Ahad, 28 Julai 2013

LOKASI SERANGAN BOM DI BALI JADI DAYA TARIKAN PELANCONG

Monumen bagi memperingati mangsa-mangsa korban serangan bom di Bali didirikan di lokasi kejadian di kawasan pusat hiburan berhampiran Pantai Kuta.

Peristiwa hitam tragedi pengeboman di Bali oleh pengganas pada 2002 di kawasan pusat hiburan berhampiran Pantai Kuta yang menjadi tumpuan pelancong asing diabadikan dalam sebuah monumen yang didirikan pemerintah di kawasan kejadian tersebut.

Monumen itu sebagai tanda memperingati tragedi yang berlaku pada bulan Oktober itu. Di situ dipaparkan nama-nama mangsa yang terkorban dalam serangan tersebut yang rata-ratanya membabitkan pelancong warga asing terutama dari Australia dan beberapa negara lain.

Sungguh pun kejadian itu menjadi titik hitam bagi sektor pelancongan di pulau yang menjadi destinasi pelancongan yang dianggap menakjubkan di dunia itu namun kehadiran pelancong asing ke sini tidak pernah putus-putus hingga sekarang.

Pantai Kuta sentiasa “hidup” siang dan malam. Monumen itu sedikitpun tidak mengimbau perasaan gerun dan kebimbangan malah ia sentiasa dikunjungi pelancong seolah-olah tidak ada peristiwa yang menyayat hati pernah berlaku di situ sebelum ini. Malah ia turut menjadi aset untuk industri pelancongan di sini.

Jalan menuju ke pintu gerbang masuk ke Pantai Kuta.

Bagi pelancong asing, Bali menyajikan kepada mereka pelbagai keistimewaan dari keindahan pantainya, hiburan, tempat-tempat yang menakjubkan selain nilai matawang yang sangat berbaloi bagi mereka untuk berkunjung ke sini.

Kalangan penggemar sukan papan luncur, pantai di Bali inilah yang mampu memenuhi kepuasan hobi mereka itu.

Selepas bersantai di pantai, melakukan aktiviti papan luncur di siang hari, di waktu malam aktiviti di pusat-pusat hiburan berhampiran ala barat sentiasa menanti kehadiran mereka.

Seorang sahabat saya yang berkahwin dengan wanita Palembang, Indonesia tetapi sudah berhijrah ke Melbourne, Australia menyatakan, pelancong dari negara kangaroo itu menjadikan Bali destinasi pelancongan mereka kerana kos ke pulau ini sangat murah bagi mereka.

Menurut Anthony, dengan perbelanjaan yang murah, mereka boleh berada di sini lebih lama dan menikmati kepuasan.

Malah katanya, kebanyakkan remaja terutama pelajar-pelajar sekolah menengah di Australia yang sedang menunggu keputusan peperiksaan mereka sanggup mencari hiburan di Bali kerana tidak memerlukan pembiayaan yang besar.

“Bayangkanlah jika pelajar pun mampu bercuti ke sini, bukan sesuatu yang menghairankan jika pelancong asing datang berpusu-pusu ke Bali,” kata Anthony.

Bagaimanapun kebanjiran pelancong asing ini menyebabkan Bali sentiasa terdedah kepada ancaman serangan pengganas. Namun pemeriksaan yang lebih ketat oleh pihak penguatkuasaan terutama di pintu-pintu masuk ke sini seperti di lapangan terbang serta kawasan pusat peranginan menyakinkan para pelancong untuk terus mengunjungi Bali.


Pantai Kuta yang sentiasa dibanjiri pelancong terletak tidak jauh dari lokasi serangan bom oleh pengganas pada 2002 yang mengorbankan ramai pelancong asing.

Sabtu, 27 Julai 2013

BALI, SYURGA BAGI PELANCONG ASING

Pelancong membanjiri Pantai Kuta.

Kali pertama menjejak kaki di Bali, sebuah pulau peranginan terkenal di Indonesia sememangnya menepati jangkaan saya sebelum ini kenapa ia menjadi destinasi pelancongan kegilaan ramai terutama pelancong asing.

Bali merupakan salah sebuah daripada 13,000 pulau di Indonesia dengan keluasan 5,780.06 kilometer persegi. Ia begitu terkenal sebagai pusat pelancongan yang indah dan budaya yang dinamik.

Mengikut bancian pada 2012, pulau yang dikenali dengan jolokan tanah dewa-dewa mempunyai penduduk 4,220.00 orang yang kebanyakkannya suku Bali dengan 89 peratus diikuti Jawa (tujuh peratus), Baliaga (satu peratus) dan Madura (satu peratus).
Pemandangan indah di Tanah Lot tidak sunyi dengan pengunjung.

Daripada jumlah penduduk tersebut, 83.5 peratus adalah beragama Hindu, Islam (13.3 peratus), Kristian (satu peratus) dan Buddha (satu peratus). Tidak hairanlah setiap tempat-tempat tumpuan pelancong di pulau ini mempunyai berhala Hindu, yang menjadi antara daya tarikan kepada pelancong.

Saya berpeluang mengunjungi beberapa tempat pelancongan yang setiap masa tidak sunyi dikunjungi pelancong khususnya dari luar negara terutama dari Australia, Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Korea Selatan, China selain pelancong tempatan dari Indonesia sendiri.

Antaranya Danau Beratan Bedugul, sebuah tasik di kawasan tanah tinggi yang hampir serupa dengan kawasan Cameron Highland di Malaysia. Uniknya di danau semulajadi ini menempatkan pura atau berhala Hindu. Berhampiran dengan danau itu juga terdapat sebuah masjid kerana kawasan ini menjadi satu-satunya tempat di Bali yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Di kawasan peranginan Uluwatu.

Menurut seorang kenalan, Regas yang juga berperanan sebagai pemandu pelancong yang membawa kami ke pusat peranginan itu, Bedugul berasal dari nama Beduk.

Perjalanan kami kemudiannya diteruskan ke Perlindungan Pura Tanah Lot, sebuah lagi kawasan pelancongan yang digilai pelancong. Kedua-dua tempat berkenaan, Bedugul dan Tanah Lot terletak di daerah Tabanan, perjalanan yang mengambil masa sejam lebih dari kawasan Kuta yang memiliki pantai indah yang sering dibanjiri pelancong.

Cultural Park yang terletak di Garuda Wisnu Kencana juga menjadi tumpuan ramai pelancong kerana di taman ini memiliki patung-patung besar Garuda dan Dewa serta kawasan bukit yang dipotong ditengahnya menjadikan pemandangan disekelilingnya sangat unik seumpama kejadian alam semulajadi. Selain itu di sini terdapat teater mini bagi pertunjukan dan persembahan tarian kebudayaan masyarakat Bali.

Selain itu, Puraluhur Uluwatu yang juga menempatkan berhala Hindu di pinggiran bukit tebing laut menyajikan pemandangan yang sangat menakjubkan dan ia sentiasa menambat hati pelancong untuk menikmati keunikannya. 

Di pintu masuk ke kawasan ini, pengunjung sentiasa diminta berwaspada kerana di sini terdapat monyet-monyet liar yang sering menganggu jika tidak diberikan makanan, biasanya buah-buahan disediakan oleh penjaga kawasan ini kepada pelancong bagi mengelak diganggu binatang tersebut termasuk "mencuri" barang-barang milik mereka.
Pemandangan di Danau Beratan Bedugul. 

Di Kuta, yang memiliki pantai indah menjadi kawasan santai bagi pelancong asing tidak kira siang dan malam. Boleh dikatakan setiap masa, pantai ini tidak sunyi dan ditambah pula di kawasan berhampiran dipenuhi dengan premis-premis hiburan yang menghidangkan persembahan pelbagi bentuk pada waktu malam. Ia sentiasa sesak dengan pengunjung tua dan muda. 

Kerana itu kawasan ini sentiasa terdedah kepada risiko. Pada oktober 2002, kawasan ini telah mencatat sejarah hitam apabila ia menjadi sasaran serangan bom oleh pengganas yang mengorbankan lebih 200 nyawa dan beratus-ratus lagi cedera.

Sebuah monumen telah didirikan di kawasan ini bagi memperingati tragedi itu dan anehnya monumen yang tersergam indah itu kini menjadi pula salah satu lagi daya tarikan pelancong. Seolah-olah apa juga peristiwa yang berlaku di sini, ia boleh menjadi aset pelancongan mungkin kerana pulau ini sudah sebati dengan gelaran destinasi pelancongan menakjubkan di dunia.
Sebelum memasuki kawasan pelancongan Uluwatu yang menempatkan temple Hindu, pengunjung yang berseluar pendek dikehendaki memakai kain yang disediakan manakala yang berseluar panjang hanya perlu memakai lilitan kain kuning dipinggang.
Pemandangan menakjubkan di kawasan peranginan Uluwatu.
Monyet-monyet liar ini sentiasa menanti kehadiran pelancong di pintu masuk kawasan peranginan Uluwatu. Binatang ini akan menganggu termasuk mencuri barang pelancong jika tidak diberikan makanan biasanya petugas disitu akan menyediakan buah-buahan untuk pelancong ketika memasuki kawasan ini.

Kawasan pelancongan di Tanah Lot, Bali ini antara lokasi yang sentiasa dikunjungi ramai pelancong asing.