Monumen bagi memperingati mangsa-mangsa korban serangan bom di Bali didirikan di lokasi kejadian di kawasan pusat hiburan berhampiran Pantai Kuta.
Peristiwa hitam tragedi pengeboman di Bali oleh pengganas
pada 2002 di kawasan pusat hiburan berhampiran Pantai Kuta yang menjadi tumpuan
pelancong asing diabadikan dalam sebuah monumen yang didirikan pemerintah di
kawasan kejadian tersebut.
Monumen itu sebagai tanda memperingati tragedi yang berlaku pada bulan Oktober itu. Di situ dipaparkan nama-nama mangsa yang terkorban
dalam serangan tersebut yang rata-ratanya membabitkan pelancong warga asing terutama
dari Australia dan beberapa negara lain.
Sungguh pun kejadian itu menjadi titik hitam bagi sektor
pelancongan di pulau yang menjadi destinasi pelancongan yang dianggap
menakjubkan di dunia itu namun kehadiran pelancong asing ke sini tidak pernah
putus-putus hingga sekarang.
Pantai Kuta sentiasa “hidup” siang dan malam. Monumen itu
sedikitpun tidak mengimbau perasaan gerun dan kebimbangan malah ia sentiasa
dikunjungi pelancong seolah-olah tidak ada peristiwa yang menyayat hati pernah
berlaku di situ sebelum ini. Malah ia turut menjadi aset untuk industri
pelancongan di sini.
Jalan menuju ke pintu gerbang masuk ke Pantai Kuta.
Bagi pelancong asing, Bali menyajikan kepada mereka
pelbagai keistimewaan dari keindahan pantainya, hiburan, tempat-tempat yang
menakjubkan selain nilai matawang yang sangat berbaloi bagi mereka untuk
berkunjung ke sini.
Kalangan penggemar sukan papan luncur, pantai di Bali
inilah yang mampu memenuhi kepuasan hobi mereka itu.
Selepas bersantai di pantai, melakukan aktiviti papan
luncur di siang hari, di waktu malam aktiviti di pusat-pusat hiburan berhampiran ala
barat sentiasa menanti kehadiran mereka.
Seorang sahabat saya yang berkahwin dengan wanita
Palembang, Indonesia tetapi sudah berhijrah ke Melbourne, Australia menyatakan,
pelancong dari negara kangaroo itu menjadikan Bali destinasi pelancongan mereka
kerana kos ke pulau ini sangat murah bagi mereka.
Menurut Anthony, dengan perbelanjaan yang murah, mereka
boleh berada di sini lebih lama dan menikmati kepuasan.
Malah katanya, kebanyakkan remaja terutama
pelajar-pelajar sekolah menengah di Australia yang sedang menunggu keputusan peperiksaan
mereka sanggup mencari hiburan di Bali kerana tidak memerlukan pembiayaan yang
besar.
“Bayangkanlah jika pelajar pun mampu bercuti ke sini,
bukan sesuatu yang menghairankan jika pelancong asing datang berpusu-pusu ke
Bali,” kata Anthony.
Bagaimanapun kebanjiran pelancong asing ini menyebabkan
Bali sentiasa terdedah kepada ancaman serangan pengganas. Namun pemeriksaan
yang lebih ketat oleh pihak penguatkuasaan terutama di pintu-pintu masuk ke
sini seperti di lapangan terbang serta kawasan pusat peranginan menyakinkan
para pelancong untuk terus mengunjungi Bali.
Pantai Kuta yang sentiasa dibanjiri pelancong terletak tidak jauh dari lokasi serangan bom oleh pengganas pada 2002 yang mengorbankan ramai pelancong asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan