Khamis, 22 Disember 2016

SABAH TAMPIL DENGAN SEMANGAT BARU DALAM SAINGAN LIGA PERDANA MUSIM DEPAN

Ketua jurulatih, Steve Vilmiaire (tengah) bersama Johnny Dominicus (kanan) dan jurulatih kecergasan. 

Skuad Liga Perdana Sabah bagi musim 2017 tampil dengan ramuan baru dengan kehadiran barisan jurulatih dari Perancis yang dikemudikan oleh Steve Vilmiaire selaku ketua jurulatih dan Adlane Messelem sebagai Pengarah Kesukanan.

Dengan memberi penekanan kepada ketegasan dan disiplin tinggi dalam pasukan, ia dilihat memberi semangat baru kepada pasukan ini menghadapi cabaran dalam Liga Perdana musim 2017.

Banyak perubahan dilakukan dalam barisan pemain terutama mendapatkan tiga pemain import baru dan mengekalkan pemain musim lalu, Igor Cerina yang membuktikan kewibawaan mengemudikan benteng pertahanan.

Dua pemain import baru yang sudah menandatangani kontrak sehingga ini ialah penyerang Jonathan Behe dari Perancis dan Masaya Jitozono dari Jepun.


Jonathan, penyerang dari Perancis.

Masaya Jitozono, pemain import dari Tokyo, Jepun.

Seorang lagi pemain penyerang dari Perancis, Sofiane Choubani dijangka menandatangani kontrak dalam masa terdekat bagi melengkapkan empat pemain import luar negara termasuk seorang pemain import dari Asia.

Walaupun belum diikat kontrak, Choubani sudah kelihatan sentiasa bersama-sama menjalani latihan dalam pasukan dan beberapa kali digandingkan dengan Jonathan dalam perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab tempatan untuk menguji ketajaman di bahagian serangan.

Setakat ini gandingan di bahagian hadapan sudah menampakkan sengat dan ini menguatkan kedudukan dan peluang Choubani untuk mengisi satu lagi slot pemain import luar negara.


Sofiane Choubani dari Perancis bakal mengisi slot terakhir pemain import.

Selaku ketua jurulatih baru pasukan Negeri Bawah Bayu ini, Steve masih dengan sikap rendah diri dan terus memberi perhatian kepada pemain-pemain tempatan negeri ini yang berbakat.

Sebab itu, jurulatih yang pernah berkhidmat di Singapura itu hanya mengekalkan seorang pemain import tempatan, Rozaimi Rohim sebagai penjaga gawang dan melepaskan yang lain.

Tindakan beliau itu dilihat sebagai satu anjakan baru dalam pasukan dan sudah tentu ia menggembirakan pemain-pemain kelahiran negeri ini untuk membuktikan keupayaan mereka di samping menyenangkan hati para penyokong. 

Pendekatan itu turut memberi rangsangan kepada dua pemain kelahiran negeri ini, Sabri Sahar yang sebelum ini bermain dengan pasukan Negri Sembilan dan Sumardi Hajalan bersama pasukan Perlis musim lalu kembali untuk menganggotai pasukan Sabah musim hadapan.

Sabri dan Sumardi ternyata menarik perhatian Steve berdasarkan pengalaman mereka beraksi beberapa tahun dalam Liga Malaysia. Kehadiran kedua-dua pemain ini juga tentunya melegakan jurulatih berkenaan kerana beliau sudah melihatkan pasukan bayangan yang boleh dicaturkan kelak.

Pemain pertahanan import, Igor Cerina dari Croatia yang dikekalkan masih menjadi sandaran Steve untuk menjadi tonggak utama di benteng kedua terakhir dan keistimewaan yang dimiliki pemain itu yang boleh membantu mendapatkan gol juga dilihatnya sebagai satu kelebihan.

Pemain-pemain skuad Liga Simpanan musim lalu seperti Rahmanshah Marajeh yang sering membuat jurulatih "menggaruh kepala" kini mulai menunjukkan sikap positif melalui pendekatan baru yang digarap Steve dalam pasukan.

Corak permainan pemain kental ini juga menyakinkan jurulatih dan ini membayangkan peluangnya dalam pasukan semakin cerah.

Pemain-pemain skuad musim lalu, Leopold Alfonso Otong, Maxius Musa, Azizan Nordin, Ummareng Bachok, Alto Linus, Jenius Karib, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Robson Rendy Rining, Radzi Mohd Hussin dan beberapa lagi turut membantu pembentukan skuad Liga Perdana Sabah lebih baik untuk mengharungi saingan Liga Perdana musim 2017.

Anjakan semangat baru dalam pasukan kali ini di samping sokongan padu peminat-peminat bola sepak di negeri ini secara berterusan diharapkan mampu memulihkan pasukan Sabah dan seterusnya bangkit semula dalam pentas Liga Malaysia.
Igor Cerina (hadapan sekali) bersama rakan-rakan dalam pasukan Sabah selepas sesi latihan di Stadium Likas. Foto-foto oleh Mailin Surat.

Khamis, 6 Oktober 2016

PEMBONGKARAN RASUAH LUAR BIASA, KERAJAAN NEGERI BERI KERJASAMA PENUH SPRM

Wang tunai dan barangan kemas yang dirampas pegawai SPRM daripada suspek.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman menyatakan kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam penyiasatan ke atas pegawai kanan kerajaan yang ditahan beberapa hari lepas kerana disyaki melakukan amalan rasuah dalam memberikan projek kerajaan.

Katanya, kerajaan negeri  akan membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa rasa takut dan dipengaruhi.

Ketua Menteri menambah pihak kerajaan juga akan mengkaji sistem dan prosedur dalam proses tender dan pemberian projek dalam semua jabatan bagi mengenal pasti kelemahan atau jalan keluar yang memberi ruang kepada salah guna kuasa dan amalan rasuah.

Musa juga mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa berpegang kepada konsep integriti ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan di jabatan masing-masing.

Dua hari lepas, SPRM berjaya membongkar rasuah luar biasa di Jabatan Air Negeri dengan penahanan empat orang suspek termasuk pengarah dan timbalan pengarah jabatan berkenaan serta merampas RM114.5 juta daripada kedua-dua penjawat awam itu yang didakwa menyalahguna kuasa membabitkan projek insfrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kes menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa peruntukan kerajaan persekutuan untuk projek infrastruktur bekalan air di Sabah sejak 2010.

Selain wang tunai RM52 juta termasuk pelbagai mata wang asing bernilai RM8.3 juta milik kedua-dua penjawat awam itu, turut dimiliki mereka ialah koleksi barangan kemas yang bernilai jutaan ringgit, 92 beg tangan berjenama yang setiap satu dianggarkan bernilai ribuan ringgit serta 127 geran tanah atas nama salah seorang suspek.
Salah seorang suspek (menutup muka) yang ditahan SPRM.
 Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika mengulas kejayaan operasi tersebut menyifatkannya sebagai luar biasa dan satu kejayaan yang sangat besar bagi SPRM.

Katanya, kesemua suspek dipercayai telah mengumpul kekayaan sekurang-kurangnya sebanyak RM112 juta hasil penyelewengan tersebut.

Berdasarkan siasatan SPRM turut menyita akaun bank milik kesemua suspek bernilai RM23 juta, enam peti simpanan tunai yang salah satu berisi RM2.5 juta dan satu akaun milik seorang suspek yang mengandungi wang RM37 juta.

"Seramai 30 anggota kami mengira wang tunai tersebut (RM52 juta) selama 15 jam. Mereka ditempatkan dalam bilik untuk memastikan integriti sentiasa terjaga," katanya.

Beliau berkata, kesemua wang tunai itu dirampas hasil serbuan di rumah dan pejabat pengarah dan timbalan pengarah tersebut.

Turut dirampas sembilan kenderaan mewah milik suspek seperti Range Rover, BMW, Audi, Volvo, Lexus dan Ford Ranger.

Suspek juga dipercayai turut menyimpan wang rasuah di dalam bank di luar negara dan pihak SPRM akan berusaha untuk mendapatkan wang tersebut. 

Setakat ini, nilai kesemua barangan kemas yang dirampas belum diperoleh

Kejayaan SPRM untuk membongkar "sarang"rasuah itu turut menjadi tumpuan media tempatan dan nasional dalam beberapa hari ini selain dihangatkan dengan pelbagai post pelayar maya dalam media sosial seperti facebook, whatsapp dan twitter.

Selasa, 4 Oktober 2016

JUARA PIALA BORNEO B16 TARIK PERHATIAN MEDIA


...jurulatih Sabah turut kagum dengan potensi pemain remaja
 Utusan Borneo.
Harian Metro.
Daily Express.
Media massa terutama akhbar memberi liputan meluas terhadap kejayaan pasukan TABS Safa Bandaraya ketika menjuarai Kejohanan Piala Borneo bawah umur 16 (B16) musim 2016 di Stadium Penampang di sini, baru-baru ini.

Perhatian media bukan sahaja dari akhbar tempatan malah akhbar harian di Semenanjung seperti Harian Metro turut memberi liputan yang serupa.

Semua ini mencerminkan bahawa pasukan remaja TABS itu sangat berpotensi yang seharusnya pihak pengurusan bola sepak di Sabah tidak mengabaikannya.

Bagi pasukan TABS Safa Bandaraya sendiri, kejayaan itu sangat berbaloi dengan keazaman tinggi dan komitmen jurulatih dan semua pemain untuk menjulang kejuaraan piala itu yang mereka idamkan selama ini.

Selepas berusaha untuk menduduki naib juara tahun lalu, pasukan ini tidak lagi ingin kehampaan sebaliknya mahu membuktikan mereka pasukan terbaik bagi kategori itu tahun ini.

Semangat itu akhirnya mereka terjemah menjadi realiti apabila pasukan tersebut membenamkan pencabar tradisi, DPM (Sekolah Sukan Negeri Sabah) 2-0 pada perlawanan akhir sekali gus tampil untuk menjulang piala tersebut.

TABS yang mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat liga kumpulan mendahului lawan 1-0 pada separuh masa pertama melalui Radzee Ramlye dan menambah satu lagi gol menerusi Javier Dimis di saingan babak kedua. Sebelum itu, di saingan peringkat liga kumpulan, TABS juga menundukkan DPM 2-0, kedua-dua gol hasil jaringan ketua pasukan, Hizaz Lokman.

Pasukan Jubilo FC menduduki tempat ketiga menewaskan Ipigasa United dari Filipina 1-0 melalui sepakan penalti sudden death dalam perlawanan penentuan sebelum itu.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam permainan masa penuh.


Laporan New Sabah Times.
Ketika mengulas kejayaan itu, Pengurus pasukan TABS, Lokman Sunggim, berkata, “harapan pasukan untuk menjuarai kejohanan itu kali ini menjadi kenyataan hasil komitmen dan kesungguhan pemain-pemain melakukan persiapan dan ketika beraksi di padang.”

Katanya, tahun lalu mereka menduduki naib juara dan tahun ini pasukannya lebih bersedia dan berbekalkan semangat itu membolehkan mereka mencapai kejayaan.

Menurut beliau, persiapan pasukan lebih rapi kali ini di bawah jurulatih Roslan Wasli dan turut dipantau oleh ketua jurulatih, Matasan Ahmad.

“Kami memberi tumpuan dan penekanan kepada latihan dan keyakinan pemain dan ini akhirnya membuahkan hasil kepada pasukan,” katanya.

Lokman yang juga Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya berpuas hati dengan pencapaian pasukan dalam kategori lain di mana pasukan TABS B15 menduduki naib juara, pasukan B14 juga menduduki naib juara selain pasukan B12 memenangi tempat keempat dalam kategori umur masing-masing.

Katanya, saingan pasukan-pasukan dari luar negara, yang mengambil bahagian dalam Piala Borneo tahun ini sangat mencabar terutama pasukan dari Australia, Filipina, India, Indonesia selain pasukan tempatan yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pasukan Sekolah Sukan Sabah dan pasukan di bawah Program Pembangunan Bola sepak Negara (NFDP).

“Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan pencapaian pasukan TABS sepanjang kejohanan kali ini,”  katanya.


Dari kiri; Zahid, Farhan, Hizaz dan Paisal.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada empat pemain pasukan B16, Mohd Hizaz Lokman (penyerang), Mohd Farhan Abd Aziz, Muhd Paisal (pertahanan) dan Mohd Zahid Abd Rashid (penjaga gol) kerana disenaraikan mewakili pasukan senior Kota Kinabalu bagi menghadapi Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Zon Borneo 1 yang bermula awal bulan ini.

Tambahnya, pemain remaja terbabit berpotensi untuk dipilih dalam pasukan Belia B19 Sabah musim hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, jurulatih skuad Liga Malaysia Sabah, Johnny Dominicus tertarik dan memberi reaksi positif terhadap penampilan pemain remaja terbabit ketika menyaksikan mereka menjalani latihan pusat bersama pasukan Kota Kinabalu di Kompleks Sukan Likas.

“Mereka ini bagus dan muda…bagi saya mereka sangat berpotensi untuk terus dikembangkan bakat mereka,” kata Johnny.


Ahad, 4 September 2016

CIMB FOUNDATION KENDALI PROGRAM UJIAN KECERGASAN PELATIH TABS



INPUT...jurulatih kecergasan, Christopher Siaw (t-shirt kuning) menerangkan sesuatu kepada pelatih-pelatih yang terlibat dalam program ujian kecergasan itu.
  
KOTA KINABALU: Cimb Foundation dengan kerjasama TABS Safa Bandaraya mengadakan Program Ujian Kecergasan kepada pelatih-pelatih TABS membabitkan kategori umur 12 hingga 16 tahun di padang Kompleks Sukan Likas di sini.

Program dua hari itu bertujuan menilai tahap kecergasan pelatih terbabit di samping menerapkan nilai-nilai jati diri dan disiplin sebagai pemain bolasepak di kalangan pelatih.

Ia dikendalikan oleh jurulatih kecergasan, Christopher Siaw yang dipertanggungjawabkan Cimb Foundation dengan dibantu para jurulatih TABS yang diketuai Matasan Ahmad.

Hadir bersama menyaksikan pengendalian program berkenaan ialah Penolong Pengurus Kebertanggungjawaban Korporat Pejabat Kumpulan CEO Cimb, Abdul Rashid Abdul Rahman.



Lokman (dua dari kiri) bersama Abdul Rashid (empat dari kanan), Christopher (tiga dari kiri), Matasan (tiga dari kanan) bersama jurulatih lain dalam sesi bersama pelatih terlibat.

Menurut Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, pihaknya mengalu-alukan program tersebut kerana ia membantu pelatih-pelatih menyedari pentingnya aspek kecergasan serta berusaha memperbaiki dan meningkatkan tahap kecergasan masing-masing dari semasa ke semasa.

Katanya, melalui program ini setiap pelatih dapat diukur tahap kecergasan dan mereka boleh berusaha memperbaikinya sekiranya ada kelemahan dari aspek itu.

"Bagi pihak TABS Safa Bandaraya, kita mengucapkan terima kasih kepada Cimb Foundation atas insiatif mengadakan program ini di Sabah," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya sekiranya ada perancangan Cimb Foundation untuk mengadakan program yang lain pada masa akan datang.

Katanya, kerjasama baik di antara TABS dan Cimb Foundation diharapkan mampu menghasilkan kejayaan terhadap program pembangunan bolasepak akar umbi untuk jangka masa panjang.


Khamis, 1 September 2016

SYUKURI NIKMAT KEMERDEKAAN



Fredolin berucap merasmikan sambutan Ambang Merdeka anjuran KRT Kg. Mansud.

KUALA PENYU: Timbalan Ketua Bahagian Upko Beaufort, Fredolin Penggo menyarankan rakyat supaya mensyukuri nikmat kemerdekaan dengan penuh rasa tanggungjawab dan sentiasa menyemai semangat kesedaran itu di jiwa mereka.

Katanya, nikmat kemederkaan sangat besar nilainya dalam kehidupan rakyat di negara ini dan sebab itu seharusnya sentiasa mensyukurinya.

“Sebagai warga merdeka, kita harus terus bersama-sama menyemarakkan semangat jiwa merdeka dan berusaha memperbaiki diri dan kehidupan keluarga,” katanya ketika merasmikan sambutan Ambang Merdeka di Kampung Mansud dekat sini, baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kg. Mansud. Turut hadir ialah Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim dan Pengerusi KRT kampung berkenaan, Haji Kadir Yusof.



Ibu bapa dan murid yang hadir pada majlis itu. 

Beliau berkata, ibu bapa perlu menekankan elemen kemerdekaan dalam keluarga mereka dengan mendorong anak-anak untuk bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

Menurutnya, pendidikan dalam kalangan generasi muda masa kini adalah faktor utama penggerak untuk mengeluarkan sesebuah keluarga dari belenggu kemiskinan.

Beliau juga menekankan betapa pentingnya sikap mempertahankan kemerdekaan yang dinikmati selama ini.

“Kita telah melihat kepayahan para pemimpin terdahulu untuk berjuang menuntut kemerdekaan dan ini wajar menjadi ikhtibar kita semua khususnya generasi muda,” katanya.

Beliau yakin bahawa golongan muda terutama murid-murid sekolah sudah mendapat gambaran mengenai sambutan Hari Kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar.

Sehubungan itu, Fredolin yang juga Bendahari Barisan Nasional Parlimen P.177 Beaufort mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Sekolah Kebangsaan Mansud kerana memberi kerjasama baik dalam menjayakan majlis tersebut.

“Kita juga berterima kasih kepada ibu bapa yang hadir bersama-sama sebagai tanda sokongan kepada program yang diadakan,” katanya.


Rabu, 31 Ogos 2016

PENDUDUK PERLU BERSAMA JAYAKAN PROGRAM KERAJAAN



Fredolin (tiga dari kanan) bersama Halik (kiri sekali) dan Lokman (kanan sekali) pada majlis Bicara Semasa membabitkan penduduk Kg. Sawangan dan Kiaru. 

KUALA PENYU: Penduduk kampung diminta memberi sokongan terhadap sebarang program yang dijalankan jabatan dan agensi kerajaan di tempat masing-masing. 

Timbalan Ketua Bahagian Upko Beaufort, Fredolin Penggo, berkata program-program tersebut diadakan sudah tentu memberi manfaat kepada mereka dan kerjasama mereka diperlukan untuk menjayakannya.
  
Katanya, penduduk seharusnya turut serta bersama-sama menjayakan sebagai penghargaan kerana ada pihak sanggup mengadakan program di tempat mereka.

Beliau yang juga Bendahari Barisan Nasional Bahagian Beaufort menyatakan demikian pada majlis Bicara Semasa anjuran KEMAS daerah Beaufort membabitkan penduduk Kampung Sawangan dan Kiaru di Pantai Sawangan di sini, baru-baru ini. 

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pegawai KEMAS daerah Beaufort, Halik Udeh, Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim, Ketua Penerangan Upko Beaufort, Jafari Kunin dan Pengerusi JKKK, Kimloo Jungin.

Sebahagian penduduk yang hadir.
 Fredolin berkata, sambutan baik penduduk kedua-dua kampung terlibat dalam program tersebut membuktikan rakyat menghargai usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan. 

“Syabas kepada KEMAS daerah Beaufort kerana mengadakan program ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan kita berterima kasih kepada semua penduduk yang hadir menjayakannya,” ujar beliau.

Beliau menambah dengan adanya program sedemikian membolehkan agensi kerajaan menghebahkan maklumat kepada rakyat dan pada masa yang sama rakyat dapat mengetahui perkembangan yang dijalankan kerajaan. 

“Info dan maklumat yang tepat penting untuk rakyat supaya mereka tidak keliru dengan isu dan keadaan semasa,” tegasnya.

Fredolin menyampaikan hadiah kepada pemenang kanak-kanak bagi salah satu acara yang dijalankan.