Ahad, 18 Mac 2012

RUMAH TERBALIK DI TAMPARULI YANG PERTAMA DI ASIA TENGGARA, KELIMA DI DUNIA

Pemandangan Rumah Terbalik di Tamparuli yang ketika ini menarik perhatian pelancong.

Rumah Terbalik di Tamparuli, Sabah bukan sahaja tercatat dalam Malaysia Book of Records tetapi ia dipercayai yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan yang kelima di dunia.


Terletak di tepi jalan raya menuju ke pekan Tamparuli dan Ranau kira-kira 35 km dari bandaraya Kota Kinabalu, rumah terbalik yang dimiliki Alexander Yee itu kini menjadi satu lagi produk pelancongan di Sabah.


Rumah itu dibina dengan kos RM500,000.00 kelihatan semua secara terbalik daripada atap hinggalah kepada lantai, perabot serta kelengkapan yang ada di dalamnya. Malah sebuah kereta Kancil di garaj berhampiran rumah itu juga dapat dilihat dalam keadaan terbalik.


Ia mempunyai ruang tamu yang terdapat perabot seperti kerusi dan meja, dua bilik yang mempunyai katil, ruang dapur dengan peralatannya serta tandas, kesemuanya dalam keadaan terbalik. Selain ia juga dihiasai dengan pelbagai hasil kerja tangan masyarakat tempatan. 


Dengan keluasan 140 meter persegi, rumah itu menggambarkan gabungan corak kehidupan etnik sino Dusun dan Kadazandusun. 


Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun telah merasmikan rumah terbalik itu.


Walaupun baru dibuka kepada orang ramai sejak 1 Februari lepas, menurut laporan akhbar tempatan, lebih 3,000 pelawat telah dicatat mengunjungi rumah terbalik tersebut.


Bayaran masuk ke rumah berkenaan ialah RM5 bagi kanak-kanak dan RM10 bagi dewasa.


Pelawat akan digilirkan memasuki ke dalam bangunan rumah itu secara berkumpulan seramai 10 orang yang akan dipandu oleh petugas di situ.


Ketika berada di tangga, pelawat akan dikehendaki memalu gong dan mengetuk pintu sebelum memasuki rumah berkenaan. Ini menurut petugas di situ adalah berdasarkan budaya masyarakat Dusun.


Di ruang berenda rumah terbalik itu juga didapati dua ekor belangkas yang menurut kepercayaan suku kaum Dusun berfungsi sebagai pengusir hantu, tambah pemandu pelancong itu.


Kelihatan pelawat berjalan keluar dari pintu belakang Rumah Terbalik itu.

Yee, pemilik rumah terbalik itu yang juga seorang pengusaha pelancongan, berkata bangunan itu mempunyai mesej jelas mengenai alam sekitar yakni satu peringatan untuk melindungi alam sekitar atau dunia akan menjadi songsang atau terbalik.

Masidi ketika mengucapkan tahniah kepada Yee, berkata idea seumpama ini penting untuk pertumbuhan berterusan industri pelancongan di Sabah.


Katanya, ilham yang kreatif diperlukan untuk sebahagian daripada daya tarikan sektor pelancongan.


"Bukan semua pelancong datang ke Sabah semata-mata ingin melihat hidupan liar atau pulau-pulau yang ada di sini. Ada kalanya, mereka ke sini untuk melihat sesuatu yang berlainan. Kita memerlukan kelainan untuk mencapai kejayaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan