Isnin, 24 September 2012

KERAJAAN BN AKAN TERUS BANTU RAKYAT, KATA ISNIN

Isnin (bersongkok) bersama Adun Kuala Penyu, John Teo (kiri sekali), Datuk Kimjus Duim, Lokman Sunggim (kanan sekali) dan Limus Jury (tiga dari kanan).

KUALA PENYU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela rakyat di luar bagi membolehkan mereka dapat bersama-sama menikmati pembangunan secara berterusan.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih, berkata para pemimpin BN akan berusaha mengenal pasti mana-mana tempat yang masih memerlukan pembelaan dan pembangunan bagi memudahkan pihak kerajaan menghulurkan bantuan.

Katanya, inilah sebahagian tugas pemimpin agar tempat-tempat yang masih memerlukan bantuan akan dapat dibantu dan mereka tidak akan tersisih daripada menikmati kemajuan.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis merdeka raya anjuran Persatuan Muallaf Daerah Kuala Penyu di balairaya Kg. Melampai di sini, kelmarin.

Isnin yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur mahu masyarakat pelbagai kaum di daerah ini terus mengekalkan semangat perpaduan yang sedia ada sebagai landasan untuk memperkukuhkan jalinan permuafakatan di kalangan mereka walaupun berbilang kaum dan anutan agama.

Katanya, kerajaan BN memberikan komitmen yang tinggi dalam memartabatkan nilai perpaduan semua kaum di negara ini tanpa mengira perbezaan budaya, adat resam dan anutan agama mahu pun idealogi politik.

Belaiu melahirkan rasa bangga dengan sambutan serta komitmen yang ditunjukkan oleh masyarakat di kawasan ini yang jelas menampakkan semangat permuafakatan yang begitu kukuh.

“Walaupun terdapat perbezaan agama dan budaya namun nilai persaudaraan dan semangat kekeluargaan tetap terpelihara dengan baik," katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukan bagi menampung kos penyambungan bekalan elektrik balai raya di kampung berkenaan dan mengharapkan perlaksanaannya dapat dipercepatkan.

" Ini bukan duit saya, setiap peruntukan yang kita umumkan adalah amanah kerajaan untuk disalurkan kepada rakyat. Demikian juga halnya dengan pemimpin yang meninggalkan kita untuk menyertai pembangkang, semua projek pembangunan yang mereka umumkan sebelum ini adalah peruntukan kerajaan Barisan Nasional, rakyat jangan mudah tertipu," tegasnya.

Turut hadir pada majlis itu Adun Kuala Penyu, John Teo, Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Kimjus Duim, Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim, Setiausaha Umno bahagian, Jali Nordin dan ahli perniagaan, Limus Jury.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan