Sabtu, 27 Julai 2013

BALI, SYURGA BAGI PELANCONG ASING

Pelancong membanjiri Pantai Kuta.

Kali pertama menjejak kaki di Bali, sebuah pulau peranginan terkenal di Indonesia sememangnya menepati jangkaan saya sebelum ini kenapa ia menjadi destinasi pelancongan kegilaan ramai terutama pelancong asing.

Bali merupakan salah sebuah daripada 13,000 pulau di Indonesia dengan keluasan 5,780.06 kilometer persegi. Ia begitu terkenal sebagai pusat pelancongan yang indah dan budaya yang dinamik.

Mengikut bancian pada 2012, pulau yang dikenali dengan jolokan tanah dewa-dewa mempunyai penduduk 4,220.00 orang yang kebanyakkannya suku Bali dengan 89 peratus diikuti Jawa (tujuh peratus), Baliaga (satu peratus) dan Madura (satu peratus).
Pemandangan indah di Tanah Lot tidak sunyi dengan pengunjung.

Daripada jumlah penduduk tersebut, 83.5 peratus adalah beragama Hindu, Islam (13.3 peratus), Kristian (satu peratus) dan Buddha (satu peratus). Tidak hairanlah setiap tempat-tempat tumpuan pelancong di pulau ini mempunyai berhala Hindu, yang menjadi antara daya tarikan kepada pelancong.

Saya berpeluang mengunjungi beberapa tempat pelancongan yang setiap masa tidak sunyi dikunjungi pelancong khususnya dari luar negara terutama dari Australia, Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Korea Selatan, China selain pelancong tempatan dari Indonesia sendiri.

Antaranya Danau Beratan Bedugul, sebuah tasik di kawasan tanah tinggi yang hampir serupa dengan kawasan Cameron Highland di Malaysia. Uniknya di danau semulajadi ini menempatkan pura atau berhala Hindu. Berhampiran dengan danau itu juga terdapat sebuah masjid kerana kawasan ini menjadi satu-satunya tempat di Bali yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Di kawasan peranginan Uluwatu.

Menurut seorang kenalan, Regas yang juga berperanan sebagai pemandu pelancong yang membawa kami ke pusat peranginan itu, Bedugul berasal dari nama Beduk.

Perjalanan kami kemudiannya diteruskan ke Perlindungan Pura Tanah Lot, sebuah lagi kawasan pelancongan yang digilai pelancong. Kedua-dua tempat berkenaan, Bedugul dan Tanah Lot terletak di daerah Tabanan, perjalanan yang mengambil masa sejam lebih dari kawasan Kuta yang memiliki pantai indah yang sering dibanjiri pelancong.

Cultural Park yang terletak di Garuda Wisnu Kencana juga menjadi tumpuan ramai pelancong kerana di taman ini memiliki patung-patung besar Garuda dan Dewa serta kawasan bukit yang dipotong ditengahnya menjadikan pemandangan disekelilingnya sangat unik seumpama kejadian alam semulajadi. Selain itu di sini terdapat teater mini bagi pertunjukan dan persembahan tarian kebudayaan masyarakat Bali.

Selain itu, Puraluhur Uluwatu yang juga menempatkan berhala Hindu di pinggiran bukit tebing laut menyajikan pemandangan yang sangat menakjubkan dan ia sentiasa menambat hati pelancong untuk menikmati keunikannya. 

Di pintu masuk ke kawasan ini, pengunjung sentiasa diminta berwaspada kerana di sini terdapat monyet-monyet liar yang sering menganggu jika tidak diberikan makanan, biasanya buah-buahan disediakan oleh penjaga kawasan ini kepada pelancong bagi mengelak diganggu binatang tersebut termasuk "mencuri" barang-barang milik mereka.
Pemandangan di Danau Beratan Bedugul. 

Di Kuta, yang memiliki pantai indah menjadi kawasan santai bagi pelancong asing tidak kira siang dan malam. Boleh dikatakan setiap masa, pantai ini tidak sunyi dan ditambah pula di kawasan berhampiran dipenuhi dengan premis-premis hiburan yang menghidangkan persembahan pelbagi bentuk pada waktu malam. Ia sentiasa sesak dengan pengunjung tua dan muda. 

Kerana itu kawasan ini sentiasa terdedah kepada risiko. Pada oktober 2002, kawasan ini telah mencatat sejarah hitam apabila ia menjadi sasaran serangan bom oleh pengganas yang mengorbankan lebih 200 nyawa dan beratus-ratus lagi cedera.

Sebuah monumen telah didirikan di kawasan ini bagi memperingati tragedi itu dan anehnya monumen yang tersergam indah itu kini menjadi pula salah satu lagi daya tarikan pelancong. Seolah-olah apa juga peristiwa yang berlaku di sini, ia boleh menjadi aset pelancongan mungkin kerana pulau ini sudah sebati dengan gelaran destinasi pelancongan menakjubkan di dunia.
Sebelum memasuki kawasan pelancongan Uluwatu yang menempatkan temple Hindu, pengunjung yang berseluar pendek dikehendaki memakai kain yang disediakan manakala yang berseluar panjang hanya perlu memakai lilitan kain kuning dipinggang.
Pemandangan menakjubkan di kawasan peranginan Uluwatu.
Monyet-monyet liar ini sentiasa menanti kehadiran pelancong di pintu masuk kawasan peranginan Uluwatu. Binatang ini akan menganggu termasuk mencuri barang pelancong jika tidak diberikan makanan biasanya petugas disitu akan menyediakan buah-buahan untuk pelancong ketika memasuki kawasan ini.

Kawasan pelancongan di Tanah Lot, Bali ini antara lokasi yang sentiasa dikunjungi ramai pelancong asing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan