Bersama ADUN Kuala Penyu, Limus Jury (tengah) dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih (kanan).
Lokman (kiri) bersama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi (tengah) di Dewan Undangan Negeri Sabah.
KUALA PENYU: Naib Ketua
Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim menyokong gesaan supaya pihak kerajaan mengambil
langkah serius untuk menangani masalah bekalan air di Kuala Penyu dan Menumbok
yang sudah berlarutan berdekad lamanya.
Beliau berkata, gesaan
yang dibuat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Limus Jury di
Dewan Undangan Negeri kelmarin wajar mendapat perhatian serius kerajaan dan
berusaha mengambil pendekatan komprehensif untuk menyelesaikan masalah
tersebut.
"Sejak dari dahulu
lagi, malah sebelum pilihan raya umum baru-baru dan selepas pilihan raya, isu
air terus menjadi rungutan penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok. Justeru, kita
mahu kerajaan memfokuskan usaha untuk menanganinya dengan serius," katanya
ketika ditemui di sini.
Lokman yang juga Anggota
Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort, berkata warga Kuala Penyu
sudah tidak larat lagi untuk menanggung keperitan mengenai masalah ketiadaan
air bersih yang mereka alami berdekad-dekad lamanya.
"Mereka meluahkan
suara hati mereka melalui pelbagai cara termasuk mengadu kepada wakil rakyat,
kepimpinan BN, pegawai kerajaan berkaitan malah melalui laman sosial seperti
facebook. Sudah tiba masanya pihak kerajaan memberi tumpuan untuk menyelesaikan
masalah ini secara tuntas," ujarnya.
Beliau bersetuju dengan
Adun Kuala Penyu bahawa walaupun masalah air ini mengecewakan rakyat di Kuala
Penyu dan Menumbok namun mereka masih lagi memberi kemenangan kepada BN di
kawasan berkenaan pada pilihan raya umum lepas.
Katanya, kedua-dua
kerusi iaitu Parlimen Beaufort dan DUN Kuala Penyu berjaya dipertahankan oleh
BN meskipun terpaksa bergelut dengan isu air ini.
"Kita wajar
berterima kasih dengan sokongan yang diberikan rakyat dan sebagai
menghargainya, kerajaan harus membantu menyelesaikan masalah yang menjejaskan
kehidupan harian mereka," katanya.
Sehubungan itu, beliau
juga berharap bahawa peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Naijib Tun Razak bagi membiayai pembinaan loji air baru di Beaufort yang
bernilai RM226 juta sebelum ini dapat dilaksanakan kerana ia dijangka dapat
menyelesaikan masalah bekalan air termasuk di Kuala Penyu dan Menumbok.
Menurutnya, jika masalah
air ini dapat di atasi, ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat tetapi
juga dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi daerah kerana ia berupaya
menarik minat pelabur untuk menerokai bidang-bidang yang berpotensi seperti
sektor pelancongan dan industri berasaskan perikanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan