Isnin, 27 April 2020

KUALA PENYU BEBAS WABAK COVID-19

Sekatan jalan raya menuju ke daerah Kuala Penyu yang dilakukan pihak berkuasa.

Kuala Penyu merupakan antara sembilan daerah di Sabah yang masih bebas penularan wabak COVID-19 sehingga ini.

Pelbagai usaha dilakukan oleh agensi-agensi yang terlibat bagi membendung penularan wabak tersebut.

Pegawai Daerah, Abdul Imam Basirun (bawah), berkata, daerah berkenaan melaksanakan Sekatan Jalan Kampung (SJK) bagi kenderaan-kenderaan yang keluar masuk ke sini dan ia satu keunikan.

Katanya, melalui langkah itu, ia dapat mengelak penularan wabak tersebut.
"Kerjasama semua agensi yang terlibat sangat baik dan ini dapat membantu membendung jangkitan wabak ke daerah ini yang ketika ini dikategorikan sebagai zon hijau", katanya ketika ditemui di sini.

Setakat ini, hanya 12 penduduk membabitkan pelajar di luar masih dikuarantin.

Sebelum ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Penyu, Datuk Limus Jury menasihati penduduk supaya berusaha mengekalkan tiada penularan Covid-19 di daerah berkenaan.

Katanya, mereka hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai topeng muka dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Khamis, 23 April 2020

PUSAT KUARANTIN DI KOMPLEKS SUKAN LIKAS DIBUKA MINGGU DEPAN

Shafie mendengar taklimat Dr Christina di pusat kuarantin itu dan diperhatikan Frankie.

Dewan badminton Kompleks Sukan Likas di sini yang dijadikan Pusat Kuarantin pesakit COVID-19 yang baharu akan mula beroperasi minggu hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata, dewan itù telah diubahsuai dengan kos sebanyak RM2 juta dan kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan sejak 17 April lepas.

Katanya, pusat kuarantin itu menempatkan sebanyak 172 katil dan menjadi satu lagi cawangan kuarantin Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Katil yang disediakan di Dewan Badminton Kompleks Sukan Likas bagi menempatkan pesakit COVID-19.

Ketua Menteri menyatakan demikian selepas melakukan lawatan ke dewan berkenaan pada Rabu dan diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rudi.

Hadir sama Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Frankie Poon.

Menurut Shafie, pihaknya juga sudah bersedia menghadapi seberang kemungkinan peningkatan kes positif COVID-19 terutama jika Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.

"Orang awam akan kembali kepada kehidupan normal di samping lebih banyak premis perniagaan dibuka, tentulah akan berlaku banyak kontek antara individu," katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, kerajaan negeri akan lebih teliti untuk memilih sektor yang akan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan permintaan dan keadaan semasa.

Jumaat, 3 April 2020

PENDUDUK KG POGUNON BERI SAYUR PERCUMA

Sayur dalam beg plastik diberi secara percuma di Kg Pogunan, Penampang. - Foto ehsan: Mikhail J. Savior.

Bermacam-macam cara bantuan dihulurkan kepada mereka yang terkesan dengan wabak COVID-19 terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak tersebut.

Selain bantuan dari pihak kerajaan negeri dan persekutuan, terdapat individu yang prihatin turut menghulurkan bantuan dengan cara mereka sendiri.

Di Kampung Pogunon, Penampang umpamanya, penduduknya meletakkan sayur-sayuran di pagar rumah mereka dan tepi jalan untuk dberikan secara percuma kepada orang ramai di sekitar kampung itu.

Sayur-sayuran itu yang dimasukkan dalam beg plastik digantung atas pagar dan ada juga diletakkan atas meja di tepi-tepi jalan yang menjadi laluan orang ramai.

Menurut Jabatan Penerangan daerah Penampang menerusi laman facebooknya, ramai netizen terharu dan memuji usaha penduduk kampung terbabit.
Sayur percuma, usaha murni penduduk kampung berkenaan.
Pemberian sayur secara percuma itu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada mereka yang menghadapi kesukaran ke pasar atau pasaraya untuk mendapatkanya.

Bantuan bahan mentah seperti itu tentunya melegakan kepada penduduk berhampiran khususnya yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan mereka yang "kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang".

Mudah-mudahan lebih banyak bantuan melalui pelbagai cara dapat disampaikan kepada golongan yang sangat memerlukan ketika ini.
Buah betik diletakkan di tepi jalan di luar rumah penduduk dan boleh diambil secara percuma.