Tiada pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda Upko Bahagian Beaufort dan timbalannya berikutan kompromi yang dicapai antara ketuanya, Japari Kunin dan timbalan, Fredolin Penggo pada Khamis.
Spekulasi bertiup kencang sebelum ini bahawa Fredolin dijangka akan mencabar Japari bagi jawatan Ketua Pemuda pada Mesyuarat Pemilihan pergerakan itu pada 2 September ini.
Bagi menamatkan spekulasi itu, kedua-duanya telah bersemuka dalam satu majlis ringkas dan telah mencapai kata sepakat untuk mereka hanya mempertahankan jawatan masing-masing.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Bahagian, Datuk Wences Angang, Naib Ketua Bahagian, Lokman Sunggim, Setiausaha Bahagian, David Etin dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian yang lain.
Ketika ditemui di sini, Japari berkata, dengan keputusan itu bermakna kedua-dua jawatan itu dijangka tidak akan berlaku pertandingan.
Katanya, ini sesuatu yang baik kerana dengan persefahaman itu, mereka akan dapat memfokuskan tanggungjawab mereka untuk memperkasakan lagi pergerakan itu serta melaksanakan agenda parti.
“Dengan kompromi yang dicapai ini, adalah diharapkan tiada lagi spekulasi dan khabar angin yang disebarkan selepas ini,” kata Japari.
Mengulas perkembangan itu, Naib Ketua Bahagian, Lokman Sunggim, berkata langkah yang diambil kedua-dua pemimpin pergerakan pemuda itu sangat dialu-alukan kerana ia dapat mengelak perpecahan dalam pergerakan itu.
Katanya, ia juga dapat menepis sebarang spekulasi yang cuba mengambil kesempatan mengeruhkan hubungan dalam kalangan ahli pemuda.
“Ini bukan masa untuk kita bertegang sebaliknya memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kesepakatan dan kerjasama dalam parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” tegasnya.
Beliau juga berharap semua anggota parti itu di bahagian berkenaan supaya terus meningkatkan kerjasama dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang dakyah yang tidak bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan