Sabtu, 19 November 2011

BAJET NEGERI 2012 TERBESAR DALAM SEJARAH

Musa menunjukkan dokumen Bajet Negeri 2012 sambil diperhatikan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Bajet Negeri  bagi tahun depan yang berjumlah RM4.048 bilion merupakan rekod perbelanjaan terbesar dalam sejarah kewangan negeri Sabah dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Musa Aman, berkata, bagi tahun 2012, kerajaan negeri  dijangka mengutip hasil yang tinggi dalam sejarah penyediaan bajet tahunan negeri iaitu sebanyak RM3,690.53 juta.

"Dengan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan lebihan yang berterusan khususnya lebihan sebanyak RM730 juta pada tahun lalu menjadikan perbelanjaan bagi tahun depan merupakan satu rekod perbelanjaan terbesar setakat ini,” katanya.


Beliau berkata, Bajet 2012 dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dengan penekanan terhadap penambahbaikan infrastruktur asas serta kemudahan prasarana awam bagi manfaat rakyat dan para pelabur.


Katanya, bajet ini merupakan bukti kerajaan negeri terus memberikan yang terbaik kepada semua lapisan rakyat dengan mengambil kira keperluan mereka di seluruh negeri.


“Kita akan terus memacu pembangunan di negeri  ini ke tahap yang lebih tinggi di samping mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global,” tegas Ketua Menteri.


Beliau juga berkata bahawa kerajaan negeri  turut menagmbil kira pelbagai sektor ekonomi secara holistik bagi melonjakkan lagi pembangunan di Sabah.


Sementara itu, penjawat awam di negeri ini menerima durian runtuh apabila mereka  akan diberikan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2012, bulan lepas.


Menurut Musa, lebih 23,000 penjawat awam negeri  akan menikmati bonus tersebut yang akan dibayar bersama gaji bulan Disember ini.


Katanya, pemberian bonus itu sebagai menghargai  sumbangan dan jasa kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan