarham, Datin Normilah Siong dan keluarganya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata jasa dan sumbangan allahyarham akan sentiasa dikenang rakyat di negeri ini khususnya sepanjang berkhidmat dalam kerajaan sebagai anggota kabinet negeri dan persekutuan di samping sebagai bekas Anggota Parlimen Beaufort dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Klias.

"Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama hambanya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga," ujarnya.

Lajim, 66, bekas timbalan ketua menteri menghembuskan nafas pada 6.20 pagi tadi di Hospital Pakar KPJ setelah dirawat lebih dua minggu di hospital berkenaan akibat disahkan positif Covid-19 pada 12 Ogos lepas.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

Jenazah allahyarham dikebumikan di kampung halamannya di Kg Kebatu, Beaufort.

KURNIAWAN DIREHATKAN, BURHAN DILANTIK PENGENDALI SEMENTARA

KOTA KINABALU--Sabah FC mengambil keputusan untuk merehatkan Ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto (gambar) berkuatkuasa hari ini, susulan prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Super.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman facebook rasmi kelab itu, berkata sepanjang tempoh itu, Penolong jurulatih, Burhan Ajui akan diberi tanggungjawab sebagai pengendali pasukan buat sementara waktu.

Manakala jurulatih Jelius Ating dilantik sebagai Penolong pengurus pasukan Sabah FC yang baharu.

Jelius bersama Burhan digandingkan semula berdasarkan pengalaman mereka.

Kenyataan itu menambah, Sabah FC menaruh keyakinan pengalaman yang dimiliki kedua-dua mereka ketika bersama dalam pasukan Sabah sejak 2017 akan membantu pasukan itu mengharungi dua baki perlawanan dalam saingan liga sekali gus terus kekal dalam Liga Super musim depan.

Sabah FC akan menghadapi pasukan Selangor FC di Stadium Likas pada 5 September dan menentang Perak FC di Stadium Perak di Ipoh pada 12 September ini.

Sabah FC berharap agar semua pihak khususnya penyokong sentiasa terus memberi sokongan padu serta kepercayaan kepada pasukan dalam mengembalikan prestasi cemerlang dalam tempoh tersebut.

Jumaat, 27 Ogos 2021

PELANTIKAN ENAM PEMIMPIN DALAM KABINET PENGIKTIRAFAN KEPADA SABAH


 

Pelantikan enam pemimpin dari Sabah termasuk dua menetri penuh dan empat timbalan menteri disifatkan satu pengiktirafan untuk rakyat Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata barisan kepimpinan kabinet baharu itu mampu mewujudkan satu pasukan yang mantap dan berwibawa sebagaimana yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kabinet ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerjasama bersama rakyat dan perlu bertindak pantas serta bersepadu.

"Kita sedar dan insaf ketika rakyat masih berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat sangat menaruh harapan besar kepada kabinet baharu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah mengulas pembentukan kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri.

Menurut beliau, kejayaan sesebuah kabinet bergantung kepada kerjasama semua pihak.

"Anggota kabinet perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan telus demi kepentingan rakyat," 

"Selain itu, strategi pelaksanaan penting dalam memastikan kedudukan institusi kerajaan kukuh dan diperkasakan di mata rakyat di mana negara perlu ditadbir secara strategik agar pentadbiran baharu dapat membawa negara ke landasan ekonomi yang betul serta dapat mengawal penularan wabak Covid-19," tegasnya.

                                          Mohamad Alamin.

Mengulas lanjut berhubung pelantikan Anggota Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagi Timbalan Menteri Pendidikan II, Bung Moktar berkata, beliau adalah satu-satunya pemimpin yang mewakili Umno Sabah.

Menurutnya, pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan kepada parti sebagai gabungan utama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menteri Kerja Raya itu menyifatkan pelantikan itu bertepatan dengan isu-isu pendidikan yang masih menjadi cabaran di Sabah.

"Kita berharap beliau (Mohamad Alamin) akan lebih memahami isu dan keperluan pendidikan di Sabah dan dapat menyuarakan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan," katanya.

                                     Arthur Joseph Kurup.

Dua menteri penuh dari Sabah ialah Anggota Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee yang mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan Anggota Parlimen Bandau, Datuk Seri Maximus Ongkili yang kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Manakala Anggota Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, Anggota Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II dan Anggota Parlimen Ranau, Jonathan Yassin sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri II.


.

Ahad, 22 Ogos 2021

SAFA UCAP TAKZIAH PEMERGIAN MENDIANG AYAH JAMES WONG

  

IMBAS KEMBALI...James diraikan rakan-rakan sepasukan selepas berjaya menjaringkan gol kemenangan skuad negara mengatasi Korea Selatan pada tahun 1980 untuk layak ke Sukan Olimpik di Moscow.

KOTA KINABALU--Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) mengucapkan takziah kepada bekas penyerang skuad negara, Datuk James Wong atas pemergian ayahandanya mendiang Wong Hean Ming, 95, baru-baru ini.

Penolong Setiausaha Agungnya, Azman Mastar, berkata pihak persatuan turut bersimpati dengan keluarga mendiang khususnya James atas pemergian ayah tersayang.

Katanya, Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan seluruh warga SAFA mengucapkan takziah kepada James dan keluarganya.

Menurut Azman, pengorbanan dan kejayaan mendiang Wong membentuk tiga anaknya menjadi pemain kebangsaan sebelum ini adalah sangat dihargai.

Tiga pemain itu termasuk penyerang sensasi James Wong selain Tony Wong dan Harry Wong.

"James Wong merupakan striker yang mengharumkan nama negara apabila berjaya membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selain mereka, tiga lagi adiknya Vincent, Johnny dan Freddy Wong pernah mewakli skuad negeri pada masa lalu.

"Pembabitan keluarga Wong ini dalam sukan bolasepak baik dalam negeri mahu pun negara sangat mengkagumkan dan kita sangat menghargai serta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih," kata beliau.

Azman berharap James dan keluarganya bersabar di atas pemergian mendiang ayah mereka.

 

 

 

Sabtu, 21 Ogos 2021

UMNO SABAH YAKIN KEMAMPUAN PM BAHARU

 
Bung Moktar bersama Ismail Sabri (kiri) semasa Perhimpunan Agung Umno yang lepas. 

KOTA KINABALU--Umno Sabah mempunyai keyakinan tinggi terhadap Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengetuai Kerajaan Persekutuan dengan lebih baik termasuk untuk menangani pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pihaknya menaruh harapan tinggi kepada Perdana Menteri itu berdasarkan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

"Umno Sabah mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri yang kesembilan. Saya yakin beliau mampu memimpin dengan baik berdasarkan pengalaman dalam kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini,

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata beliau (Ismail Sabri) sebelum ini mengetuai beberapa kementerian dan turut diberi kepercayaan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

Katanya, isu pandemik Covid-19 termasuk di Sabah yang menunjukkan peningkatan kes kebelakangan ini perlu ditangani segera.

Pada masa sama, tambahnya, usaha juga perlu digerakkan untuk memulihkan keadaan ekonomi di samping mengutamakan kesejahteraan rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19 yang tidak berkesudahan.

"Kita yakin pelantikan Ismail Sabri dapat menstabilkan semula situasi politik negara agar tumpuan dapat diberikan kepada usaha untuk meningkatkan tahap kesihatan, pemulihan ekonomi dan meneruskan pembangunan kepada rakyat," tegas beliau. 

Ismail Sabri, Anggota Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah Istana Negara petang tadi.

Kelmarin, Istana Negara mengumumkan bahawa Ismail Sabri telah dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Yang di-Pertuan Agong mengesahkan beliau mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen, majoriti yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.



 


Jumaat, 20 Ogos 2021

ISMAIL SABRI SAH DILANTIK PERDANA MENTERI BAHARU

KUALA LUMPUR--Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anggota Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang kesembilan.

Ismail Sabri, 61, merupakan Naib Presiden Umno dan bekas Timbalan Perdana Menteri sebelum Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 16 Ogos lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Istana Negara telah menerima nama-nama bakal  Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021.

Dalam surat-surat akuan tersebut, seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri, jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021 untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas Ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan.

Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu menambah, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan esok (Sabtu), jam 2.30 petang di Istana Negara.




Rabu, 4 Ogos 2021

LEVY MUNGKIN BERAKSI MENENTANG KL CITY FC MALAM INI

Pemain tengah, Levy Clement Madinda (gambar) besar kemungkinan akan beraksi dalam perlawanan menentang KL City FC di Stadium Likas, malam ini.

Difahamkan, Levy, 29, dalam senarai 20 pemain Sabah FC ketika bertemu pasukan pelawat itu.

Pemain import dari Gabon itu beberapa hari lepas memaklumkan menerusi Instagramnya bahawa kontraknya telah tamat pada 31 Julai lalu.

Bagaimanapun, Sabah FC sedang dalam proses untuk menyambung kontraknya bagi membolehkan dia terus dapat bersama kelab sehingga akhir musim. 

"Dia (levy) mungkin akan bermain dalam perlawanan dengan KL City FC malam ini," kata Pengarah Sabah FC, Datuk Dr. Jelani Hamdan ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan Sabah FC sedang mempertimbangkan status pemain import tersebut.

Katanya, besar kemungkinan dia boleh diturunkan malam ini.

Beberapa pemain utama seperti Alto Linus dan Randy Baruh dikhabarkan kembali disenaraikan dalam pertemuan dengan KL City FC.

Namun begitu difahamkan pemain pertahanan tengah, Park Tae Su dan penyerang Josip Ivancic akan terlepas dalam perlawanan malam ini disebabkan masih mengalami kecederaan.

Sabah FC ketika ini menduduki tangga kelapan dalam Liga Super dengan mengutip 18 mata.

Sementara itu, Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir mengesahkan mengenai perlanjutan kontrak pemain tersebut.

Katanya, kontrak Levy telah dipersetujui untuk disambung sehingga akhir musim atau opsyen sehingga 1 Mei tahun depan.

Menurut beliau, Sabah FC masih memerlukan khidmat pemain tengah itu dan pada masa sama, dia juga sebenarnya masih mahu bermain untuk pasukan.


Isnin, 2 Ogos 2021

LEVY MADINDA TAMAT KONTRAK DENGAN SABAH FC

Pemain tengah, Levy Clement Madinda (gambar) tamat kontrak dengan Sabah FC pada 31 Julai lepas dan sehingga ini tiada perkhabaran kontraknya diperbaharui.

Levy, 29, pemain antarabangsa Gabon itu bersama Sabah FC selama enam bulan dan berjaya membantu mengemudikan bahagian tengah dengan baik sepanjang bersama kelab dalam saingan Liga Super.

Menerusi Instagramnya, dia mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sepasukan, staf kejurulatihan dan perubatan, penyokong serta semua dalam kelab Sabah FC.

"Ia satu pengalaman yang hebat, banyak yang saya pelajari di sini, memudahkan saya bersama pasukan," katanya.

Dia berharap mereka sentiasa ceria pada masa akan datang.

Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, perbincangan akan diadakan berhubung penggantian pemain import itu.

"Kita akan bincang ganti dia. Kita galakkan pemain tempatan," katanya ringkas menerusi whatsapp.

Levy juga dilihat bersama pasukan dalam penerbangan ke Kuala Lumpur Jumaat lepas, bagi perlawanan menentang pasukan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi yang berkesudahan seri 0-0.

Bagaimanapun, ketiadaan pemain Gabon itu menyebabkan ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto menggunakan khidmat pemain tempatan menggemudikan bahagian tengah pasukan.

Sabah FC akan meneruskan perlawanan Liga Super bertemu pasukan KL City FC di Stadium Likas pada Rabu ini.