SERAH JERSI...Lokman mewakili Pengarah Urusan Perwira Progresif Construction Sdn. Bhd., Limus Jury menyerahkan sumbangan jersi kepada Osmera (tiga dari kiri).
KOTA KINABALU: Sabah akan menghantar dua pasukan untuk mengambil
bahagian dalam Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan yang akan berlangsung di
padang Kompleks Sukan Negeri Kangar, Perlis pada 16-22 November ini.
Satu pasukan akan bertanding bagi kategori bawah umur 12 tahun
yang akan dianggotai 18 pemain Mykids Soccer Sabah dan satu pasukan lagi
melibatkan pemain bawah 10 tahun yang terdiri daripada 15 pemain.
Ketua jurulatih remaja negeri Majlis Sukan Negara (MSN), Osmera
Omaro, berkata, bagi kategori bawah 12 tahun, ini merupakan kali kedua Sabah
mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan kali pertama menyertai bagi
kategori bawah 10 tahun.
Katanya, tahun lepas Sabah menyertai kejohanan kebangsaan bawah 12
tahun di Perak dan berjaya memasuki pusingan suku akhir.
"Kali ini, kita memiliki pasukan bawah 12 tahun yang bagus
dan saya percaya mereka mampu beraksi dengan cemerlang dalam kejohanan
itu," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan jersi daripada
Perwira Progresif Construction Sdn. Bhd. di padang SK Likas, pada Selasa.
Sumbangan jersi itu disampaikan Lokman Sunggim yang mewakili
Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Limus Jury pada majlis penyerahan itu.
Osmera berkata, pasukan bawah 12 tahun akan diawasi jurulatih
Norsi Sabtari manakala pasukan bawah 10 tahun akan dikendalikan Mohamad Erwan
kerana beliau akan terlibat mengawasi pasukan Malaysia Projek 2019 yang turut
bertanding dalam kejohanan itu.
Katanya, sebanyak 15 pasukan bawah umur 12 tahun dari seluruh
negara akan menyertai kejohanan enam hari itu.
Menurut beliau, pasukan yang dijangka memberi cabaran kuat dalam
kejohanan itu termasuk juara Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSM,
Terengganu, Pahang dan Perak.
"Namun begitu, kita juga mempunyai pasukan yang baik dan kita
berharap mereka mampu menghadapi saingan lawan dan seterusnya mencapai
kejayaan," ujarnya sambil menyatakan keyakinan skuad Mykids Soccer Sabah
mampu pergi lebih jauh.
Beliau juga memberitahu, ketika ini Mykids Soccer Sabah juga telah
dimasukkan di bawah program pembangunan bolasepak SAFA.