Najib bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
PENAMPANG : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah merampas hak rakyat Sabah, tetapi sebaliknya telah memberi banyak kemudahan kepada negeri itu.
Oleh itu, beliau meminta
rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang kononnya
kerajaan Persekutuan merampas hak rakyat negeri itu.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan komited untuk membela nasib rakyat di negeri Sabah termasuk memelihara keharmonian dan kepelbagaian budaya.
Perdana Menteri juga
mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang
ternyata gagal mentadbir negeri-negeri yang dimenanginya pada pilihan raya umum
2008.
Najib berkata demikian
ketika berucap pada majlis pecah tanah Bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak
Negeri dan perasmian jambatan Inobong di Padang Pagansakan, Inobong, dekat
sini pada Sabtu.
Beliau berkata senjata
utama pembangkang hanya berpaksi kepada tiga perkara iaitu 'kutuk, hasut dan
janji'.
"Contohnya mereka
kutuk saya dan isteri, dalam lawatan ke Sabah baru-baru ini, menari Sumazau.
Pembangkang kutuk padahal kita menghormati kebudayaan (masyarakat
Kadazandusun).
"Mungkin saya tidak
sepakar dengan Tan Sri Pairin (Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) and Tan Sri
Dompok (Tan Sri Bernard Dompok) menari Sumazau....yang penting hati saya ini
menghormati kebudayaan (suku kaum) Sabah," katanya.
Najib juga menolak
tanggapan pembangkang bahawa lawatannya yang kerap ke Sabah iaitu sebanyak lima
kali tahun ini mempunyai kaitan dengan kerisauan keadaan politik di negeri ini.
Katanya kunjungannya ke
Sabah adalah untuk menepati janji dan memperkukuhkan komitmen bagi membela
nasib rakyat dan negeri itu.
"Seorang pemimpin
tahu merasai denyutan dan nadi rakyat dan kita mesti tahu apa aspriasi rakyat.
Kita tidak boleh jadi pemimpin besar kalau hanya petah bercakap seperti orang
jual ubat di tepi jalan," katanya.
"Ini sebab bila
kita umum BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) rakyat yakin kita akan bayar tahun
depan. Kita boleh buat pilihan raya bila-bila masa sahaja kerana rakyat dah
yakin janji kita tunai...kadang-kadang lambat sedikit tetapi lambat laun kita
akan laksanakannya," jelasnya.
Beliau turut menyarankan
agar satu kajian komprehensif dibuat bagi menentukan masa depan sistem
kehakiman anak negeri Sabah.
"Kita mahu sistem
ini dibangunkan dan diolah dengan baik supaya sistem mahkamah anak negeri ini
tidak dilihat sebagai 'ala kampung' sebaliknya kita mahu tingkatkan asas
keilmuan dan kedudukan.
"Jadi saya minta
yang pakar dalam bidang ini memberi pandangan dan cadangan agar sistem anak
negeri terus relevan pada masa akan datang," katanya.
Pada majlis itu, Najib
turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kivoupo,
pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Pagansakan dan penubuhan Pusat Permata di
Penampang. (Bernama)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan