Sabtu, 18 Januari 2020

PELANCONG DAN JURUPANDU PARAGLIDING CEDERA

Zhau bersama Yusof diberi rawatan awal di tempat kejadian.

Seorang pelancong wanita dari China dan jurupandu paragliding nyaris maut apabila mereka terjatuh dari ketinggian kira-kira 15 meter dalam insiden di pusat permainan paragliding berhampiran Kompleks Sukan di Ranau, kelmarin.

 Zhau Ting, 28, dan jurupandu tempatan, Yusof Mamat, 48, sedang meluncur secara berpasangan dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang apabila mereka mengalami masalah teknikal akibat pergerakan angin luar biasa menyebabkan layar mereka berpintal.

Keadaan itu menyebabkan kedua-dua mangsa jatuh ke kawasan hutan mengakibatkan Zhau dikatakan "patah" di paha kanan manakala Yusof terseliuh kaki kirinya.

Mereka sepatutnya mendarat di kawasan Kompleks Sukan Ranau namun mereka tersasar kira-kira empat kilometer dari lokasi tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib memberitahu, tujuh anggotanya dengan satu jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya dihubungi pada jam 2.24 petang.

"Ketika tiba, kedua-dua mangsa mengadu kesakitan dan tidak dapat berdiri dan mereka diberi rawatan awal".

"Mangsa kemudian diangkat menggunakan pengusung kira-kira 200 meter dari kawasan hutan ke jalan raya sebelum dibawa menaiki EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Ranau," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan