Ahad, 29 Oktober 2023

ALIJUS SUMBANG BOLA KEPADA TABS SAFA BANDARAYA

SERAH...Alijus (empat kiri) menyerahkan sumbangan itu kepada Lokman sambil disaksikan Amsir, Matasan, Moksin dan Amat.


KOTA KINABALU--Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Alijus Sipil memberi sumbangan bola dan jaring kepada Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) SAFA Bandaraya, pagi tadi.

Beliau yang juga penasihat TABS menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim. 

Turut hadir  pada majlis itu Setiausaha SAFA Bandaraya, Juraidah Abdul Rahim, Setiausaha TABS, Amsir Abdullah, Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad dan ahli jawatankuasa TABS, Moksin Dusin. 

Menurut Alijus, sumbangan itu sebagai tanda sokongan berterusan beliau terhadap program pembangunan bola sepak akar umbi yang dijalankan TABS SAFA Bandaraya. 

Beliau juga merupakan bekas Presiden SAFA Bandaraya dan bekas Pengerusi TABS sebelum ini. 

Kata beliau, pihaknya berharap program pembangunan bola sepak TABS akan terus berjalan dengan baik kerana ia telah melahirkan ramai pemain-pemain berbakat yang berjaya mewakili pasukan negeri. 

Sementara itu, Lokman mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Presiden SAFA itu atas sumbangan yang beliau berikan kepada TABS. 

"Sebagai orang lama yang terbabit dalam sukan bola sepak, beliau memahami cabaran dan kesukaran TABS SAFA Bandaraya dalam menjalankan program pembangunan bola sepak."

"Justeru TABS sangat menghargai keprihatinan beliau dan sokongan berterusan terhadap program pembangunan sukan bola sepak di Sabah," ujar Lokman.

 

 

Khamis, 31 Ogos 2023

NALURI PENTING BAGI PEMAIN BOLA SEPAK, KATA JAMES WONG

James akui selesa dengan posisinya dalam pasukan.

Seseorang pemain bola sepak perlu mempunyai naluri (instinct) ketika beraksi di padang kerana ia boleh membantu memberi impak kepadanya untuk membantu kejayaan pasukan, kata bekas pemain antarabangsa dan kebangsaan, Datuk James Wong.

"Pada saya naluri sangat penting kepada pemain terutama bagi seorang penyerang".

"Inilah yang saya alami apabila berada dalam padang kerana ia membantu kita membuat keputusan pantas untuk menghasilkan jaringan," katanya ketika berkongsi pengalaman di era kegemilangannya pada masa lalu.

Selain itu, seseorang pemain juga harus memiliki asas bola sepak dan mempunyai disiplin.

Menurut pemain legenda itu, semua ini sangat penting untuk membolehkan seseorang pemain menghasilkan sesuatu untuk membantu kejayaan pasukan.

Beliau diminta berkongsi pengalaman mengenai gol kemenangan yang dijaringkannya ketika pasukan Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 untuk membolehkan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Katanya, jaringan itu sukar dilupakan dan sudah tentu ia menjadi kenangan manis sepanjang kerjaya beliau sebagai pemain bola sepak.

DETIK INDAH...Imbas kembali James diraikan rakannya Ramli Junit selepas menjaringkan gol kemenangan menewaskan Korea Selatan.

"Saya sendiri sukar menceritakan jaringan gol tersebut namun itulah naluri yang datang spontan dan jaringan itu dapat dihasilkan,".

"Saya dibayangi seorang pemain pertahanan Korea Selatan pada saat itu apabila menerima hantaran daripada Hassan Sani yang sebelum itu berjaya melepasi dua pemain lawan,".

"Saya menahan bola itu dan menghala sedikit ke sebelah kanan sebelum merembat masuk," katanya kepada Haji Omar Jamil dari Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam yang ingin tahu bagaimana gol kemenangan tersebut terhasil.

James yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Sabah, berkata, semasa berusia 15 hingga 17 tahun, beliau bermain sebagai penjaga gol sebelum bertukar posisi menjadi striker.

"Saya bermula sebagai penjaga gol pada awalnya namun jurulatih melihat potensi saya di bahagian serangan,".

"Biasanya dalam pasukan kebangsaan, saya bermain sebagai attacking midfield atau backup striker kerana selalunya Moktar Dahari atau Isa Bakar bermain sebagai top striker," ujarnya dan menambah beliau memang selesa di posisi tersebut.

James berkongsi kisahnya sebagai seorang pemain penyerang di era 80-an kepada Haji Omar (kiri sekali). Turut kelihatan Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim dan jurulatih Roslan Wasli.

Ahad, 13 Ogos 2023

KEHADIRAN AMRI YAHYA MERIAHKAN KARNIVAL BOLA SEPAK TABS

Sulaiman (dua kanan) bersama Adzrien, Lokman, Matasan, Yazid dan Roslan pada karnival dalaman TABS itu.

KOTA KINABALU--Pasukan yang menggelarkan diri mereka, Penampang muncul juara Karnival bola sepak TABS SAFA Bandaraya B8 setelah menewaskan pasukan Menumbok 2-0 melalui sepakan penalti pada perlawanan akhir di padang TABS di sini, pagi tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam permainan sepenuh masa mengheret mereka ke penentuan melalui sepakan penalti.

Pemain-pemain kedua pasukan saling berbalas serangan dalam aksi permainan sebenar memaksa pengadil Matlin Surat memberikan sepakan penalti untuk menentukan pasukan juara yang memihak kepada pasukan Penampang.

Pasukan Penampang yang menjuarai karnival itu (mencangkung) dan pasukan Menumbok naib juara.

Dengan kemenangan itu, Penampang menerima hadiah berupa hamper, medal dan sijil. Manakala pasukan Menumbok yang menduduki naib juara menerima hamper, medal dan sijil.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Semporna yang juga menerima hamper, medal dan sijil. Pasukan itu mengalahkan pasukan Tuaran di perlawanan penentuan, yang turut menerima hadiah berupa sijil.

Sementara bagi kategori bawah umur enam tahun, pasukan Karambunai muncul sebagai juara, naib juara pasukan Kebagu dan pasukan Petagas di tempat ketiga.

Kesemua pasukan terbabit menerima sijil penyertaan.

Pemain terbaik karnival itu ialah Hanif Naufal Herman manakala penjaga gol terbaik dimenangi Mohamed Azzim Ramadhan Aznan.

Lokman bersama sebahagian pasukan selepas melancarkan karnival tersebut.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim melakukan pelancaran karnival yang disertai 18 pasukan itu,

Hadiah-hadiah kemenangan disampaikan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Sulaiman Md Noor dan Lokman.

Ketika ditemui kemudian, Lokman mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pemain Sabah FC, Amri Yahya yang sudi meluangkan masa untuk hadir memeriahkan karnival dalaman TABS itu.

Beliau juga mengucapkan syabas dan terima kasih kepada penganjur karnival yang terdiri daripada jurulatih dan ibu bapa pelatih TABS.

Ikon sukan bola sepak itu turut memenuhi permintaan peminat untuk mengabadikan gambar kenangan bersama beliau.

Amri dikerumuni peminat untuk dapatkan tandatangannya.

Turut hadir ialah Pengarah Pembangunan Sabah FC, Adzrien Harun, Timbalan presiden SAFA Bandaraya yang juga ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad, penolongnya Roslan Wasli dan Setiausaha SAFA Bandaraya, Juraidah Abdul Rahim.

 

 

Ahad, 8 Januari 2023

BUNG MOKTAR LETAK JAWATAN PRESIDEN SAFA

BUNG MOKTAR...letak jawatan Presiden SAFA serta merta.

KOTA KINABALU--Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin hari ini mengumumkan peletakannya sebagai presiden badan bola sepak negeri itu berkuatkuasa serta.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu atas kerelaan dirinya selain untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya politik.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan secara rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung SAFA dalam masa terdekat.

Katanya, sejak mengambil alih kepimpinan SAFA memang berhadapan pelbagai cabaran terutama dari segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan ini.

Timbalan Ketua Menteri itu menerajui badan bola sepak negeri sejak Jun 2021 selepas ahli majlis tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik beliau sebagai pemangku Presiden SAFA dan kemudian disahkan pada mesyuarat agung luar biasa badan itu pada Jun tahun tersebut atas mandat kesemua badan gabungan SAFA.

Kata Bung Moktar, pihaknya telah berusaha untuk melakukan perubahan dalam kepimpinan SAFA termasuk menganjurkan beberapa siri pertandingan seperti Kejohanan bola sepak B18 tahun Sabah dan Piala Ketua Menteri (KM) pada tahun lepas.

Selain itu, SAFA juga bakal melancarkan Akademi Bola Sepak SAFA khusus untuk pemain muda B12, B14 dan B16 pada akhir bulan ini serta menjalinkan kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini dalam usaha mengembang dan meningkatkan mutu bola sepak di negeri ini.

Di bawah teraju kepimpinannya, SAFA juga memberi sumbangan besar terhadap pembentukan kelab profesional pertama di Sabah, Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia.

Untuk rekod, Sabah FC menduduki tempat ketiga dalam Liga Super 2022 dan melayakkan diri untuk bertanding dalam AFC tahun ini.

Bung Moktar bersalaman dengan pemain Sabah FC ketika menemui mereka dalam satu perlawanan Liga Super musim lepas.

Beliau berkata, pihaknya tetap bersyukur dan gembira kerana sedikit-sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan khususnya bagi pasukan Sabah FC walaupun masih ada ruang untuk dipertingkatkan.

"Mengurus badan bola sepak induk selain membantu perancangan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan daripada semua pihak dan berharap ia dapat diteruskan agar kelab profesional itu mampu melangkah lebih jauh," tegasnya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua gabungan SAFA dan peminat bola sepak, Bung Moktar berharap peminat sukan itu yang selama ini menyanjung pasukan bola sepak khususnya Sabah FC agar terus memberi sokongan kepada penggantinya nanti.