Rabu, 12 Ogos 2015

KENAPA YB LIMUS JURY MENARIK PERHATIAN MASYARAKAT CINA?


Selepas menghadiri program Wanita Upko Bahagian Beaufort di kawasan, Adun Kuala Penyu, Limus Jury mempelawa kami untuk bersamanya hadir satu program anjuran masyarakat Cina di Beaufort.

Mulanya timbul juga tanda tanya kenapa masyarakat Cina ingin mengundang wakil rakyat ini menghadiri majlis tersebut sedangkan pemimpin lain terutama yang berstatus menteri sepatutnya lebih layak mereka undang.

Tidak apa, tanpa banyak berfikir, saya bersama beberapa rakan menyertai rombongan wakil rakyat itu. 

Kita hadir satu majlis di tokong di Lumat, saya menerima jemputan menjadi tetamu kehormat satu majlis mereka, kata YB Limus sebelum masuk ke dalam kenderaan yang dipandu Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM), Raymond Jurih.

Rupanya YB Limus diberi penghormatan oleh pengurusan tokong berkenaan menjadi tetamu kehormat majlis angkat sumpah ahli jawatankuasa Tokong Lung Hwa pada malam itu.

Kenapa bukan menteri yang diundang atau sekurang-kurangnya pembesar yang lebih dekat di kawasan ini. Tetapi YB Limus yang hanya seorang Adun dan tidak pula mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan malah kawasannya yang lebih jauh dari tempat ini juga yang menarik perhatian mereka.

Kain pemidang dengan gambar Adun Kuala Penyu itu terpampang di dalam dewan tempat majlis memberi isyarat bahawa pemimpin inilah menjadi pilihan mereka untuk menyempurnakan majlis yang dihadiri oleh para pemimpin tokong berhampiran dan masyarakat Cina di kawasan sekitar.

YB Limus berucap pada majlis itu.

Saya diberitahu bahawa kawasan Parlimen Beaufort ini mempunyai kira-kira 3,000 pengundi Cina.

Pada saya, masyarakat Cina ini bukan sahaja arif dalam bidang perniagaan tetapi mereka juga bijak dalam percaturan masa hadapan. Jadi tidak hairan, sungguhpun YB Limus hanya seorang Adun di tempat lain namun naluri mereka merasakan pemimpin ini mempunyai keistimewaan selain memiliki pengalaman yang luas dalam perniagaan.

Mereka juga mungkin menyedari bahawa rangkaian yang ada pada pemimpin ini di peringkat pimpinan atasan secara tidak langsung berupaya memberi ruang kepada mereka untuk berurusan lebih luas dalam jangka masa panjang.

YB Limus dalam ucapan pada majlis itu mahu masyarakat pelbagai kaum sentiasa mengekalkan semangat keharmonian bagi membolehkan suasana harmoni dan aman damai dalam mengharungi kehidupan.

Beliau berkata, suasana begini sewajarnya menjadi amalan kerana ia wujud sejak dahulu lagi.

"Kita harus mengekalkan suasana yang harmoni dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang, budaya dan kepercayaan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Upko Beaufort menjelaskan, sikap saling memahami dalam kalangan semua kaum menjadikan negeri ini sentiasa aman sejahtera dan makmur.

"Kita perlu mempertahankan suasana yang baik ini kerana ini membantu kita semua memberi tumpuan terhadap tugas dan urusan masing-masing," katanya.

Mengenai permintaan yang disuarakan oleh pihak pengurusan tokong tersebut, Limus dalam nada berhati-hati, berkata, "kita usahakan tetapi ia bukanlah janji sebab jika tidak dapat laksanakan nanti orang akan kata bohong."

"Apa yang saya mampu katakan ialah kita akan cuba usahakan dan dalam hati, saya akan cuba lakukan yang boleh menjadi kenangan tuan-tuan," ujarnya.

Limus juga menyatakan penghargaan dan terima kasihnya kepada pengurusan tokong berkenaan kerana menjemput beliau menghadiri majlis tersebut. 


Isnin, 10 Ogos 2015

PENGUSAHA KUALA PENYU PASARKAN PRODUK SAGU MENTAH


KUALA PENYU: Produk sagu rumbia mentah dalam bungkusan yang lebih komersil antara produk tempatan yang menarik perhatian di bazaria anjuran Pergerakan Wanita Upko Bahagian Beaufort di Pusat Penyelidikan Rumbia di Kampung Kasugira dekat sini, baru-baru ini.
                           
Produk itu yang diusahakan oleh OKB Enterprise kini sudah berada di pasaran dan syarikat itu mempunyai perancangan untuk memasarkannya secara lebih meluas.

Pemilik OKB Enterprise, Puan Otob Kuin (gambar) berkata, produk sagu rumbia mentah itu ketika ini boleh didapati di pasaran tempatan walaupun belum begitu meluas lagi.

"Kami sedang berusaha mengembangkan pasarannya dan setakat ini produk ini sudah dipasarkan ke Melaka," katanya yang menimba pengalaman menghasilkan produk tersebut melalui bantuan program Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Menurut Puan Otob, pihaknya merancang untuk memasarkan produk sagu mentah ini ke Brunei Darussalam pada masa akan datang.

Bungkusan produk itu seberat 100 gram dijual dengan harga RM2.00.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Penyu, Limus Jury yang berkesempatan melawat dan meninjau bazaria itu turut teruja dengan produk yang dihasilkan oleh pengusaha dari daerah ini.

Katanya, produk tersebut berpotensi untuk dikembangkan lagi sekiranya ia mendapat sambutan baik daripada pelanggan.

"Ini satu permulaan yang baik dan inisiatif sebegini wajar mendapat galakan semua pihak supaya lebih banyak produk tempatan dapat dihasilkan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Upko Beaufort memuji usaha Pergerakan Wanita Upko bahagian berkenaan menganjurkan program bazaria itu kerana ia dapat membantu peniaga tempatan memasarkan dan mempromosi produk dan hasil jualan mereka.

PROMOSI...Limus (tiga dari kanan) bersama Lokman menunjukkan bungkusan produk sagu rumbia mentah ketika mengunjungi bazaria tersebut. Turut kelihatan Ketua Wanita Upko Bahagian Beaufort, Datin Maria Johnny (kanan sekali).

Sementara itu, Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim yang menyertai rombongan wakil rakyat mengunjungi bazaria tersebut menyifatkan penghasilan produk sagu rumbia mentah itu di Kuala Penyu amat dialu-alukan memandangkan daerah ini memang dikenali dengan tumbuhan pokok rumbia.

Katanya, usaha yang dilakukan OKB Enterprise boleh menjadi rangsangan kepada pengusaha lain untuk menghasilkan lebih banyak produk berasaskan rumbia.

"Saya fikir wakil rakyat kami yang memiliki banyak pengalaman sebagai ahli perniagaan sebelum ini boleh memberi input dalam menggerakkan aktiviti dalam sektor keusahawanan kepada masyarakat tempatan di daerah ini," katanya.

 Bungkusan sagu mentah keluaran OKB Enterprise kini boleh didapati di pasaran.

Sabtu, 4 Julai 2015

KERUGIAN DIANGGARKAN RM100J AKIBAT GEMPA BUMI DI SABAH

Beginilah suasana para pendaki yang dinasihati berkumpul di kawasan berhampiran puncak gunung sewaktu berlaku gempa bumi pada 5 Jun lalu.

Gempa Bumi di Gunung Kinabalu, Sabah baru-baru ini mengakibatkan kerugian pada anggaran awal mencecah RM100 juta di segi kesan kerosakan.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, berdasarkan laporan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) sebanyak RM95 juta digunakan bagi kerja-kerja pembaikan terhadap infrastruktur dan bangunan yang rosak.

Beliau berkata, kerosakan terbesar melibatkan infrastruktur awam seperti institusi awam, masjid, gereja dan kuil.

Gempa bumi dengan magnitud 5.9 yang berlaku pada 5 Jun lalu itu turut mengakibatkan kerosakan bangunan sekolah di beberapa tempat di Sabah termasuk sejauh Nabawan dan Kota Marudu.

Selain itu, ia juga mengakibatkan 18 kematian termasuk pelajar dari Singapura.

Gempa bumi tersebut memaksa kerajaan negeri menutup sementara aktiviti pendakian gunung tertinggi di Asia Tenggara itu berikutan didapati beberapa gegaran dirasai berminggu-minggu selepas bencana tersebut.

Empat hari selepas gempa itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Naib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai kerja-kerja memulihkan semula Taman Negara Kinabalu.

Wang peruntukan itu, kata Masidi, telah disalurkan ke dalam Tabung Taman-Taman Sabah dalam tempoh dua minggu.

Selang beberapa hari selepas bencana itu, menyusul kejadian banjir lumpur menyebabkan kawasan berhampiran kaki gunung mengalami kerosakan teruk terutama di Mensilou, antara tempat yang mengalami kesan yang teruk termasuk terputus hubungan kerana jalan raya putus dan rosak.


Kerosakan akibat banjir lumpur berlaku selepas beberapa hari gempa bumi tersebut.

Dalam perkembangan lain, masyarakat tempatan khususnya suku kaum Kadazandusun telah mengambil beberapa usaha secara tradisi untuk menenangkan semula semangat dan roh Aki Nabalu yang mereka percaya sebagai penjaga gunung tersebut dengan melakukan upacara "korban" haiwan yang dikendalikan oleh Bobolian.

Mereka percaya gunung tersebut telah dicemari dengan perbuatan sumbang dan tidak senonoh beberapa pendaki yang tidak bertanggungjawab termasuk perbuatan pelancong asing yang berbogel di puncak gunung itu.

Gambar-gambar bogel pelancong asing di puncak gunung itu telah tersebar di merata dunia sama ada melalui laman sosial facebook mahu pun whatsapp.

Sebenarnya banyak lagi sikap dan pelakuan pendaki khususnya pelancong asing ketika berada di kawasan gunung itu mungkin tidak sesuai dengan budaya masyarakat tempatan yang masih berpegang kepada konsep pantang larang dan tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan tidak sopan seperti membuang air kecil di kawasan yang dianggap keramat di kawasan pergunungan.

Khamis, 2 Julai 2015

SAYA MASIH ADA KONTRAK DENGAN SABAH, KATA DIOUF

Diouf ketika menjalani latihan di Stadium Likas.

Spekulasi mengenai bintang import Sabah, El Hadji Diouf bertiup kencang akhir-akhir ini. Ke mana bekas penyerang Liverpool itu selepas berakhir Liga Perdana musim ini yang ketika ini sedang memasuki pusingan kedua.

Ada ura-ura pemain dari Senegal itu akan berpindah ke pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berikutan kenyataannya baru-baru yang menyifatkan pasukan itu sebagai antara pasukan terbaik yang boleh dicontohi dalam membangunkan bolasepak di Malaysia.

Diouf berpeluang untuk meninjau kemudahan yang dimiliki oleh JDT termasuk stadium dan padang latihan pasukan itu serta menemui Tengku Mahkota Johor (TMJ) yang merupakan tulang belakang pasukan dari Selatan Malaysia itu.

Ini membuatkan masa hadapan beliau bersama pasukan Sabah masih tergantung. Malah kata Diouf, ada peminat yang bertanya kepadanya, adakah beliau akan kekal berkhidmat untuk Sabah Rhinos semusim lagi.

Sukar untuk beliau memberi jawapan tanpa mengetahui apa perancangan Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) untuk musim depan.

Kerana itu bintang import sensasi dalam Liga Malaysia itu menyatakan akan membuat keputusan selepas berjumpa dengan pihak atasan Safa.


Diouf bersama penulis (kanan sekali) dan bekas jurulatih Sabah, Justin Ganai serta  seorang kenalan.

Buat masa ini, Diouf berkata,"Saya mempunyai kontrak di sini bersama Sabah dan saya menghormati kontrak itu."

"Saya berlatih gigih setiap hari dan meletakkan diri saya sentiasa dalam keadaan terbaik."

"Saya menghormati Sabah dan bolasepaknya serta saya tahu peminat juga amat menyukai saya. Itulah sebab kenapa saya melakukan persiapan dengan baik agar mampu mempamerkan aksi terbaik untuk mereka," jelas Diouf.

Ketua pasukan Sabah itu juga mengakui bahawa kumpulan peminat terbaik di Malaysia setakat ini yang beliau perhatikan ialah di Sabah dan Johor.

Isnin, 19 Januari 2015

HJ AMRULLAH DIKEKALKAN TERAJUI TABS SAFA BANDARAYA


GANDINGAN BARU...Alijus (duduk tiga dari kiri) bergambar dengan AJK baru TABS Safa Bandaraya sessi 2015-2016 yang diketuai Haji Amrullah (duduk tiga dari kanan).

KOTA KINABALU: Presiden Safa Bandaraya, Alijus Haji Sipil berkata,  Pengerusi Tunas Asas Bolasepak Sabah (TABS) Safa Bandaraya, Haji Amrullah Haji Kamal dikekalkan semula jawatannya untuk menerajui badan itu bagi sessi 2015-2016. 

Menurut beliau, pihaknya memutuskan untuk mengekalkan pengerusi tersebut selain menampilkan beberapa muka baru untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

"Ini bagi memantapkan pentadbiran dan pengurusan TABS, sebuah badan yang mengendalikan program pembangunan bolasepak di bawah pengawasan Safa Bandaraya supaya dapat terus aktif mengenal pasti bakat dan potensi pemain muda di peringkat akar umbi," katanya ketika merasmikan mesyuarat pertama TABS Safa Bandaraya bagi tahun ini di Stadium Likas di sini, baru-baru ini.

Alijus yang juga Setiausaha Agung Sabah FA meminta TABS Safa Bandaraya mulai tahun ini memasukkan kategori wanita dalam program pembangunannya sejajar peningkatan minat golongan wanita terhadap sukan itu di Sabah masa kini.

"Saya berharap dan yakin bahawa ahli jawatankuasa baru TABS serta pelantikan para jurulatih yang bertauliah dan berpengalaman mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dan ini sudah tentu memudahkan perancangan dan pelaksanaan program pembangunan dan aktiviti badan ini," ujarnya.

Berikut senarai ahli jawatankuasa baru TABS Safa Bandaraya sessi 2015-2016;

Pengerusi, Haji Amrullah Haji Kamal.

Dua muka baru, Sulaiman Mohd Noor dan Lokman Sunggim masing-masing dipilih sebagai timbalan pengerusi 1 dan timbalan pengerusi II.

Tiga naib pengerusi baru turut dipilih terdiri daripada Matasan Ahmad (naib pengerusi 1), S.A Ramli (naib pengerusi II) dan Jumat Jimmy (naib pengerusi III).

Puan Juraidah Datuk Haji Abd. Rahman dikekalkan sebagai setiausaha manakala Amsir Abdullah menjadi penolong setiausaha.

Bendahari pula dipegang oleh muka baru, Danny Tan dengan Michael Wong dipilih menjadi penolong bendahari.

Seramai sembilan anggota jawatankuasa yang dipilih terdiri daripada Saida Tahir, Hassan Madisah, Roslan Wasli, Ismail Todiki, Azri Tok, Baharum Haji Mahlan, Moksin Dusin, Ahmad Ibrahim dan Addin Ripin.

Matasan Ahmad, seorang jurulatih berpengalaman dikekalkan sebagai ketua jurulatih TABS Safa Bandaraya bagi sessi 2015-2017.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk melantik Presiden Safa Bandaraya, Alijus Haji Sipil sebagai penasihat badan tersebut.

Amrullah (kiri) berbincang dengan Lokman (bertopi) sambil diperhatikan Jumat Jimmy.

Dalam ucapan pada mesyuarat itu, Haji Amrullah menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Safa Bandaraya kerana memberi kepercayaan sekali lagi kepada beliau untuk menerajui badan tersebut.

Serentak itu, beliau turut mengumumkan pengagihan tugas semua jurulatih mengikut kategori umur pemain yang berdaftar dengan TABS Safa Bandaraya.

Bagi kategori 17 tahun ke atas dipertanggungjawabkan di bawah pengawasan jurulatih Roslan Wasli dan Awang Sabtu Jamil, bawah 16 tahun (Michael Wong dan Zulkifli Encaharang), bawah 14 tahun (Ismail Todiki dan Hassan Madisah), bawah 12 (Jumat Jimmy) dan bawah 10 (Amsir Abdullah dan Ahmad Ibrahim).

Sebanyak sembilan biro turut diwujudkan dengan biro pembangunan diketuai oleh Jumat Jimmy, biro disiplin dan kaunseling (S.A Ramli), biro teknikal (Moksin Dusin), biro penerangan dan siaraya (Lokman Sunggim), biro kebajikan (Saida Tahir), biro penganjuran/aktiviti (Roslan Wasli), biro peralatan (Azri Tok), biro keselamatan (Zulkifli Encaharang) dan biro pengangkutan (Ahmad Ibrahim).

Haji Amrullah juga berharap dengan pembentukan jawatankuasa baru itu mampu menggerakkan badan itu untuk melaksanakan perancangan dan program  pembangunan sepanjang tahun ini.

"Kita sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk dilaksanakan tahun ini termasuk program pembangunan bolasepak dengan kerjasama sebuah institusi kewangan, CIMB Foundation, menganjurkan liga bolasepak mengikut kategori umur, mengenal pasti bakat-bakat baru yang berpotensi dan mengadakan program perlawanan persahabatan dengan pasukan dari luar," katanya.


Jumaat, 16 Januari 2015

JAMES WONG KEMBALI KE PADANG BOLA TAHUN INI?

BERTEMU SAHABAT LAMA...James Wong (kiri) bersama bekas Kapten pasukan Sabah, Aman Omar Khan. 

Setelah sekian lama menghilang dalam persada bolasepak, sukan yang menjulang naik namanya, bekas pemain legenda negara, James Wong akan membuat kejutan untuk kembali semula ke padang bola.

Namun penampilannya kali ini pada usia 63 tahun bukan lagi sebagai penyerang sensasi tetapi sebagai penganjur kejohanan bolasepak bagi mengembalikan nostalgia peminat kepada pemain tinggi lampai itu serta sebagai tanda ingatan rakan-rakan sebayanya suatu ketika dahulu terutama bekas penjaga gol Sabah, mendiang Peter Rajah.

Ketika ditemui di Kota Kinabalu di sini, pemain yang lebih dikenali dengan jolokan "King James" itu memberitahu, beliau mempunyai perancangan untuk menganjurkan Kejohanan Bolasepak merebut Piala James Wong pada tahun ini.

Katanya, beliau sedang berusaha untuk mendapatkan penaja bagi kejohanan itu yang akan dijalankan secara terbuka.

"Setakat ini memang sudah ada syarikat telekomunikasi yang menyatakan sokongan dan saya juga sedang berusaha mencari penaja lain supaya kejohanan ini menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata, insiatif ini bagi menyemarakkan lagi semangat peminat-peminat bolasepak di negeri ini untuk terus memberi sokongan kepada sukan bolasepak di samping ia juga dapat mengembalikan ingatan mereka kepada pemain-pemain lama yang kian dilupakan.

Ramai pemain-pemain ternama pada masa lalu kini kurang mendapat perhatian ketika mana sukan ini sudah menjadi satu industri pada waktu ini, dengan setiap pemain kini kian bernilai.

Menurut James, perkembangan sukan bolasepak yang berlaku sekarang mencetuskan ilham kepada beliau untuk merancang mengadakan kejohanan seumpama ini.

"Ini semua dalam perancangan saya dan berharap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini," ujarnya sambil menambah bahawa penganjuran ini mungkin memakan kos yang tinggi.

Katanya, jika berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang, beliau akan menghadkan jumlah penyertaan kepada 32 pasukan sahaja.

"Saya sedang membuat perincian bagi format kejohanan...mungkin kita hanya membenarkan seorang atau dua pemain atau bekas pemain negeri untuk disenaraikan dalam setiap pasukan yang mengambil bahagian," katanya.

Beliau juga memberitahu, pihaknya akan membincangkan dengan pihak-pihak berkenaan agar kejohanan itu dapat dijalankan di tiga stadium iaitu di Likas, Penampang dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

James adalah antara bekas pemain legenda negara yang sentiasa diingati peminat bolasepak tanah air selain Allahyarham Moktar Dahari, Hassan Sani, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan mendiang Arumugam.

Penyerang ulung Sabah ini mula mewakili skuad kebangsaan pada tahun 1974 hingga 1982. Kenangan yang paling menjulang namanya ialah kejayaannya menjaringkan gol kemenangan apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 untuk menempahkan tiket layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1982. Bagaimanapun Malaysia menarik diri ke kejohanan itu kerana membantah pencerobohan Russia ke atas Afghanistan.

James juga pernah menyertai kelab Sydney Hakoah di Australia pada 1974 hingga 1976.







Khamis, 25 Disember 2014

BERI PENDEDAHAN PEMAIN REMAJA BERBAKAT - MOHD NOOR

KOTA KINABALU: Seorang jurulatih pasukan Sabah, Mohd Noor Abdullah berpendapat pemain-pemain remaja berbakat di negeri ini wajar terus digilap potensi mereka dan diberi pendedahan seluas-luasnya bagi membolehkan mereka meningkatkan kualiti permainan dalam bola sepak. 

Katanya, pada masa yang sama, Persatuan Bola sepak Sabah (Sabah FA)  juga perlu mengenal pasti pemain-pemain berbakat ini supaya mereka mendapat latihan yang sempurna. 

"Kita mendapati ramai bakat-bakat baru dan mereka ini memerlukan bimbingan untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat yang sedia ada," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pemain-pemain pasukan Sabah 2015 di Padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, baru-baru ini. 
Mohd Noor yang lebih dikenali dengan panggilan coach Francis (gambar atas) merupakan jurulatih penjaga gol skuad Sabah bagi musim 2014-2015. 

Beliau bersama pemain import Sabah dari Brazil, Andrezinho Esposito meluang masa untuk menunjuk ajar tiga pemain remaja Sabah, Mohd Hizaz Lokman, 14, Radzee S.A Ramli, 13, dan Enel Tan, 13, teknik dan taktik permainan bola sepak. 

Hizaz dan Radzee merupakan pelajar SMK Mutiara Impian, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang manakala Enel Tan merupakan rakan mereka dalam pasukan TABS Safa Bandaraya yang mendapat tawaran untuk menyertai Akademi bolasepak VfL Wolfsburg bawah 15 tahun, sebuah kelab divisyen satu dalam Bundesliga di Jerman. 

Hizaz dan Radzee merupakan anggota pasukan bawah 14 SSN Pulau Pinang yang menjuarai Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2014, naib juara Piala KPM dan naib juara Piala Sumbangsih. Mereka balik ke Sabah sempena cuti persekolahan dan meneruskan latihan pada cuti sekolah bersama TABS Safa Bandaraya di bawah pengawasan ketua jurulatih, Matasan Ahmad. 
TUNJUK AJAR...Andrezinho menyatakan sesuatu kepada Hizaz, Radzee dan Enel. Turut kelihatan jurulatih Mohd Noor (dua dari kiri). 

Mohd Noor berkata, bakat-bakat baru yang berpotensi ini perlu mendapat latihan dan bimbingan berterusan kerana mereka ini merupakan aset kepada Persatuan Bolasepak Sabah pada masa hadapan. 

"Saya dapati tiga pemain remaja ini sungguh berbakat dan mereka ini memiliki ciri-ciri pemain yang boleh pergi jauh dan sebagai bukti kelab utama di Jerman boleh nampak bakat seorang pemain ini. Kita patut lebih dahulu menyedari pemain-pemain remaja yang berbakat dan meletakkan mereka di bawah jurulatih yang berpengalaman," katanya yang sudah memaklumkan pemain-pemain ini kepada pegawai atasan Sabah FA untuk diberi perhatian selanjutnya. 

Sementara itu, pemain import dari Brazil, Andrezinho berkata, pemain-pemain remaja terbabit boleh terus meningkatkan kualiti permainan mereka memandangkan mereka sudah mempunyai kemahiran yang sedia ada. 

"Mereka hanya perlukan bimbingan jurulatih bagaimana mereka boleh bermain dengan bagus dan memahami permainan bolasepak secara profesional". 

"Dengan mendapat pengetahuan yang mendalam dan memiliki minda yang profesional, mereka boleh pergi jauh bukan sekadar boleh bermain di Malaysia," katanya sambil menekankan bahawa faktor pemakanan juga penting bagi seseorang pemain.