Rabu, 28 Mac 2012

SK LIKAS HUNI TAKHTA LIGA REMAJA KK BAWAH 13



Atas: Barisan pemain SK Likas bersama jurulatih mereka. Tengah: Jurulatih SK Likas, cikgu Norsi Haji Sabtari menyatakan sesuatu kepada para pemainnya sebelum beraksi di separuh masa kedua. Bawah: Penyerang SK Likas, Mohd Hizaz Lokman cuba melepasi kawalan pemain-pemain pertahanan Kidball.

SK Likas kini menduduki tangga teratas Liga Bolasepak Remaja Kota Kinabalu Bawah 13 tahun dengan mengutip sembilan mata setakat ini berikutan kejayaan menewaskan Kidball 3-2 dalam perlawanan ketiga mereka bagi liga itu di padang Sukma Likas, Kota Kinabalu di sini, minggu lepas.

Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut mereka selepas meraihkan dua kemenangan sebelum ini menumpakasn SRK St. Agnes5-0 dan membelasah TABS Bandaraya B 7-0.

Kidball yang menurunkan beberapa pemain sekolah menengah beraksi dengan misi untuk menjinakkan SK Likas yang membariskan pemain tahun enam dan lima sahaja.

Namun dengan semangat padu para pemain, SK Likas mampu melakukan jaringan pendahulu pada minit-minit awal separuh masa pertama menerusi penyerang Mohd Hizaz Lokman yang melakukan rembatan di kawasan kotak penalti.

Kidball terus berusaha untuk menghasilkan jaringan dan ia menjadi kenyataan apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan di saat-saat akhir separuh masa pertama.

SK Likas kembali mendahului lawan di separuh masa kedua setelah pemain sayap kanan Taufik Abdullah berjaya melarikan bola dan melakukan percubaan menewaskan sekali lagi penjaga gawang lawan. 

Kidball bagaimanapun tidak mudah berputus asa dan penyerangnya Saiful Abdul Rahman dapat menyamakan kedudukan selepas itu.

Gol kemenangan SK Likas diperolehi pada minit-minit akhir perlawanan melalui sepakan bebas yang dilakukan Roudell Enel Tan.

SIJIL ANAK NEGERI ADUN SRI TANJONG DIBATAL



JIMMY...bukan Sino-Kadazan.

Lembaga Pegawai Sabah yang dilantik Yang Dipertua Negeri telah mengemukakan perakuan kepada Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu bagi melaksanakan keputusan membatalkan Sijil Anak Negeri Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sri Tanjong, Jimmy Wong.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Noor berkata, lembaga berkenaan telah melakukan siasatan, penelitian dan perakuan untuk membatalkan Sijil Anak Negeri pemmpini DAP tersebut atas beberapa faktor.

Katanya, ini termasuk maklumat keturunan yang dituntut Wong sebagai Sino-Kadazan adalah bercanggah dengan salasilah keturunannya yang sebenar.

"Tidak ada setitikpun darah keturunan Kadazan mengalir dalam tubuh Jimmy Wong kerana ibu bapanya adalah daripada keturunan Cina, sebagaimana yang tercatat dalam sijil lahirnya."

"Sebab itu, Lembaga Pegawai mendapati Jimmy Wong telah tidak memenuhi Seksyen 2 (1) Ordinan Tafsiran Anak Negeri (Bab 64),” kata Hajiji ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini.

Menteri itu bagaimanapun, berkata, keputusan lembaga itu hanya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat berikutan pewujudan Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu baru sahaja diwartakan pada Disember tahun lepas. 

Selasa, 27 Mac 2012

SHAFIE SOKONG KEPIMPINAN MUSA

Shafie (dua dari kiri) bersama Musa (tiga dari kanan) pada majlis itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri.


"Kita harus berterima kasih kepada Musa dalam memajukan negeri ini," katanya pada majlis penyerahan bayaran khas terhadap bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) cawangan Sabah di Kota Kinabalu.


Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.


Beliau turut meminta kakitangan dan bekas kakitangan Kemas supaya memberi sokongan kepada kerajaan.


Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) komited untuk melindungi kepentingan rakyat.


Shafie yang juga Naib Presiden Umno, berkata rakyat perlu memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan.


Katanya, tiada negara seperti Malaysia yang berjaya mewujudkan suasana aman dan harmoni kepada rakyatnya.


"Warga Malaysia khususnya di Sabah ketika ini hidup aman damai dan mereka boleh bekerjasama," katanya.


Beliau menambah bahawa rakyat juga perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membawa banyak pembangunan kepada negeri Sabah.

Isnin, 26 Mac 2012

HENTIKAN GERAKAN BERI SIJIL LAHIR LEWAT DI SENALLANG, KATA MENTERI LUAR

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman (gambar) meminta supaya gerakan untuk memberi sijil lahir lewat dan mykad kepada 40,000 kanak-kanak di Senallang, Semporna dihentikan sehingga kesahihan kanak-kanak terbabit diperiksa dan ditentusahkan.


Beliau berkata, langkah itu penting bagi menghalang rakyat Sabah menjadi pelarian di negara sendiri dan melindungi kedaulatan negara.


"Sebagai rakyat Sabah, saya sangat kecewa membaca laporan akhbar tempatan berhubung 40,000 kanak-kanak di Senallang yang tidak mempunyai dokumen Malaysia," katanya.


Menurutnya, jumlah yang besar itu datangnya dari satu kawasan sahaja dan siapa tahu mungkin di kawasan lain juga mengemukakan 20,000 atau 30,000 orang menghadapi masalah yang serupa.


"Kenapa masalah ini timbul sekarang?".


"Sebagai Menteri Luar, perkara seperti ini tidak harus diambil mudah dan dilihat sebagai remeh. Ini perkara serius dan membabitkan kedaulatan negara dan Sabah," katanya sebagai mengulas laporan akhbar tempatan mengenai isu tersebut.


Beliau menegaskan, "itulah sebabnya kenapa saya meminta sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan di Sabah untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas 40,000 orang ini untuk menentusahkan sama ada mereka layak diberikan dokumen Malaysia."


Sebelum ini, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran mempertahankan gerakan yang sedang berjalan itu untuk memberikan 40,000 sijil lahir lewat di Senallang, yang diwakilinya kerana menghadapi kritikan pelbagai pihak di Sabah.


Menurut Adun Senallang itu, gerakan itu dilakukan dengan kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussein kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bawah kementeriannya.


Anifah berkata, isu serius ini bukan sahaja masalah di Senallang atau Semporna dan bukan juga membabitkan Sabah sahaja tetapi ia adalah masalah negara.


"Sebagai Menteri Luar, saya melihat masalah ini sangat serius kerana ia mungkin menjejaskan kedaulatan negara," tegasnya.

Selasa, 20 Mac 2012

UPKO KURANG SENANG PERKEMBANGAN RCI

Upko melahirkan rasa kurang senang dengan perkembangan yang perlahan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.


Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok (gambar), berkata partinya agak kecewa kerana perkara itu tidak dilakukan sebagaimana usaha mempercepatkan pembentukannya yang diharap-harapkan.


Dompok ditanya mengenai perkembangan cadangan bagi penubuhan RCI sebagai usaha mencari penyelesaian terhadap masalah PTI yang menjadi isu utama di negeri ini.


"Saya berharap segala-galanya dilakukan bagi mempercepatkan kelulusan terma-terma rujukan dan pelantikan keanggotaan dalam RCI bagi membolehkan mereka dapat memulakan tugasan mereka," katanya pada program Hello Komoditi di Putatan, di sini.


Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjelaskan sebenarnya RCI telah pun diluluskan Kabinet pada 8 Februari dan disahkan semula seminggu kemudian.


Katanya, mesyuarat antara ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) juga telah diadakan selepas itu dengan masing-masing telah memberi pandangan mereka mengenai terma-terma yang sepatutnya.


Anggota Parlimen Penampang itu turut menyatakan bahawa Upko sendiri telah mengemukakan syor berhubung terma-terma rujukan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada 15 Februari lepas.


Ditanya mengenai mengapa Perdana Menteri belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara itu, beliau berkata, soalan itu patut diajukan terus kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.


"Apabila beliau datang ke Sabah, tiada siapa yang bertanyakan kepada beliau. Jadi saya harap anda akan tanya apabila beliau datang lagi ke Sabah," katanya.

Ahad, 18 Mac 2012

RUMAH TERBALIK DI TAMPARULI YANG PERTAMA DI ASIA TENGGARA, KELIMA DI DUNIA

Pemandangan Rumah Terbalik di Tamparuli yang ketika ini menarik perhatian pelancong.

Rumah Terbalik di Tamparuli, Sabah bukan sahaja tercatat dalam Malaysia Book of Records tetapi ia dipercayai yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan yang kelima di dunia.


Terletak di tepi jalan raya menuju ke pekan Tamparuli dan Ranau kira-kira 35 km dari bandaraya Kota Kinabalu, rumah terbalik yang dimiliki Alexander Yee itu kini menjadi satu lagi produk pelancongan di Sabah.


Rumah itu dibina dengan kos RM500,000.00 kelihatan semua secara terbalik daripada atap hinggalah kepada lantai, perabot serta kelengkapan yang ada di dalamnya. Malah sebuah kereta Kancil di garaj berhampiran rumah itu juga dapat dilihat dalam keadaan terbalik.


Ia mempunyai ruang tamu yang terdapat perabot seperti kerusi dan meja, dua bilik yang mempunyai katil, ruang dapur dengan peralatannya serta tandas, kesemuanya dalam keadaan terbalik. Selain ia juga dihiasai dengan pelbagai hasil kerja tangan masyarakat tempatan. 


Dengan keluasan 140 meter persegi, rumah itu menggambarkan gabungan corak kehidupan etnik sino Dusun dan Kadazandusun. 


Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun telah merasmikan rumah terbalik itu.


Walaupun baru dibuka kepada orang ramai sejak 1 Februari lepas, menurut laporan akhbar tempatan, lebih 3,000 pelawat telah dicatat mengunjungi rumah terbalik tersebut.


Bayaran masuk ke rumah berkenaan ialah RM5 bagi kanak-kanak dan RM10 bagi dewasa.


Pelawat akan digilirkan memasuki ke dalam bangunan rumah itu secara berkumpulan seramai 10 orang yang akan dipandu oleh petugas di situ.


Ketika berada di tangga, pelawat akan dikehendaki memalu gong dan mengetuk pintu sebelum memasuki rumah berkenaan. Ini menurut petugas di situ adalah berdasarkan budaya masyarakat Dusun.


Di ruang berenda rumah terbalik itu juga didapati dua ekor belangkas yang menurut kepercayaan suku kaum Dusun berfungsi sebagai pengusir hantu, tambah pemandu pelancong itu.


Kelihatan pelawat berjalan keluar dari pintu belakang Rumah Terbalik itu.

Yee, pemilik rumah terbalik itu yang juga seorang pengusaha pelancongan, berkata bangunan itu mempunyai mesej jelas mengenai alam sekitar yakni satu peringatan untuk melindungi alam sekitar atau dunia akan menjadi songsang atau terbalik.

Masidi ketika mengucapkan tahniah kepada Yee, berkata idea seumpama ini penting untuk pertumbuhan berterusan industri pelancongan di Sabah.


Katanya, ilham yang kreatif diperlukan untuk sebahagian daripada daya tarikan sektor pelancongan.


"Bukan semua pelancong datang ke Sabah semata-mata ingin melihat hidupan liar atau pulau-pulau yang ada di sini. Ada kalanya, mereka ke sini untuk melihat sesuatu yang berlainan. Kita memerlukan kelainan untuk mencapai kejayaan," katanya.

Rabu, 14 Mac 2012

TIDAK PERLU "MAIN KOTOR" JIKA BERMINAT JADI CALON


Anggota Parlimen kawasan Kimanis, Datuk Anifah Aman (gambar) berkata, sesiapa saja yang berhasrat untuk menjadi calon di kawasan ini pada pilihan raya umum akan datang tidak perlu menggunakan taktik kotor untuk berbuat demikian.


Menurut beliau, Umno Bahagian Kimanis akan menyerahkan nama-nama bakal calon yang berminat untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).


"Jika ada sesiapa (dari Umno Kimanis) yang berminat untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang, kami akan menyerahkan nama mereka untuk pertimbangan oleh kepimpinan atasan," katanya.


Ketua Umno Bahagian Kimanis itu menyatakan perkara tersebut pada majlis penutupan Karnival Belia Kimanis di tapak tamu pekan ini, di sini.


Anifah yang juga Menteri Luar, berkata mereka yang berhasrat untuk bertanding tidak sepatutnya memburuk-burukkan pemimpin sedia ada apabila mengunjungi kampung-kampung bagi mempromosikan diri mereka dan meraih sokongan daripada akar umbi.


Katanya, kalaupun ingin berkempen dari kampung ke kampung, pihak-pihak ini tidak seharusnya menghasut penduduk kampung untuk membencikan wakil rakyat yang sedia ada.


Sebelum ini, terdapat laporan media terutama akhbar dan laman sosial facebook yang inginkan anak tempatan diberi peluang untuk menjadi calon di kawasan ini pada pilihan raya umum akan datang.

Sabtu, 10 Mac 2012

LIGA JUNIOR KK: SK LIKAS MENANG LAGI

Pemain-pemain SK Likas (berdiri) bergambar bersama pemain-pemain SRK St. Agnes.

Pasukan SK Likas mencatat kemenangan kedua dalam Liga Bolasepak Remaja Kota Kinabalu bawah umur 13 tahun dengan menumpaskan pasukan SRK St. Agnes 5-0 dalam perlawanan liga itu di padang Sukma di sini pada Sabtu.

Dengan kejayaan itu membolehkan pasukan berkenaan mengutip enam mata selepas mencapai kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan TABS Bandaraya minggu lepas.

Dalam pertemuan dengan SRK St. Agnes menyaksikan penguasaan sepenuhnya SK Likas dengan tidak memberi ruang kepada lawan untuk melakukan serangan hinggakan tiada gol hadir ke gawang mereka.

Dengan corak permainan kemas, SK Likas berjaya menghasilkan dua gol pada separuh masa pertama menerusi tandukan penyerang Mohd Hizaz Lokman dan rembatan kencang Taufik Abdullah.

Jurulatih SRK St. Agnes, Justine Saning sentiasa berusaha mencari ramuan untuk memantapkan benteng pertahanan pasukannya namun SK Likas terus mempamerkan kebijaksanaan bagi memperdayakan lawan pada permainan separuh masa kedua.

Berikutan itu, mereka berjaya menambah tiga gol lagi melalui jaringan Ramli Jamrih (dua gol) dan satu gol dijaringkan Taufik Abdullah bagi mengukuhkan kedudukan.



Jumaat, 9 Mac 2012

KISAH DI SEBALIK NOTEBOOK 1 MALAYSIA


Gambar atas: Maklumat dalam screen notebook "melompat" ke posisi terbalik ketika dicuba untuk digunakan. Gambar bawah: Contoh notebook 1 Malaysia yang diberi percuma oleh kerajaan.


Pemberian komputer 1 Malaysia kepada warga Malaysia yang layak mendapatnya memang sangat dialu-alukan kerana ia sekurang-kurangnya memberi pendedahan asas kepada mereka mengenai kemudahan IT di samping membantu mereka meningkatkan ilmu pengetahuan terutama bagi mereka yang sudah boleh mengakses internet.


Sumbangan notebook 1 Malaysia oleh kerajaan pada dasarnya mempunyai matlamat yang baik dan ia sewajarnya dimanfaat sebaik mungkin oleh pihak yang terbabit dalam pelaksanaannya termasuk pihak pembekal selain pihak penerima.


Namun begitu, setiap apa juga perancangan yang dilakukan sudah tentu tidak dapat mengelak daripada menghadapi masalah.


Apa pun setiap sesuatu yang boleh menyebabkan masalah seharusnya dicari jalan penyelesaiannya untuk sekurang-kurangnya ia boleh diminimakan supaya tidak menjadi situasi yang lebih merumitkan.


Bagi kawasan Parlimen Beaufort, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin baru-baru ini menyatakan bahawa kira-kira 6,000 unit komputer 1 Malaysia sudah pun diagih-agihkan kepada penerima termasuk orang awam, pelajar, NGO serta pihak-pihak yang dikenal pasti layak menerima notebook itu.


Penyerahan secara berperingkat dilakukan di Dewan Shahbandar Makang, Kuala Penyu dan di Dewan Pak Musa, Beaufort disempurnakan sendiri oleh Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort.


Selang beberapa hari selepas penyerahan itu, banyak cerita dan kisah didengari, bukan sekadar keluhan disebabkan kualiti notebook tersebut malah ada juga dakwaan bahawa komputer tersebut dijual oleh penerima sehingga semurah RM200.


Apabila timbul cerita seumpama ini tentu ia ada sebabnya dan kita tidak harus terus membuat kesimpulan berdasarkan andaian semata-mata sebaliknya ia mungkin memerlukan pemantauan susulan dan penyiasatan bagi memastikan usaha murni kerajaan menyediakan kemudahan itu mencapai matlamat.


Memang banyak cerita kita dengari di sana-sini. Malah saya sendiri diberitahu oleh rakan-rakan bahawa kalangan penerima notebook itu terutama yang menganggap ia tidak penting bagi dirinya telah mengambil keputusan untuk menjualnya kepada orang lain.


Bagaimanapun agak sukar untuk memastikan kesahihan dakwaan mereka itu tetapi biasanya seperti kata orang, pokok tidak akan bergoyang kalau tidak ditiup angin. Sebab itu mungkin terdapat keperluan pihak yang berkenaan untuk menyiasat setiap dakwaan yang menjadi buah mulut segelintir orang itu.


Seorang sahabat mendakwa memang ada penerima sudah menjual sumbangan komputer itu walaupun dia sendiri tidak dapat memberi anggaran jumlah sebenar yang sudah dijual.


Sebagai contoh, katanya, seorang ibu tunggal yang bukan sahaja tidak tahu menggunakan komputer selain di rumahnya tidak boleh mengakses internet telah menyatakan hasratnya untuk menjual komputer itu.


"Saya fikir dia tiada pilihan selain menjual notebook itu dengan harga yang murah," dakwa sahabat itu.


Seorang yang lain yang saya kenali dan kebetulan penerima notebook 1 Malaysia itu pula mempunyai masalah yang lain apabila komputer yang diterimanya itu dalam beberapa saat saja selepas dicuba sudah menghadapi masalah.


Maklumat dalam screen notebook itu ketika dia baru mencuba tidak semena-mena pandai "melompat" menjadikan maklumat itu pada kedudukan yang terbalik.


Memang melucukan tetapi inilah yang berlaku terhadap notebook berjenama Aerogate yang baru saya terima, jelasnya.


Menurut beliau, dia tidak pernah mengalami keadaan seperti itu terhadap komputer-komputer yang pernah dia gunakan sebelum ini.


"Saya fikir walaupun notebook ini sumbangan kerajaan tetapi pihak pembekalnya haruslah membekalkan produk yang mempunyai kualiti dan tidak sekadar memikirkan keuntungan lumayan semata-mata," katanya.


"Tiada guna menyediakan kemudahan yang sekadar cantik dilihat namun apabila digunakan ia menyusahkan penggunanya," tegas beliau.


Berdasarkan apa yang berlaku sama ada dakwaan bahawa terdapat beberapa komputer itu dijual kepada orang lain atau keadaan komputer terbabit yang tidak begitu memuaskan, yang pentingnya sumbangan percuma kerajaan itu seharusnya dilihat sebagai sesuatu usaha yang mengambil kira manfaat kepada rakyat.


Sekiranya pelaksanaan oleh pihak berkenaan yang diamanahkan oleh kerajaan menghadapi kecacatan, ia seharusnya segera dicari kaedah penyelesaian terbaik termasuk mengenal pasti punca kenapa ia berlaku. Mungkin perkara ini menjadi peranan dan tanggungjawab kementerian yang berkaitan.


Semoga usaha murni kerajaan dalam menggalakkan rakyat celik IT dan meningkatkan ilmu pengetahuan melalui sumbangan percuma notebook 1 Malaysia berjaya mencapai matlamat dan sasarannya.

Sabtu, 3 Mac 2012

PERMULAAN CEMERLANG SK LIKAS DALAM LIGA JUNIOR KK

Gambar atas: Pemain-pemain SK Likas mendengar kata-kata perangsang daripada jurulatih mereka, cikgu Norsi Hj. Sabtari (bertopi) dan gambar bawah; barisan pemain SK Likas (mencangkung) bergambar kenangan dengan pemain-pemain TABS Bandaraya B (berdiri) sebelum perlawanan.
 
SK Likas memulakan cabaran awal dalam kategori bawah 13 tahun Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu 2012 dengan membelasah TABS Bandaraya B 7-0 dalam perlawanan liga itu di padang Sukma, Likas, Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.

Bermain dengan kombinasi yang baik, SK Likas mendahului lawan 4-0 di separuh masa pertama dengan Ramli Jamrih menjaringkan dua gol manakala dua gol lagi masing-masing dijaringkan Johan Mansor dan Anel Danny.

TABS Bandaraya B cuba mengimbangi rentak permainan namun mereka tidak berupaya mengekang pemain-pemain lawan daripada terus melakukan asakan.

Akibatnya, SK Likas yang sentiasa dahagakan gol memanfaatkan setiap peluang dan ini membolehkan mereka menambah tiga gol lagi dalam saingan di babak kedua.

Penyerang SK Likas, Mohd Hizaz Lokman berjaya menjaringkan dua gol sementara satu gol lagi diperoleh menerusi pemain gantian Wan Anas.

Kategori bawah 13 tahun membabitkan lapan pasukan terdiri daripada SK Likas, TABS Bandaraya A, Kid Ball, TABS Tuaran, SRK St. Agnes, SMK Likas, Sabah College Rhino FC dan TABS Bandaraya B.

Sementara itu dalam perlawanan lain, TABS Bandaraya A menumpaskan Sabah College Rhino FC 4-0.



Jumaat, 2 Mac 2012

CADANGAN JADIKAN KUALA PENYU DAERAH BEBAS CUKAI

Lajim (duduk lima dari kiri) bergambar dengan anggota-anggota Majlis Daerah Kuala Penyu sesi 2012.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin berkata, usaha sedang dilakukan untuk menjadikan Kuala Penyu sebagai daerah bebas cukai.

Menurutnya, cadangan itu jika menjadi kenyataan membolehkan daerah Kuala Penyu dapat bergerak maju kerana pelabur sudah tentu akan tertarik untuk meneroka peluang-peluang perniagaan seperti mewujudkan pasaraya dan premis makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken di daerah ini.

"Saya bersama jawatankuasa pemikir sudah pun mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kastam dan Eksais dan kerajaan supaya cadangan ini dapat dilaksanakan bagi daerah Kuala Penyu," katanya ketika ditemuramah pemberita RTM selepas Majlis Angkat Sumpah Anggota Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) di bilik persidangan MDKP di sini pada Khamis.

Lajim yang juga Anggota Parlimen kawasan Beaufort, berkata cadangan menjadikan Kuala Penyu sebagai daerah bebas cukai akan membantu daerah ini menggerakkan aktiviti ekonomi sekali gus mewujudkan peluang-peluang yang boleh memberi manfaat kepada penduduknya.

"Kegiatan ekonomi dan perniagaan di daerah ini masih kurang selain hasil pendapatan pihak majlis daerah juga masih rendah maka usaha-usaha perlu dilakukan dan salah satu daripada pendekatan itu ialah menjadikan daerah ini bebas cukai," tegas beliau.

Beliau menambah bahawa Kuala Penyu juga mempunyai potensi dalam sektor pelancongan dan ini sedikit-sebanyak membantu menjana ekonomi di daerah ini.

Sementara itu, dua anggota Majlis Daerah Kuala Penyu, Lokman Sunggim dan Haji Samin Ongki mengalu-alukan cadangan bagi menjadikan Kuala Penyu daerah bebas cukai.

Lokman berkata, cadangan itu sangat baik dan percaya ia mampu membantu merangsang aktiviti ekonomi di daerah Kuala Penyu kerana ia boleh mendorong lebih ramai pelabur untuk mencari peluang-peluang baru yang boleh diwujudkan di daerah ini.

"Dengan suasana baru itu, ia juga mampu menarik minat institusi kewangan dan sistem perbankan untuk membuka cawangan bank misalnya memandangkan ketiadaan bank di Kuala Penyu menyukarkan penduduknya berurusan dengan pihak bank," katanya.

Tambahan lagi, kata beliau, dengan siapnya Jambatan Sitompok yang akan dapat dimanfaatkan dalam masa terdekat turut meningkatkan lagi sistem perhubungan ke pekan ini dan ia sudah tentu akan merancakkan lagi aktiviti dalam sektor perniagaan, pelancongan serta berupaya menjana ekonomi penduduk setempat.

Haji Samin berkata, sebagai anggota majlis, pihaknya sangat mengalu-alukan cadangan tersebut serta menyifatkannya sebagai langkah yang akan memberi banyak manfaat kepada warga Kuala Penyu.

"Kita berharap usaha ini dapat dilaksanakan kerana ia membantu daerah ini terus maju dan mewujudkan peluang-peluang baru kepada penduduk," katanya.