Sabtu, 6 Oktober 2012

SK LIKAS JUARA PIALA BORNEO 2012 BAWAH 13 TAHUN

ASAKAN...pemain SK Likas, Mohd Hizaz Lokman (jersi no. 7) cuba melepasi kawalan para pemain Jerudong International School dari Brunei pada perlawanan akhir.

JUARA BARU...para pemain SK Likas bersama trofi dan hadiah yang dimenangi selepas disytiharkan sebagai juara kejohanan itu tahun ini.

KOTA KINABALU: Pasukan SK Likas muncul sebagai juara Kejohanan Bolasepak Piala Borneo 2012 bagi kategori bawah 13 tahun selepas menewaskan pasukan Jerudong International School, Brunei 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Sabtu.

Gol tunggal kemenangan SK Likas dijaringkan penyerang Mohd Nasip Mohd Zain sekali gus menobatkan pasukan itu sebagi juara baru kejohanan tahunan itu.

Kedua-dua pasukan bersaing hebat sejak awal-awal lagi namun SK Likas beraksi lebih cemerlang untuk mengetepikan pasukan lawan yang mereka kalahkan 2-0 pada perlawanan awal peringkat kumpulan.

Jerudong yang ingin membalas dendam ke atas kekalahan yang dialaminya di pusingan awal kepada SK Likas tidak berupaya berbuat demikian sebaliknya mereka sekadar berpuas hati untuk meraihkan sebagai naib juara.

SK Likas berjaya mara ke final setelah menumpaskan pasukan St. George FC dari Australia 3-1 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Likas sebelum itu manakala Jerudong International School menewaskan TABS untuk melayakkan diri ke peringkat itu.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, pasukan St. George mengalahkan TABS 1-0 melalui sepakan penalti pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 0-0 dalam perlawanan penuh masa.

Sebanyak lapan pasukan mengambil bahagian terdiri dari SK Likas, Jerudong International School dari Brunei, St George FC dari Sydney Australia, TABS, Blues FC, Kidball, Yayasan Sarawak Academy dan UMS yang dibahagikan kepada dua kumpulan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan