JAFARI...isu PTI kritikal.
Pergerakan Pemuda Upko Bahagian Beaufort menyertai rakan-rakan mereka menyuarakan pandangan mengenai keperluan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) dan kewarganegaraan yang diragui di Sabah.
Ketuanya, Jafari Kunin, berkata melalui RCI sahaja, sebarang kebimbangan rakyat berhubung isu-isu tersebut dapat diredakan sekali gus membantu menyelesaikan kemelut itu.
Katanya, Kerajaan Persekutuan haruslah mengambil kira desakan rakyat agar suruhanjaya siasatan itu dapat diwujudkan dalam masa terdekat.
Berikutan itu, kata beliau, pergerakan itu menyokong hasrat presiden parti, Tan Sri Bernard Dompok untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memaklumkan pendirian parti mengenai perkara tersebut.
Jafari berkata, isu tersebut telah menjadi sebahagian perjuangan parti selama ini dan sudah tentu ia terus diperjuangkan sehingga mencapai kejayaan.
"Sejak dari awal lagi, parti begitu lantang menyatakan pendirian berhubung masalah PTI di samping pertambahan penduduk yang begitu mendadak di Sabah," katanya.
Beliau berharap isu tersebut dapat ditangani dengan baik oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan masa depan rakyat di negeri ini.
"Bagi kami, kita akan terus memberi sokongan padu terhadap sebarang usaha untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu kritikal seperti ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan