Ahad, 19 Mac 2017

JELIUS ATING KETUA JURULATIH BARU PASUKAN SABAH

Jurulatih skuad Piala Belia Sabah, Jelius Ating (gambar) diberi tanggungjawab baru sebagai ketua jurulatih pasukan senior Sabah menggantikan Steve Vilmiaire, jurulatih import dari Perancis ekoran rombakan mengejut yang dilakukan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA).

Serentak itu, pengurus pasukan skuad Liga Simpanan Sabah, Datuk Juil Nuatim turut mengambil alih tugas pengurus pasukan senior daripada Adlane Messelem yang juga rakan senegara Steve.

Bekas pemain negeri, Azman Mastar pula diberi tanggungjawab mengisi tempat Juil sebagai pengurus pasukan baru skuad Liga Simpanan.

Keputusan melakukan rombakan itu dibuat berikutan pertemuan dengan Presiden SAFA yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dengan pengurusan pasukan beberapa hari lepas.

Tindakan itu ada kaitan dengan prestasi buruk pasukan senior Sabah dalam Liga Perdana musim ini.

Menurut laporan akhbar tempatan, Daily Express, Ketua Menteri yang juga Presiden SAFA, Datuk Seri Musa Haji Aman mengesahkan kepada media di Tawau semalam mengenai rombakan itu dan perubahan jurulatih serta pengurus bagi pasukan senior, Piala Presiden (Liga Simpanan) dan Piala Belia.

Beliau meminta semua pemain dalam ketiga-tiga pasukan tersebut supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada jurulatih masing-masing.


 Steve Vilmiaire (tengah) disingkirkan.

Dengan perubahan itu, penolong jurulatih skuad Liga Simpanan, Burhan Ajui turut dinaikkan menjadi penolong jurulatih pasukan senior. Manakala bekas penolong jurulatih pasukan senior, Johnny Dominicus diberi peranan baru mengambil alih tempat Burhan dalam skuad Liga Simpanan.

Penolong jurulatih skuad Piala Belia, Awang Sabtu Jamil dinaikkan jawatan mengambil alih tugas ketua jurulatih pasukan muda itu berikutan tugas baru yang diamanahkan kepada Jelius dalam pasukan senior. Pengurus pasukan, Mohd Yassin Aman, adik Presiden SAFA itu yang pada awalnya diwar-warkan akan menggantikan tempat Adlane Messelem  di pasukan senior dikekalkan dalam skuad Piala Belia.

Sebaliknya tanggungjawab itu diserahkan kepada Juil yang sebelum ini menjadi pengurus pasukan Piala Presiden sejak beberapa musim.

Difahamkan sekurang-kurangnya empat nama dicadangkan untuk jawatan penolong jurulatih skuad Piala Belia yang masih kosong ketika ini. Awang Sabtu selaku ketua jurulatih baru pasukan dipercayai diberi ruang membuat pilihan gandingan yang sesuai menjadi penolongnya daripada empat nama yang dicadangkan. Namun sehingga ini belum ada keputusan dibuat.

Rombakan drastik itu disifatkan peminat-peminat bolasepak di negeri ini sebagai tepat pada masanya mengambil kira prestasi buruk pasukan dalam Liga Perdana yang ketika ini berada ditangga kedua tercorot dalam kedudukan liga.

Sebelum ini, bekas jurulatih skuad Sabah, Kelly Tham dan bekas pemain negeri, Bobby Chua mengkritik pengurusan pasukan dan meminta mereka melakukan perubahan dalam kadar segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Sementara itu, menerusi aplikasi whatsapp, Jelius menyifatkan tugas barunya itu sebagai sangat besar dan berat yang perlu dilaksanakan.

"Doakan saya agar dapat melaksanakan amanah yang diberi kepercayaan kepada saya ini disempurnakan dengan baik," katanya sambil menyatakan rasa sedih juga kerana meninggalkan pemain-pemain dalam pasukan belia. 

"Sedih juga tinggalkan pemain-pemain B19 sebab mereka semua pemain yang berbakat besar dan berpotensi untuk menjadi pemain yang baik pada masa akan datang," ujar beliau.

Para pemain skuad Piala Belia menjalani latihan di bawah kendalian Jelius di Stadium Likas beberapa hari sebelum beliau dinaikkan jawatan menjadi ketua jurulatih pasukan senior. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan