Selasa, 21 Disember 2010

MOGINUM, UPACARA RITUAL SUKU KAUM TATANA

Hidangan makanan yang disediakan dalam upacara Moginum. Mengikut kepercayaan suku kaum Tatana di Kuala Penyu, hidangan ini untuk roh bagi orang yang telah meninggal dunia.

Peralatan yang digunakan dalam upacara itu dan diletakkan di hadapan pintu rumah ketika upacara Moginum dijalankan.

Seorang bobolian lelaki yang mengetuai acara sumayau pada upacara Moginum.


Masyarakat Kadazandusun amat kaya dengan warisan adat istiadat termasuk upacara yang berunsurkan ritual. Suku kaum Tatana, salah satu etnik dalam kelompok Kadazandusun tidak terkecuali.


Moginum merupakan satu upacara ritual suku kaum ini yang masih diamalkan hingga ke hari ini.


Mengikut bahasa Tatana, Moginum bererti majlis minum. Secara kebetulan upacara ini sememangnya dihiasai dengan aktiviti singgarung atau dalam bahasa Tatana bermaksud acara minum-minum terutama daripada bahan seperti arak dan tapai.


Sebagaimana kebiasaannya, acara minum minuman keras ini dilakukan ketika acara sumayau diadakan pada upacara moginum.


Upacara moginum ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu yang paling popular sekali dan biasa diadakan ialah moginum loyob, moginum kaul dan moginum kahwin.


Moginum loyob ini biasanya diadakan sebagai memperingati roh anggota keluarga yang telah meninggal dunia. Ia akan dijalankan dalam tempoh kira-kira dua minggu atau selepas kematian ahli keluarga.


Moginum kaul pula diadakan sebagai memenuhi niat untuk berubat jika berlaku seseorang ahli keluarga mengalami sakit yang disebabkan keteguran roh nenek moyang atau ahli keluarga yang meninggal dunia.


Keteguran roh ini dipanggil sebagai simponongon oleh masyarakat Tatana dan untuk memulih seseorang daripada musibah ini ialah dengan mengadakan upcara moginum kaul.


Manakala moginum kahwin diadakan jika ada dalam kalangan ahli keluarga suku kaum ini ingin melangsungkan perkahwinan anak sulung atau anak bongsu mereka.


Menurut kepercayaan masyarakat ini, upacara moginum akan berlangsung selama tiga hari tiga malam.


Bagaimanapun, persediaan untuk melakukan upacara ini lazimnya memakan masa lama iaitu antara satu hingga dua bulan bagi memastikan segala bahan-bahan keperluan dan kelengkapan dapat disediakan dengan sempurna.


Bahan yang biasa menjadi keutamaan bagi sesebuah keluarga yang ingin mengadakan upacara moginum antaranya penyediaan mengeringkan ikan yu dan pari tanpa menggunakan garam. Ia akan dijadikan juadah hidangan ketika upcara moginum berlangsung.


Moginum juga biasanya akan dimulai dengan “odou bamasak” iaitu hari bagi menyediakan kolupis, nasi pulut yang dibungkus dengan daun salad dan kemudian direbus dengan air santan kelapa dalam kawah.


Kolupis ini merupakan bahan utama dalam upacara moginum dan ia membabitkan kuantiti antara kira-kira 500 kudi (setiap kudi mengandungi 10 bungkus kolupis dalam satu ikatan).


Sejenis kuih tradisi yang diperbuat daripada tepung beras dipanggil panjaram turut disediakan dalam upacara ini.


Selain itu, masyarakat Tatana juga akan melakukan acara monyigi do salong. Salong ialah sejenis bahan bakar yang dihasilkan daripada getah pokok peranti dan kemudian ia ditumbuk halus dan dimasukkan di dalam upih pinang. Salong ini akan dinyalakan sepanjang upacara moginum diadakan.


Ia disusuli dengan penyediaan sigup, tembakau yang digulung dengan kirai, sejenis daun bagi menggantikan kertas untuk menghasilkan rokok. Ia diisikan di dalam tapak sirih atau langguai, dalam bahasa Tatana.


Selepas aktiviti bomasak yang biasanya dilakukan secara beramai-ramai atau bergotong royong oleh penduduk kampung yang hadir membantu pada keesokan harinya, upacara moginum akan dimulai dengan penyembelihan kerbau.


Bagi moginum kahwin, kepala haiwan yang disembelih itu akan digunakan sebagai tempat duduk pengantin. Manakala sedikit daripada daging, hati, perut, limpah kerbau tersebut akan dipotong kecil dan dicucuk menggunakan batang bamban dan direbus dan bahan ini dikenali sebagai kosot.


Pada sebelah petang, penganjur upacara ini akan menghidangkan bahan-bahan makan dalam dulang tradisi yang diperbuat daripada kayu. Hidangan itu meliputi beberapa jenis hidangan antaranya hiding kepala, hiding tompon, hiding ramban dan hiding dangan.


Bahan makanan yang dihidangkan itu akan dibiarkan selama satu malam hingga keesokan hari. Bagi melengkapkan hidangan dalam upacara ini, hidang siaran yang melibatkan juadah makanan dan bahan minuman akan diletakkan di hadapan pintu rumah yang mengadakan upacara moginum itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan