Selasa, 12 Julai 2011

SABAH SOKONG PM PERTAHAN DEMOKRASI

BUAL...Musa menyatakan sesuatu kepada Najib pada satu majlis.

Kerajaan negeri menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus mempertahankan sistem demokrasi dan tidak takut menghadapi pembangkang dalam pilihan raya umum apabila tiba masanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini selama ini adalah adil, saksama dan harmoni.

“Kerajaan negeri dari awal lagi tidak bersetuju dengan sebarang demonstrasi jalanan yang tidak memberi manfaat kepada kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berada dalam keadaan yang baik, aman dan tenang, jadi mengapa perlu diwujudkan suasana huru-hara  oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bercakap selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan di Sri Gaya, Musa berkata, penguasaan pembangkang di beberapa negeri di negara ini membuktikan adanya demokrasi yang adil dan saksama.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah menggesa rakyat supaya memberi sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan yang sedia ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan