Isnin, 4 Julai 2011

DISOAL POLIS GARA2 MINTA TANDATANGAN PM



PRIHATIN...Najib terhenti seketika untuk menandatangani surat daripada Muksin (di belakang pengawal peribadi PM).


Gara-gara keberanian ingin suratnya ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa mengikut protokol menyebabkan seorang pemuda di soal siasat polis selepas dia meminta Perdana Menteri menandatangani surat ketika beliau menuju ke kereta.

Kejadian itu berlaku ketika Datuk Seri Najib singgah di Likas di rumah waris keluarga yang pernah dikunjungi oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak kira-kira 45 tahun lalu.

Ketika menuju ke kereta, tiba-tiba seorang pemuda nekad datang ke arah Perdana Menteri dan meminta surat yang tersedia di failnya untuk ditandatangani oleh Datuk Seri Najib yang menyebabkan beliau berhenti seketika dan memerhati surat tersebut sepintas lalu dan kemudian mencatat sesuatu di dalam surat itu.

Walaupun dalam situasi seperti itu, Perdana Menteri tidak menghampakan hasrat pemuda itu dan sempat juga menandatangani surat tersebut di khalayak ramai sebelum masuk ke kereta yang membawanya.

Menurut pemuda itu yang hanya dikenali sebagai Muksin, selepas mengambil balik surat dari tangan Perdana Menteri, dia kemudian disoal siasat beberapa anggota polis.

"Anggota polis ingin tahu mengenai surat saya itu dan tujuan saya meminta tandatangan Perdana Menteri."

"Saya memberitahu mereka (anggota polis) bahawa saya hanya meminta tanda tangan sokongan PM sebelum saya menyerahkan surat itu kepada pihak yang berkenaan," katanya yang mengakui pada mulanya berasa gementar ketika mendekati PM untuk mendapatkan tandatangan beliau.

Muksin memberitahu, dia memang nekad untuk menemui PM dalam kesempatan yang ada itu dan sudah bersedia dengan risiko yang mungkin terpaksa ditempuhinya.

"Saya pun tidak menyangka PM akan menandatangani surat itu tetapi saya bersyukur kerana beliau seorang yang baik hati dan mencatat sesuatu di situ dan menandatanganinya," katanya yang sebelum itu membeli pen bernilai RM2.50 yang digunakan PM menandatangani surat tersebut.

Katanya, selepas ini, dia akan menyerahkan surat itu kepada pihak yang berkenaan dan berharap hasilnya tidak akan sisa-sia.

Menurut Muksin, pada mulanya dia berhasrat mendapatkan tandatangan PM ketika duduk bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris di meja di luar rumah yang disinggahi Datuk Seri Najib itu.

Namun, katanya, dia seolah-olah tidak terdaya untuk berbuat demikian menyebabkan dia terpaksa menunggu semasa PM mahu beredar menuju ke kereta yang membawa beliau di kawasan rumah berkenaan.

Beliau memberitahu, ramai rakan-rakannya bagaikan tidak percaya dengan tindakannya itu tetapi pada saya, "niat saya baik dan apa salahnya kalau kita cuba mendapatkan sokongan daripada Perdana Menteri untuk tujuan yang baik".


1 ulasan:

  1. Nah! gitu..suda ku bilang dong caranya..ambil kesempatan biar pun dlm kesempitan..tengok nasib la..atau cuma2 digari polisi saja tu..hehe

    BalasPadam