Khamis, 25 Disember 2014

BERI PENDEDAHAN PEMAIN REMAJA BERBAKAT - MOHD NOOR

KOTA KINABALU: Seorang jurulatih pasukan Sabah, Mohd Noor Abdullah berpendapat pemain-pemain remaja berbakat di negeri ini wajar terus digilap potensi mereka dan diberi pendedahan seluas-luasnya bagi membolehkan mereka meningkatkan kualiti permainan dalam bola sepak. 

Katanya, pada masa yang sama, Persatuan Bola sepak Sabah (Sabah FA)  juga perlu mengenal pasti pemain-pemain berbakat ini supaya mereka mendapat latihan yang sempurna. 

"Kita mendapati ramai bakat-bakat baru dan mereka ini memerlukan bimbingan untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat yang sedia ada," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pemain-pemain pasukan Sabah 2015 di Padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, baru-baru ini. 
Mohd Noor yang lebih dikenali dengan panggilan coach Francis (gambar atas) merupakan jurulatih penjaga gol skuad Sabah bagi musim 2014-2015. 

Beliau bersama pemain import Sabah dari Brazil, Andrezinho Esposito meluang masa untuk menunjuk ajar tiga pemain remaja Sabah, Mohd Hizaz Lokman, 14, Radzee S.A Ramli, 13, dan Enel Tan, 13, teknik dan taktik permainan bola sepak. 

Hizaz dan Radzee merupakan pelajar SMK Mutiara Impian, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang manakala Enel Tan merupakan rakan mereka dalam pasukan TABS Safa Bandaraya yang mendapat tawaran untuk menyertai Akademi bolasepak VfL Wolfsburg bawah 15 tahun, sebuah kelab divisyen satu dalam Bundesliga di Jerman. 

Hizaz dan Radzee merupakan anggota pasukan bawah 14 SSN Pulau Pinang yang menjuarai Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2014, naib juara Piala KPM dan naib juara Piala Sumbangsih. Mereka balik ke Sabah sempena cuti persekolahan dan meneruskan latihan pada cuti sekolah bersama TABS Safa Bandaraya di bawah pengawasan ketua jurulatih, Matasan Ahmad. 
TUNJUK AJAR...Andrezinho menyatakan sesuatu kepada Hizaz, Radzee dan Enel. Turut kelihatan jurulatih Mohd Noor (dua dari kiri). 

Mohd Noor berkata, bakat-bakat baru yang berpotensi ini perlu mendapat latihan dan bimbingan berterusan kerana mereka ini merupakan aset kepada Persatuan Bolasepak Sabah pada masa hadapan. 

"Saya dapati tiga pemain remaja ini sungguh berbakat dan mereka ini memiliki ciri-ciri pemain yang boleh pergi jauh dan sebagai bukti kelab utama di Jerman boleh nampak bakat seorang pemain ini. Kita patut lebih dahulu menyedari pemain-pemain remaja yang berbakat dan meletakkan mereka di bawah jurulatih yang berpengalaman," katanya yang sudah memaklumkan pemain-pemain ini kepada pegawai atasan Sabah FA untuk diberi perhatian selanjutnya. 

Sementara itu, pemain import dari Brazil, Andrezinho berkata, pemain-pemain remaja terbabit boleh terus meningkatkan kualiti permainan mereka memandangkan mereka sudah mempunyai kemahiran yang sedia ada. 

"Mereka hanya perlukan bimbingan jurulatih bagaimana mereka boleh bermain dengan bagus dan memahami permainan bolasepak secara profesional". 

"Dengan mendapat pengetahuan yang mendalam dan memiliki minda yang profesional, mereka boleh pergi jauh bukan sekadar boleh bermain di Malaysia," katanya sambil menekankan bahawa faktor pemakanan juga penting bagi seseorang pemain.

Ahad, 16 November 2014

BEKAS PEMAIN NEGERI SYOR JAMES WONG DAN HASSAN DILIBATKAN DALAM MEMILIH PEMAIN

Bekas pemain pertahanan Sabah, Rosman Majid (gambar) mengesyorkan Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) memberi peluang kepada dua bekas pemain legenda negara, James Wong dan Hassan Sani terbabit dalam jawatankuasa pemilihan badan itu bagi memilih pemain-pemain tempatan untuk mewakili pasukan negeri menghadapi kejohanan besar seperti Liga Malaysia.

Menurutnya, pengalaman yang dimiliki kedua-dua bintang itu boleh membantu Sabah mendapatkan khidmat pemain yang baik dan sesuai untuk pasukan.

"Pada saya, James dan Hassan perlu diberi peluang oleh Safa untuk menjadi anggota jawatankuasa pemilihan dalam usaha mencari pemain-pemain yang berbakat sekali gus mampu mengembalikan era kegemilangan bola sepak di negeri ini," katanya.
James Wong (dua dari kanan) dan Hassan Sani (kiri sekali) bersama dua bekas pemain kebangsaan, Soh Chin Aun (kanan sekali) dan Santokh Singh.
 
Rosman yang pernah beraksi bersama kedua-dua pemain kebangsaan tersebut dalam skuad Sabah pada tahun 80-an mengakui James dan Hassan adalah gandingan yang terbaik dalam skuad Sabah dan kebangsaan di era mereka.

Katanya, sehingga kini Sabah belum memiliki pemain yang sehebat mereka dan ketiadaan mereka memang sukar dicari ganti.

"James dan Hassan adalah antara pemain terbaik yang pernah dimiliki oleh Sabah dan skuad kebangsaan," kata Rosman dalam satu interviu eksklusif baru-baru ini.

Sehubungan itu, bekas pemain pertahanan lasak berasal dari Sandakan itu berkata, "adalah satu kerugian jika kita tidak menggunakan khidmat mereka dalam merekrut pemain dan seterusnya membantu perancangan pasukan negeri.

Katanya, Safa mungkin boleh memikirkan pandangannya itu dan mempunyai kesediaan memberi ruang kepada kedua-dua pemain legenda itu membantu Sabah mendapatkan pemain yang berbakat untuk diserapkan dalam pasukan negeri.

"Saya percaya mereka (James dan Hassan) boleh menimbang pembabitan mereka dalam jawatankuasa pemilihan sekiranya mereka diminta berbuat demikian oleh Safa," ujarnya.

Rosman berkata, beliau berani memberi pandangan sedemikian kerana sedar bahawa kedua-dua bekas pemain antarabangsa itu mempunyai kelebihan dan sudah tentu mereka tahu menilai pemain yang benar-benar layak untuk dipilih mengangggotai pasukan.

"Sudah tiba masanya kita mesti berani melakukan sesuatu perubahan dan tindakan demi masa depan bola sepak Sabah yang amat dirindui oleh para penyokong," tegasnya.

Selasa, 28 Oktober 2014

DUGAAN KUATKAN SEMANGAT SSN P. PINANG HADAPI FINAL PIALA KPM

TABAH...barisan pemain SSN Pulau Pinang tabah hadapi dugaan untuk beraksi di final.

Bermacam-macam dugaan terpaksa ditempuhi pasukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak Piala KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) Bawah 14 Tahun.

Pasukan mereka tidak mempunyai latihan yang cukup apabila bertemu SSN Terengganu di final di Stadium Negeri Terengganu pada hari Rabu ini kerana mereka baru sahaja menghadapi perlawanan separuh akhir kedua pada Ahad lepas, Mereka hanya mempunyai masa lebih kurang sehari.

Mereka terpaksa bergegas balik ke Pulau Pinang dan hanya tiba hampir tengah hari pada Isnin selepas bas yang membawa pemain-pemain mengalami kerosakan dalam perjalanan di Perak. Selepas berehat beberapa jam sahaja setibanya di pulau mutiara itu, mereka terpaksa bergerak lagi ke Terengganu, negeri yang menjadi tuan rumah perlawanan akhir.

Beberapa jam sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Terengganu, tiba-tiba menerima berita bahawa ketua jurulatih pasukan, Rakhie Mat Saad terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Keadaan motorsikal yang ditunggangnya rosak dan dia mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang. Dia dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan dia dilaporkan hanya sedarkan diri beberapa jam selepas menjalani rawatan di wad tersebut.

Keadaan motorsikal Rakhi yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kita doakan ketua jurulatih, Rakhie segera pulih dan dapat kembali bersama anak-anak buahnya kerana dia adalah antara individu menjadi inspirasi mereka untuk memastikan kejayaan menjuarai Liga Super 2014 dan kini dalam misi pemburuan untuk merangkul Piala KPM 2014.

Dugaan ini mungkin ada hikmahnya, hanya Allah mengetahui segala-galanya.

Dengan ketiadaan Rakhie bersama pasukan, penolongnya jurulatih Mohd Fakhri Sobri akan menggalas tanggungjawab untuk menghadapi perlawanan akhir dengan SSN Terengganu yang dilihat memiliki kelebihan kerana bermain di gelanggang sendiri.

Namun begitu bak kata orang; bola itu bulat, apa juga boleh berlaku.

Dengan segala kerumitan yang dilalui SSN Pulau Pinang ini, mungkin ia akan menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain mereka untuk melakukan yang terbaik sekali gus merealisasikan impian mereka untuk meraih kejuaraan berganda.

Tugas berat menanti jurulatih Fakhri tetapi semua ini juga sudah tentu akan melonjak semangat pemain-pemain untuk membuktikan keupayaan sebenar mereka untuk memenangi perlawanan akhir dan menghadiahkan Piala KPM kepada ketua jurulatih mereka yang kini masih terlantar di hospital.

Selamat berjuang di perlawanan akhir dan diharapkan pemain-pemain SSN Pulau Pinang mampu mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi dalam pasukan dan memastikan perlawanan akhir ini memihak mereka.
TENANGKAN MINDA...penyerang SSN Pulau Pinang, Hizaz menenangkan minda di pantai Teluk Ketapang, Terengganu sebelum menghadapi perlawanan akhir.

Menurut Ketua jurulatih bolasepak KPM, Norafendi Mohd Taib, venue perlawanan akhir liga itu ditentukan menerusi undian yang dilakukan sebelum ini.

Berdasarkan undian itu, Perlis dan Terengganu akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir dan oleh kerana Terengganu berjaya mara ke perlawanan akhir maka dengan sendirinya negeri itu menjadi tuan rumah.

Keputusan itu awal-awal lagi sebenarnya tidak memberi ruang kepada SSN Pulau Pinang untuk menjadi gelanggang final Piala KPM.

Ekoran itu, SSN Pulau Pinang tidak mempunyai pilihan selain akur dengan keputusan tersebut namun tidak pula menjangka bahawa tarikh perlawanan akhir dilangsungkan dalam masa yang begitu singkat.

Apa pun itu adalah sebahagian cabaran dan dugaan yang terpaksa diterima pasukan pelawat yang sesungguhnya membangkitkan semangat membara mereka untuk berjuang dengan mengerah segala kudrat di pentas final.







 

Isnin, 20 Oktober 2014

EMPURAU, IKAN SUNGAI TERMAHAL DI DUNIA

Pakar ikan sungai, James Wong (dua dari kiri) bersama YB Limus Jury menunjukkan ikan empurau yang baru diambil dari sangkar di Sungai Manong, Perak.

Siapa sangka ikan sungai sangat bernilai dan menjadi ikan yang paling mahal di dunia. Tetapi itulah realitinya. Ikan Empurau yang asalnya dari Sungai Rajang di Sarawak kini dianggap ikan yang termahal dan paling diminati pelanggan terutama golongan berada.

Ikan empurau kini bukan sahaja diternak di kawasan asalnya di Sarawak tetapi sekarang boleh didapati diternak secara meluas di Projek Ternakan Ikan Sungai dalam sangkar di Manong, Kuala Kangsar, Perak.

Pusat ternakan ikan dalam sangkar itu dimiliki usahawan dari Sibu, Sarawak, James Wong yang juga digelar sebagai "Pakar Ikan Sungai di Malaysia."

Ikan empurau sangat terkenal dengan kebolehannya berenang pantas di kalangan ikan-ikan sungai yang ada di negara ini.

Ikan ini gemar hidup dalam keadaan sungai yang bersih terutama di sungai-sungai di kawasan pedalaman dan pergunungan.

Jika air sungai tempat pembiakannya dicemari, ikan empurau akan meninggalkan tempat itu dan berhijrah ke kawasan sungai yang airnya lebih bersih.

Keistimewaan isi ikan empurau amat lembut dan apabila dimakan, sejenis haruman buah dapat dihidu kerana makanan ikan ini ialah buah-buahan liar seperti "pritimera cambodiana".


Ikan empurau sudah menembusi pasaran antarabangsa, bukti ikan sungai sangat bernilai.

Menurut James Wong, ikan empurau kini sangat diminati pelanggan walaupun harganya mahal iaitu RM1,000 sekilo.

Katanya, ikan ini boleh didapati di beberapa restoran di ibu negara dan kebanyakkan pelanggan yang meminatinya ialah golongan yang berada.

Pakar ikan sungai ini yang telah menerokai pelbagai sungai di pedalaman dan pergunungan negara ini memberitahu, ikan empurau pada tahun pertama diternak hanya boleh mencapai berat 4.5 gram namun pada tahun kedua, ia boleh mencapai berat satu atau dua kilo. Selepas itu pada tahun berikutnya, berat ikan ini boleh mencecah sehingga tiga ke lima kilo.

Katanya, cara ikan empurau dimasak adalah sebaik-baiknya dikukus kerana kehalusan isi dan keharumannya. Sisiknya pula digoreng dan dihidangkan sebagai snek yang sedap.

James yang kini mempunyai tiga pusat penternakan ikan sungai di negara ini berkata, latar belakang kehidupannya di zaman kanak-kanak yang gemar pergi memancing dan menangkap ikan banyak mendorong minat untuk mengusaha dan mempopularkan ikan-ikan sungai di Malaysia.

Melalui kegigihannya mempromosikan ikan-ikan sungai ini, beliau berjaya menjadikan ikan-ikan sungai sebagai satu trend pemakanan ikan bukan sahaja digemari di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Katanya, ikan empurau sangat diminati oleh pelanggan di Singapura, Hong Kong, Macau, China dan sebagainya.

"Ikan empurau sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri malah menjadi bualan hangat orang ramai dan media," ujar James.
Pusat penternakan ikan sungai dalam sangkar di Sungai Manong, Perak dimiliki James Wong mampu memenuhi pasaran tempatan dan luar negara.


Ahad, 19 Oktober 2014

UPKO PERLU SELARI SUASANA POLITIK BARU


Tan Sri Bernard Dompok (tengah) bersama Datuk Dr. Ewon Ebin (tiga dari kiri) dan YB Limus Jury (dua dari kiri).

Ahli Majlis Tertinggi Upko, Limus Jury menyarankan agar kepimpinan tertinggi parti itu menjadikan usaha memperkasakan parti sebagai agenda penting bagi membolehkannya sentiasa relevan dan selari dengan suasana politik baru.

Katanya, beliau yakin barisan kepimpinan Upko sentiasa mengambil kira perkara tersebut selain memiliki iltizam dan kesungguhan untuk mengukuhkan sumber ekonomi parti.

"Dengan suasana politik baru seiring aliran pemikiran golongan muda masa kini menuntut Upko bukan sahaja bersifat pro-aktif, lantang bersuara tetapi juga mempunyai asas kekuatan ekonomi yang mampu mengangkat martabat parti serta membolehkannya teguh berdiri," katanya ketika berucap pada Konvensyen Zon D yang membabitkan bahagian Beaufort, Kimanis dan Papar di Dewan Shahbandar Makang di sini, Sabtu lepas.

Konvensyen sehari itu dirasmikan Presiden Kehormat Upko, Tan Sri Bernard Dompok. Pemangku Presiden, Datuk Wilfred Madius Tangau tidak menghadiri majlis itu kerana berada di Perak untuk merasmikan konvensyen serupa di negeri itu.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Ewon Ebin.

Limus yang juga Ketua Bahagian Upko Beaufort dan Adun kawasan Kuala Penyu, berkata dengan memiliki kekuatan, Upko sudah tentu mampu mendepani setiap kemelut, gelombang dan badai politik yang lazimnya tidak mengira waktu dan ketika.

Sambil menyatakan bahawa pandangannya adalah ikhlas dan berharap tiada pihak yang menyalahtafsir, beliau menegaskan, "sejujurnya niat di hati saya mahu melihat Upko dapat diperkasakan dan dihormati parti-parti lain dalam Barisan Nasional."

"Kita mahu Upko menjadi parti yang menyumbang dan bukan beban kepada Barisan Nasional dan kerajaan," katanya.

Menurut beliau, sejak 1994, parti itu telah melalui banyak ranjau dan duri dalam perjuangan. Namun dengan kebijaksanaan, komitmen serta titisan keringat yang dicurahkan kepimpinan terdahulu berupaya menyerlahkan Upko di persada politik nasional hingga ke hari ini.

Justeru, beliau mengajak pemimpin dan ahli-ahli Upko meneruskan perjuangan dengan semangat membara agar parti itu menjadi payung untuk membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.
Sebahagian peserta yang menghadiri Konvensyen Upko Zon D babitkan bahagian Beaufort, Kimanis dan Papar.

Berikut teks penuh ucapan beliau;


Selamat pagi, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua perwakilan dan pemerhati ke konvensyen melibatkan gabungan tiga bahagian iaitu Beaufort, Kimanis dan Papar pada pagi ini.

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih terutama sekali kepada Presiden Kehormat parti kita, YBhg Tan Sri Bernard Dompok kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kita pada pagi ini dan seterusnya sudi menyempurnakan perasmian konvensyen ini.

Kita sedar dan percaya bahawa YBhg Tan Sri sentiasa sibuk dengan rutin harian beliau namun kita sungguh berasa terharu dan gembira kerana beliau dapat juga mengisi ruang bagi memenuhi undangan untuk melakukan perasmian majlis kita pada hari ini.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada YBgh Tan Sri walaupun sepatutnya Tan Sri berada di sebalik tadbir Upko selepas peralihan kepimpinan parti tetapi kerana  semangat dan komitmen tinggi  beliau terhadap parti ini maka ternyata tiada halangan bagi beliau untuk bersama-sama dengan kita pada hari ini berhimpun di Dewan Shahbandar Makang ini.



Para perwakilan dan pemerhati sekalian, 

Sesungguhnya jasa dan sumbangan YBhg Tan Sri selepas sekian lama menerajui kepimpinan Upko sebelum mengambil keputusan untuk menyerahkan teraju kepimpinan parti kepada Pemangku Presiden, YB Datuk Wilfred Madius Tangau begitu banyak sekali sehingga membolehkan Upko bukan sahaja mampu bertahan sehingga kini malah turut menabur jasa bakti dan sumbangan bukan sahaja kepada ahli-ahli Upko malah kepada rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Lebih daripada itu, kita juga mengingati bahawa YBhg Tan Sri juga telah menjalankan perkhidmatan yang amat cemerlang semasa menjadi anggota kabinet dalam kerajaan dan ini secara tidak langsung menjadikan parti Upko sentiasa diberi peranan bersama dengan rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional khususnya dalam menangani isu-isu dan permasalahan yang membabitkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam hubungan ini, sesungguhnya adalah menjadi tanggungjawab besar kepada kita semua termasuk pemimpin, seluruh ahli dan penyokong Upko untuk meneruskan perjuangan parti  yang murni ini.

Sebagai pendokong dalam parti, kitalah yang akan menentukan hala tuju parti ini mulai saat ini dan seterusnya. Setelah landasan yang kukuh disediakan oleh kepimpinan terdahulu, maka kitalah yang akan memastikan kesinambungan parti ini supaya terus relevan dan terus berkhidmat serta melakukan yang terbaik kepada rakyat.



Sidang hadirin sekalian, 

Oleh kerana itu, saya suka menarik perhatian di sini bahawa sudah tiba masanya semua kita di dalam parti ini baik pemimpin di semua peringkat mahu pun ahli-ahli dan penyokong di peringkat akar umbi seharusnya melupakan sebarang pergeseran dan salah faham semasa pemilihan kepimpinan tertinggi parti sebelum ini.

Kita harus berusaha mengikis segala perasaan dalam hati yang boleh mengundang elemen perpecahan sesama kita di dalam parti. Apa yang sangat penting ialah kita seharusnya menyemai perasaan harmoni untuk bersama-sama berganding bahu demi memperkasakan Upko dalam apa juga keadaan sekalipun. Ini menjadi satu tuntutan kepada kita semua untuk mengembalikan semangat “misompuru” dalam suasana yang positif dan mesra.

Saya percaya dan penuh yakin bahawa semua peringkat kepimpinan serta seluruh ahli-ahli dan penyokong parti dari segenap pelusuk mampu melupakan sebarang persaingan ketika kempen pemilihan yang lalu.

Marilah kita sama-sama melangkah ke era baru dengan satu tekad dan semangat baru untuk penyatuan tulin di dalam parti yang kita sayangi ini. Yang berlalu biarlah berlalu, bak kata orang; “barang yang lepas janganlah dikenang”. Sebaliknya kita harus terus bergerak ke hadapan dan memastikan kita semua kembali bersatu dengan membulatkan tekad untuk memastikan kekuatan parti.

Sebagai sebuah parti yang telah sekian lama, kita sama-sama perjuangkan, kita harus meletakkan Upko ini di tempat yang sewajarnya, mengatasi segala perasaan remeh-temeh yang boleh membawa perpecahan sesama kita.

Penyatuan ini dengan diiringi rasa keikhlasan sejati akan menjadi asas kita untuk terus memperkasakan parti agar sentiasa relevan dan mampu mendepani segala cabaran dan dugaan yang datang.

Selain daripada landasan penyatuan ini, saya juga percaya bahawa Upko harus berani melakukan transformasi terutama dari segi pendekatan agar bersifat lebih sederhana dan pada masa yang sama perlu berani meneroka peluang-peluang yang dapat mengukuh sumber ekonomi parti.

Pendekatan yang sesuai dan kesederhanaan dalam setiap tindakan bukan bermaksud kita harus menjadi “pak turut” atau rela menjadi “yes man” sahaja, tetapi ia sekurang-kurangnya memudahkan parti memainkan peranannya menyampaikan segala kekurangan dan keperluan parti di samping masalah- masalah rakyat sama ada di peringkat kerajaan negeri mahu pun di peringkat kerajaan pusat berlandaskan prinsip menang-menang.



Para perwakilan yang dihormati sekalian, 

Untuk membolehkan parti Upko sentiasa relevan dengan suasana politik baru, mahu tidak mahu hakikatnya kita juga perlu mempunyai kekuatan ekonomi bagi kelancaran pengurusan dan pentadbiran parti di semua peringkat.

Sebab itu, saya berpandangan bahawa parti juga harus mengambil kira dan memberi keutamaan untuk mencari sumber kewangan yang kukuh untuk membolehkan Upko dapat terus bertahan malah dapat berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan lain dalam komponen Barisan Nasional.

Barisan kepimpinan tertinggi parti, saya percaya sentiasa memikirkan hal ini sebagai satu agenda yang penting di samping memiliki iltizam dan kesungguhan untuk meneroka serta mencari peluang-peluang yang mampu menghasilkan sumber ekonomi kepada parti.

Saya melihat bahawa semangat penyatuan yang jitu dalam kalangan pemimpin, ahli-ahli dan penyokong serta pengukuhan sumber ekonomi dalam parti menjadi dua faktor utama yang mampu memastikan kekuatan dan hala tuju parti ini pada masa akan datang.

Dengan suasana politik baru seiiring dengan aliran pemikiran golongan muda dan lanskap politik yang berlaku dalam negara sekarang sebenarnya menuntut parti Upko selain daripada parti-parti lain juga, bukan sahaja bersifat lebih pro-aktif, lantang bersuara, relevan tetapi juga mempunyai asas kekuatan ekonomi untuk membolehkan ia teguh berdiri dan seterusnya memacu wadah perjuangan yang dicanang selama ini.

Ini semua akan menjadikan Upko sentiasa memiliki kekuatan yang berupaya mendepani setiap kemelut, gelombang dan badai politik yang lazimnya tidak mengira waktu dan ketika. Inilah realitinya, kita harus ada keupayaan dalam mengharungi iklim politik baru yang berpaksikan aspirasi generasi muda masa kini.

Tidak setakat itu sahaja, dengan mempunyai kedudukan ekonomi yang baik dan kukuh, sesebuah parti sudah tentu akan mampu ditadbir urus dengan berkesan di semua peringkat baik di peringkat pusat, bahagian-bahagian mahu pun cawangan. Ini dengan sendirinya sudah tentu akan menambah keyakinan dan semangat kepada ahli-ahli serta penyokong di peringkat akar umbi yang menjadi tunjang kepada kekuatan parti.

Pada masa yang sama, ini juga akan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh bahagian-bahagian sekali gus merangsang mereka untuk bekerja lebih kuat dan selesa kepada parti.



Tuan-tuan danpuan-puan yang dihormati sekalian, 

Pandangan yang saya ilhamkan pada konvensyen kita pada pagi ini, adalah ikhlas dan saya berharap tidak ada pihak yang menyalah-tafsirkannya. Sejujurnya niat dalam hati saya ialah mahu melihat Upko ini dapat diperkasakan dan pada masa yang sama dihormati oleh parti-parti lain dalam Barisan Nasional.

Kita mahu Upko ini menjadi  “parti yang menyumbang” dan bukannya “beban” kepada Barisan Nasional dan kerajaan. Sesungguhnya dengan pengalaman yang ada dalam kalangan barisan kepimpinan dalam parti ketika ini adalah tidak mustahil, semua usaha dan tenaga pasti dapat digemblengkan ke arah impian untuk memperkasakan survival parti boleh dilaksanakan dengan jayanya.

Sejarah telah membuktikan bahawa parti ini yang asal penubuhannya pada tahun 1994 dikenali sebagai Parti Demokraktik Sabah atau singkatannya PDS dan kemudian dijenamakan semula dengan nama Upko telah melalui banyak ranjau dan duri dalam perjuangannya. Namun begitu dengan kebijaksanaan, komitmen serta titisan keringat yang dicurahkan barisan kepimpinan terdahulu berupaya menyerlahkan Upko dalam persada politik nasional hingga ke hari ini.

Justeru, ayuh..., saya mengajak saudara-saudari sekalian, marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan ini dengan semangat membara agar Upko menjadi payung kepada kita untuk mempertahan dan membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.



Sidang hadirin sekalian, 

Konvensyen kita pagi ini yang melibatkan gabungan tiga bahagian, Beaufort, Kimanis dan Papar boleh menjadi landasan terbaik kepada pemimpin dan ahli-ahli untuk bermuhasabah, menyemak semula dan memperbaiki diri, memangkin iltizam, berusaha merungkai setiap kemelut serta menjadi perintis jalan ke arah penyatuan di samping memastikan hala tuju parti berada di landasan yang betul.

Kita juga amat mengharapkan percambahan buah fikiran disertai dengan idea dan input-input baru menerusi konvensyen ini mampu merealisasikan usaha memperkasakan survival Upko dari sekarang dan seterusnya.

Sebagai kesimpulan, kekuatan dan masa hadapan parti kita ini, semua bergantung atas kesungguhan, komitmen serta kebijaksanaan kita semua selaku nadi penggerak dan pendokong utama parti untuk menempatkannya di tengah-tengah puncak perjuangan yang sebenar.

Sebelum menutup tirai bicara, saya akhiri dengan dua buah pantun; 

Dari kota ke pergunungan

Bawa keladi buat bekalan

Kata-kata saya sekadar pandangan

Jika baik jadikan panduan





Meluahkan rasa di dalam kad

Tanda rindu bukan kepalang

Satukan hati bulatkan tekad

Barulah Upko tambah gemilang 

Sekian dan terima kasih.














Sabtu, 29 Mac 2014

PEMAIN PERLU BERDISIPLIN JIKA MAHU BERJAYA - HASSAN SANI



Hassan bergambar bersama Mohd Hizaz (kanan) dan Radzee.

KOTA KINABALU: Bekas pemain legenda Malaysia, Hassan Sani menekankan bahawa disiplin dan bermain dengan semangat berpasukan sangat penting bagi seseorang pemain untuk pergi lebih jauh.

Katanya, aspek ini sangat mustahak dimiliki seseorang pemain baru  jika dia mahu berjaya sebagai seorang pemain yang disegani dan mampu bertahan lebih lama.

“Pada saya, disiplin serta menghargai rakan-rakan dalam pasukan membolehkan seseorang pemain dapat terus meningkatkan kualiti permainan selain dapat beraksi dengan lebih efektif.”

“Kita harus menghargai kerjasama dan sumbangan rakan-rakan dalam pasukan kerana tanpa mereka kita tidak boleh bermain dengan baik dan mampu mengukir nama,” katanya.


Hassan memberi tips kepada Hizaz dan Radzee bagaimana untuk menjadi pemain yang digeruni.

Hassan, 56, yang menerima jolokan pemain “lipas kudung” menyatakan ini ketika memberi tips kepada dua pemain remaja Sabah, Mohd Hizaz Lokman dan Radzee S.A Ramli yang ketika ini bersama pasukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian menghadapi Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2014.

Kedua-dua pelajar itu sedang menghabiskan cuti sekolah seminggu mereka di Kota Kinabalu dan berpeluang bertemu dengan bekas pemain Malaysia itu.

Hassan berkata, dia mewakili pasukan Sabah selama 15 tahun sejak 1970-an dan bermain untuk skuad negara selama lapan tahun bersama-sama pemain ternama lain seperti allahyarham Mokhtar Dahari, James Wong, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Shukor Salleh.

Dia juga mengingatkan pemain-pemain muda supaya sentiasa menjaga imej dan maruah pasukan serta mengelak terbabit dalam perkara-perkara negatif.

Katanya, ini penting bagi memastikan kredibeliti seseorang pemain sentiasa terjaga dan sentiasa diingati penyokong.

“Dulu rata-rata pemain sentiasa dikenang penyokong kerana nama mereka sentiasa bersih, saya fikir pemain yang ada sekarang harus meneledani sikap yang positif seperti itu jika mahu berjaya,” tegasnya.
Hassan (berdiri kanan sekali) ketika mewakili skuad Malaysia pada tahun 80-an.