Jumaat, 17 November 2017

HASSAN SANI KECEWA LAPORAN "HARIMAU MALAYA MACAM SARKAS"

Pemain legenda Datuk Hassan Sani (gambar) melahirkan rasa kecewa berhubung laporan kontroversi mendakwa Harimau Malaya macam sarkas di akhbar-akhbar online beberapa hari lepas.

Menurutnya, beliau sangat terkejut apabila terbaca artikel itu dan berasa sangat kecewa.

"Yang menghairankan saya, tidak ada wartawan yang menemuramah atau menghubungi saya dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi di Wilayah Persekutuan Labuan bagi mengulas laporan tersebut.

Hassan yang lebih dikenali dengan gelaran "lipas kudung" kerana kelincahannya di era kegemilangannya menyatakan bahawa artikel berkenaan adalah direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya sangat kecewa artikel seperti itu diterbitkan," kata bekas pemain skuad Olimpik negara itu.

Beliau memberitahu, pihaknya juga mahu penulis artikel tersebut agar dapat menghubunginya kerana beliau (penulis) seharusnya bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulisnya.


Saya bersama Datuk Hassan menyaksikan satu perlawanan bolasepak di Stadium Likas.
Hassan juga berkata bahawa cintanya terhadap bolasepak Malaysia tidak pernah luntur dan sebab itu beliau mahu pemain-pemain negara meneruskan perjuangan mereka demi maruah negara.

Pemain legenda ini menambah, jika beliau ditanya mengenai pandangannya terhadap kepimpinan badan bolasepak negara pada masa ini, "saya berani berkata mereka patut diberi masa untuk memimpin untuk melihat hasilnya."

"Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baru dan kita patut berikan mereka lebih banyak masa," ujar Hassan yang jelas sangat terkesan dengan artikel yang disifatkannya sebagai "direka-reka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab."

Sekarang ini terdapat beberapa artikel mengenai pasukan negara sama ada tersiar di akhbar atau di portal online seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi yang mensasarkan pihak-pihak tertentu. Soalnya siapa dalang, ia menimbulkan persoalan dan tanda tanya peminat bolasepak tanah air.
DUA PENYERANG SENSASI...berpeluang bersama Datuk Hassan dan Matlan Marjan, kapten pasukan Malaysia ketika perlawanan persahabatan dengan pasukan England tidak lama dahulu.

Isnin, 13 November 2017

KOTA KINABALU JULANG PIALA KM 2017 EDISI KELIMA

Pengurus pasukan, Lokman Sunggim menerima Piala KM yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Haji Aman (tengah). 

Pasukan Kota Kinabalu melakukan kejutan menumpaskan pasukan Beaufort 2-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak Piala Ketua Menteri (KM) Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman 2017 edisi yang kelima di Stadium Likas di sini.

Kejayaan itu merealisasikan impian pasukan itu untuk menjulang piala tersebut sejak pusingan kelayakan lagi.

Penampilan kali pertama di grand final ternyata ia mengejutkan pasukan Beaufort yang sebelum ini pernah memenangi tempat ketiga kejohanan itu.

Di peringkat kumpulan, Kota Kinabalu sudah membayangkan ancaman kepada pasukan Beaufort apabila mereka mengalahkan pasukan itu dengan jaringan 1-0 menerusi penyerang skuad Piala Belia Sabah, Hizaz Lokman.

Bagaimanapun pertemuan sekali lagi di perlawanan akhir memberi kesempatan kepada pasukan Beaufort untuk membalas dendam kepada pasukan Kota Kinabalu.

Namun ia tidak menjadi kenyataan sebaliknya pasukan Kota Kinabalu terus bertindak garang untuk memusnahkan harapan pasukan lawan.


Para pemain Kota Kinabalu meraikan gol kedua jaringan Mohd Ilham (tiga dari kanan).

Striker skuad Piala Belia Sabah, Arius Dius Jais menggunakan ketangkasannya untuk menewaskan penjaga gol Beaufort melalui rembatan kencang pada minit ke-53 separuh masa kedua. Pemain pertahanan, Mohd Ilham Amin menghasilkan gol kedua pasukan Kota Kinabalu melalui sepakan percuma yang membuat penjaga gawang lawan sekadar mampu memerhati  bola menerjah jaring.

Pengurus pasukan Kota Kinabalu, Lokman Sunggim, berkata semangat tinggi yang dimiliki para pemain di samping kesungguhan mereka beraksi pada tahap sebenar memberi kelebihan kepada pasukan melakukan kejutan pada perlawanan akhir.

"Para pemain memberi persembahan terbaik dan mereka berhak memenangi perlawanan ini sekali gus memenuhi misi kami untuk menjulang piala tersebut tahun ini," katanya.

Beliau juga menghargai komitmen dan kerjasama semua pegawai dalam pasukan yang turut membantu memantapkan persiapan pasukan mereka.

Pasukan Kota Kinabalu bersama Piala KM dan medal yang mereka menangi.

Dengan kemenangan itu, pasukan Kota Kinabalu menerima piala, wang tunai RM25,000 dan medal. Manakala naib juara pasukan Beaufort menerima hadiah wang tunai RM12,500 dan medal.

Dua pemain Kota Kinabalu - Masran Masri dipilih sebagai penjaga gol terbaik dan pemain tengah Mohd Afiq Yunus dipilih sebagai Pemain Terbaik. Mereka masing-masing menerima sebuah trofi.

Sementara itu, pasukan Keningau menduduki tempat ketiga setelah mengalahkan juara bertahan, pasukan Tawau 2-1 di perlawanan penentuan. Pasukan Keningau menerima hadiah wang tunai RM4,500 dan medal manakala pasukan Tawau di tempat keempat menerima wang tunai RM3,500 dan medal.
Para pemain dan pegawai pasukan Kota Kinabalu meraikan kejayaan selepas menewaskan pasukan Beaufort di perlawanan akhir.
    Kesebelasan utama pasukan Kota Kinabalu.

Dari kiri: Jurulatih penjaga gol, Irwan Jamil, ketua jurulatih, Roslan Wasli, pengurus pasukan, Lokman Sunggim, penolong jurulatih, Matasan Ahmad, fisio, Azlan dan kitman, Azmie. (Jurulatih kecergasan, Amsir Abdullah tiada dalam gambar).